Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Isnin, 26 November 2012

Skop Jawapan Koleksi Soalan Bahagian A HBML4303 (Kurikulum dan Perkaedahan dalam Pengajaran Bahasa Melayu)


Ulangkaji Akhir Achik (Siri 1)


1.Senaraikan aspek-aspek penting yang perlu diambil kira semasa merancang sesuatu kurikulum pendidikan. (Sept. 2011)


Kurikulum ialah suatu perancangan yang merangkumi aktiviti akademik seperti mata pelajaran dan kegiatan luar bilik darjah seperti kelab, persatuan, pergerakan beruniform dan permainan. 


Sesuatu kurikulum dirancang berdasarkan empat aspek, iaitu:


a)Objektif, 


b)Kandungan, 


c)Kaedah pelaksanaan, dan 


d)Penilaian.



2.Nyatakan EMPAT komponen pengisian kurikulum di peringkat rendah dan menengah di Malaysia. (Sept. 2011)


 ~Nyatakan EMPAT komponen pengisian kurikulum KBSR dan KBSM. (Mei 2011)


~Tunjukkan EMPAT komponen pengisian kurikulum dalam pengajaran bahasa Melayu. (Jan. 2012)



Pengisian kurikulum peringkat rendah dan menengah bermaksud ciri-ciri yang menjadi acuan utama kepada pembentukan sesuatu kurikulum yang bersesuaian dengan tahap, latar belakang, budaya dan kemahiran murid-murid. Dalam konteks negara kita Malaysia, kurikulum yang dibentuk perlulah mengandungi ciri-ciri yang dapat menggambarkan budaya, nilai, pemikiran dan kepercayaan kaum-kaumnya. 

Kelima-lima komponen yang mendasari kurikulum di peringkat rendah dan menengah di negara kita ialah:


a)Ilmu, 

b)Kewarganegaraan, 

c)Nilai, 

d)Peraturan sosiobudaya,

e)Kemahiran bernilai tambah.



3.Dengan memberikan contoh yang sesuai, jelaskan konsep kaedah pengajaran.(Sept. 2011)



Kaedah pengajaran merupakan langkah-langkah atau peringkat-peringkat pengajaran yang tersusun rapi dan berkesinambungan yang harus dituruti dengan saksama bagi mencapai sesuatu objektif pengajaran.



Kaedah pengajaran yang sesuai digunakan untuk pengajaran bahasa Malaysia ialah kaedah nahu terjemahan (tradisional), kaedah bacaan, kaedah terus, kaedah fonetik/linguistik, kaedah eklektik dan kaedah audiolingual. 



4.Terangkan secara ringkas kebaikan pembelajaran konstruktivisme.(Sept. 2011)



Pembelajaran Konstruktivisme tergolong dalam kemahiran bernilai tambah yang mengutamakan pengalaman di bilik darjah sesuai dengan kehidupan dunia sebenar murid serta senario dunia yang global. 



Pembelajaran Konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina pemahaman dan pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Pembelajaran ini menjadikan  murid lebih faham, lebih yakin, dan lebih seronok untuk belajar sepanjang hayat.



5.Banding-bezakan konsep pengajaran mikro dan makro.(Sept. 2011)



Pengajaran mikro bermaksud pengajaran yang memberi fokus kepada bahagian-bahagian kecil tertentu yang apabila digabungkan kesemuanya, akan menjadi satu pengajaran yang lengkap. 

Semasa pengajaran mikro dijalankan, hanya satu jenis kemahiran mengajar sahaja yang difokuskan. Antaranya, kemahiran memulakan pengajaran (set induksi), kemahiran menyoal, menerang, kemahiran menggunakan papan tulis, kemahiran variasi rangsangan, kemahiran pengelolaan bilik darjah dan kemahiran menutup pengajaran.



Pengajaran makro terhasil berdasarkan pengajaran dan pembelajaran sebenar di bilik darjah. Dalam pengajaran makro, masa pengajaran adalah berdasarkan satu atau dua waktu pembelajaran di sekolah, iaitu bersamaan dengan 30 hingga 60 minit. 

Selain itu, saiz murid juga didasarkan kepada saiz sebenar murid di sekolah, iaitu antara 30 hingga 40 orang murid yang terdiri daripada rakan-rakan guru pelatih sendiri.  



6.Jelaskan dengan ringkas DUA bentuk penggabung jalinan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.(Mei 2011)



Penggabungjalinan adalah proses dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang menyarankan supaya bidang-bidang kemahiran yang berkait rapat atau bahan-bahan pengajaran yang mempunyai urutan yang baik tidak disampaikan secara berasingan. 



Penggabungjalinan terdiri daripada tiga bentuk, iaitu; Penggabungjalinan Kemahiran, Penggabungjalinan Aktiviti, dan Penggabungjalinan Bahan. 


a)Penggabungjalinan Kemahiran

Dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, guru perlu mengajar kemahiran mendengar dan bertutur, iaitu kemahiran lisan, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Penggabungjalinan kemahiran dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia ini ditunjukkan dalam rajah berikut. 


Penggabungjalinan kemahiran dalam mata pelajaran bahasa Malaysia



b)Penggabungjalinan Aktiviti
Menggabungjalinkan sekurang-kurangnya dua aktiviti atau lebih juga boleh dilakukan mengikut keperluan dan kesesuaian. Aktiviti-aktiviti itu merangkumi aspek lisan, bacaan dan kefahaman dan tulisan.

Contohnya, dalam aktiviti lisan berceramah misalnya, aktiviti penulisan, iaitu dengan mencatat isi-isi penting dapat digabungjalinkan.

Begitu juga dengan aktiviti lisan bercerita, perbincangan dan seterusnya aktiviti penulisan dengan menulis karangan dapat dilakukan oleh murid-murid.



7.Seseorang guru tidak digalakkan untuk melakukan beberapa perkara apabila menggunakan pendekatan pengajaran induktif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Berikan EMPAT daripada perkara tersebut.(Mei 2011)



Pendekatan induktif lebih terkenal sebagai pendekatan gramatikal yang mendahulukan sesuatu pengajaran dengan contoh-contoh struktur penggunaan unsur-unsur tatabahasa yang dipelajari terlebih dahulu sebelum sesuatu kesimpulan mengenainya dilakukan.

Pendekatan ini menggunakan kaedah pencarian atau discovery method yang melibatkan proses memperhatikan, mengkaji dan menganalisis sesuatu aspek bahasa itu pada awal pembelajaran dan kemudian dikaitkan dengan satu kesimpulan umum daripada data-data yang dipelajari.

Oleh yang demikian, dalam pendekatan ini guru tidak digalakkan melakukan perkara-perkara berikut:


a)Memberi definisi, 


b)Menerangkan peraturan-peraturan, 


c)Menerangkan isi kandungan keseluruhan pelajaran yang hendak disampaikan, 


d)Memberitahu objektif pengajaran pada awal pengajaran.



8.Terangkan dengan ringkas tentang teknik penyelesaian masalah yang sering digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.(Mei 2011)



Teknik penyelesaian masalah merupakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan masalah berbentuk perkataan, teka teki, teka silang kata dan kuiz. Teknik ini memerlukan murid-murid menggunakan kemahiran, prinsip atau teori yang telah mereka pelajari untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan.

Teknik ini melibatkan beberapa aktiviti seperti membimbing murid-murid memahami dan mengenal pasti ciri-ciri masalah yang dikemukakan, mengingati semula pengalaman lalu yang berkaitan, memilih strategi yang sesuai dan menggunakan kemahiran mereka untuk menjalankan aktiviti penyelesaian (Juriah Long, et al. 1992:41)



Untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui teknik penyelesaian masalah dengan berkesan, guru harus memahami dan mematuhi lima prinsip, iaitu:


a)sesuatu masalah harus diberikan sebaik sahaja murid-murid memperoleh ilmu pengetahuan atau menguasai kemahiran yang berkaitan, 


b)soalan bermasalah harus dibina berdasarkan kebolehan dan pengetahuan lepas murid-murid serta sesuai dengan pengalaman mereka, 


c)sebelum proses penyelesaian masalah dimulakan, guru perlu membimbing murid-murid memahami dan mengenal pasti masalah itu, 


d)guru perlu berbincang dengan murid tentang pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah, dan 


e)guru perlu mengelakkan daripada memberi tunjuk cara untuk menyelesaikan masalah. 



Proses pemikiran untuk menyelesaikan masalah yang diberi oleh guru harus dilakukan oleh murid-murid sendiri. Guru hanya boleh memberi sedikit bimbingan kepada murid yang berfikir agak lambat secara individu.



9.Berikan DUA ciri kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran berfikir secara kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.(Mei 2011)



Kemahiran berfikir secara kritis ialah kecekapan dan keupayaan menggunakan minda untuk menilai kewajaran sesuatu idea, meneliti kebernasan, kebaikan dan kelemahan sesuatu hujah dan membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah. 



Manakala kemahiran berfikir secara kreatif pula ialah kecekapan atau keupayaan menggunakan minda untuk menerokai pelbagai kemungkinan, menghasilkan sesuatu yang baru, asli dan bernilai sama ada bersifat maujud, abstrak atau idea (Mok Soon Sang, 2006:229-230). 



Antara ciri-ciri Kemahiran Berfikir Secara Kritis ialah; 


a)Mengumpul, menciri, dan mengelaskan.


b)Menyusun mengikut jenis atau keutamaan.



Antara ciri-ciri Kemahiran Berfikir Secara Kreatif pula ialah:


a)Menjanakan idea.


b)Menghubungkait atau mensintesis idea-idea.



Ciri-ciri seperti mengkategori, menyusun atur, dan menjana idea boleh diserapkan melalui alat berfikir seperti pengurusan grafik melalui peta minda, dan peta konsep. Alat berfikir CAF (Consider All Factors) melibatkan kemahiran bagi melatih seseorang meneroka setiap aspek sebelum membuat sebarang keputusan.

10.Nyatakan EMPAT prinsip penggabungjalinan dalam pengajaran bahasa Melayu.(Mei 2009, Jan. 2012)

Penggabungjalinan adalah proses dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran yang menyarankan supaya bidang-bidang kemahiran yang berkait rapat atau bahan-bahan pengajaran yang mempunyai urutan yang baik tidak disampaikan secara berasingan. 
 
Empat prinsip utama penggabungjalinan adalah:

a)Mudah ubah serta bergantung kepada matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang hendak dicapai.

b)Guru mesti mengetahui apa dan berapa kemahiran yang hendak digabungjalinkan.

c)Guru hendaklah merancang kemahiran fokus dan sampingan dengan baik.

d)Penggabungjalinan hendaklah berdasarkan kelebihan dan pencapaian pelajar.

11.Senaraikan EMPAT konsep pendekatan deduktif.(Jan. 2012)

Pendekatan deduktif memperlihatkan hukum-hukum atau sesuatu teori atau peraturan tertentu dan dari sini, pembelajaran akan diteruskan dengan menganalisisa hukum-hukum tadi melalui contoh-contoh yang konkrit (Kamarudin Haji Husin, et al.1997:22-24). 

Konsep pendekatan deduktif secara lebih khusus dapat diperlihatkan seperti yang berikut: 

a)Mempelajari sesuatu berdasarkan sesuatu hukum, 

b)Satu proses penaakulan yang tinggi seperti dalam pendekatan induktif, 

c)Satu produksi fakta untuk membuktikan satu pernyataan umum, 

d)Menganalisa fakta atau isi yang membentuk generalisasi, dan 

e)Membuat satu pencerakinan: daripada yang umum kepada yang spesifik.

12.Berikan EMPAT ciri teknik sumbang saran.(Jan. 2012)

Teknik sumbang saran juga dikenali sebagai teknik percambahan fikiran (brainstorming) yang merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap ahli kumpulan menyumbangkan pendapat dan idea. Teknik ini mempunyai ciri-ciri tertentu, antaranya:

a)Topik perbincangan perlulah sesuai dengan kebolehan dan minat murid,

b)Garis panduan guru haruslah ringkas dan jelas.

c)Semua cadangan dan idea yang dikemukakan haruslah dicatat untuk dibincangkan secara umum.

d)Setiap kumpulan mestilah memilih pengerusi yang betul-betul layak.

13.Senaraikan EMPAT contoh kata majmuk bahasa Melayu.(Jan. 2012) 

Kata majmuk lahir daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna tertentu. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit serta tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain.

Contoh kata majmuk (yang mendukung maksud kiasan) ialah:

a)kaki bangku,

b)berat tangan,

c)ringan mulut,

d)makan angin.

14.Senaraikan EMPAT daripada keseluruhan elemen yang terkandung dalam konsep 5P.(Mei 2012)

Elemen-elemen dalam Konsep 5P yang merupakan strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia di peringkat sekolah-sekolah. Melalui Konsep 5P, bidang-bidang kemahiran atau bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran disampaikan secara bersepadu. 

Elemen-elemen dalam Konsep 5P yang mesti dijalankan secara bersepadu dan tidak secara berasingan terdiri daripada: 

a)Penggabungjalinan, 

b)Penyerapan, 

c)Penilaian, 

d)Program pengayaan, dan 

e)Pemulihan.

15.Nyatakan DUA pendekatan pengajaran bahasa Melayu yang kerap digunakan di sekolah.(Mei 2012)

Pendekatan ialah proses pengendalian pengajaran secara keseluruhannya dalam bilik darjah. Pendekatan yang digunakan seharusnya sesuai dengan perkembangan diri dan kebolehan murid-murid agar suasana pembelajaran lebih sempurna, menarik dan berkesan.

Selain pendekatan induktif dan pendekatan deduktif, guru juga boleh menggunakan: 

a)Pendekatan Eklektik
Pendekatan elektif merupakan gabungan antara beberapa pendekatan yang sesuai untuk murid-murid yang mempunyai pelbagai kebolehan dan pencapaian. Pendekatan yang bersifat luwes dan mudah ubah ini terhasil daripada gabungan pendekatan induktif dan pendekatan deduktif.
 
b)Pendekatan Komunikatif
Pendekatan komunikatif berpusatkan kepada bentuk-bentuk komunikatif seperti meminta maaf, bercerita, melapor, menyampaikan maklumat dan lain-lain aktiviti berkomunikasi yang diperlukan dan berlaku dalam amalan masyarakat sehari-hari. Pendekatan ini menekankan kepada penyerapan bentuk-bentuk gramatikal, iaitu fonologi, morfologi, sintaksis dan sebagainya bagi tujuan berkomunikasi.

16.Tunjukkan SATU perbezaan fungsi antara kaedah dan teknik dalam pengajaran bahasa Melayu.(Mei 2012)

Kaedah ialah satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan sesuatu pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik. Langkah-langkah pengajaran yang tersusun rapi, berkesinambungan, dan dituruti dengan saksama dapat memastikan pencapaian sesuatu objektif pengajaran. Kaedah nahu terjemahan, dan kaedah bacaan ialah antara contoh kaedah pengajaran dalam proses pengajaran bahasa Melayu.

Manakala teknik pula adalah pengendalian suatu organisasi yang benar-benar berlaku dalam bilik darjah dan digunakan untuk mencapai sesuatu objektif. Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk murid-muridnya. 

Contoh teknik pengajaran yang biasa digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu ialah teknik bersoal jawab, dan teknik main peranan.

17.Nyatakan takrif huraian sukatan pelajaran (HSP) dan hasil pembelajaran (HP) dalam perkaedahan pengajaran bahasa Melayu.(Mei 2012)

Huraian hasil pembelajaran (HSP) ialah pernyataan tentang aras kemahiran secara jelas dan perlu dicapai oleh murid-murid mengikut tahap keupayaan dan kemajuan mereka sama ada pada Aras 1, Aras 2 atau Aras 3. 

Aras 1 ialah aras paling asas yang harus dicapai oleh semua murid. Aras 2 pula ialah aras bagi murid yang berpencapaian sederhana, manakala Aras 3 ialah aras paling tinggi bagi murid yang berpencapaian cemerlang (Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Tahun 1 Bahasa Melayu, 2003:12).

Manakala hasil pembelajaran (HP) pula ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum sesuatu mata pelajaran bagi membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran (Huraian Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Tahun 1 Bahasa Melayu, 2003:4).

18.Terangkan DUA langkah yang perlu dilaksanakan guru ketika melaksanakan pendekatan induktif dalam pengajaran bahasa Melayu.(Mei 2012) 

Pendekatan induktif lebih terkenal sebagai pendekatan gramatikal yang mendahulukan sesuatu pengajaran dengan contoh-contoh struktur penggunaan unsur-unsur tatabahasa yang dipelajari terlebih dahulu sebelum sesuatu kesimpulan mengenainya dilakukan. 

Pendekatan ini menggunakan kaedah pencarian atau discovery method yang melibatkan proses memperhatikan, mengkaji dan menganalisis sesuatu aspek bahasa itu pada awal pembelajaran dan kemudian dikaitkan dengan satu kesimpulan umum daripada data-data yang dipelajari.

Prosedur pendekatan induktif melibatkan langkah-langkah yang telah dirancang untuk satu pengajaran yang berkesan. Secara kasar, dua prosedur pengajaran itu adalah seperti yang berikut: 

1. Peringkat pendedahan

a)Pada peringkat ini, guru akan mendedahkan unsur-unsur bahasa yang hendak disampaikan kepada pelajar-pelajar secara tidak langsung,

b)Guru menggunakan contoh yang melibatkan unsur-unsur bahasa,

c)Peringkat pendedahan dilakukan pada peringkat set induksi, iaitu bahagian permulaan pengajaran,

d)Guru menggunakan teknik perbualan atau bersoal jawab bagi memulakan pengajaran tersebut. Pada peringkat ini, seboleh-bolehnya guru: jangan menerangkan objektif; jangan menerangkan peraturan, konsep-konsep, tajuk, idea keseluruhan; dan sebagainya pada permulaan pengajaran, 

e)Kaitkan dengan pengetahuan sedia ada (PSA). 

2. Peringkat pembentukan konsep

a)Pembentukan konsep melalui contoh-contoh yang dikemukakan, 

b)Mendengar ayat yang dibina oleh murid, 

c)Mendengar ayat yang dibina oleh guru, 

d)Lakukan beberapa usaha untuk pelajar menguasai pelajaran, dan 

e)Guru memandu pelajar langkah demi langkah sehingga kesimpulan diperoleh.

Sumber:
Modul HBML4303 dan HBML2303

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...