Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Rabu, 11 April 2012

HBHE 3203 (ULANGKAJI SOALAN SEPTEMBER 2010)

PERHATIAN : APA YANG DIPAPARKAN HANYALAH ISI KANDUNGAN YANG DIPETIK DARIPADA MODUL DAN SUMBER DARI INTERNET YANG DIFIKIRKAN SESUAI UNTUK DIJADIKAN SKOP JAWAPAN. ADALAH WAJAR RAKAN-RAKAN MEMBUAT 'PENYELIDIKAN' SENDIRI BAGI MENDAPATKAN JAWAPAN YANG TEPAT.

BAHAGIAN A

Soalan
1.    Nyatakan EMPAT peranan Pejabat Pendidikan Bahagian/ Daerah dalam menjayakan program Bersepadu Sekolah Sihat (PBSS).

Peranan Pejabat Pendidikan Bahagian atau Daerah ialah: 
a. Memberikan penerangan dan informasi yang tepat dan lengkap kepada sekolah mengenai pelaksanaan PBSS. 

b. Memberikan bimbingan kepada sekolah untuk menubuhkan Jawatankuasa PBSS dan seterusnya merancang, menjalankan serta menilai aktiviti-aktiviti yang dijalankan. 

c. Menghubungi agensi-agensi kerajaan yang berkenaan untuk memberi bantuan kepada sekolah-sekolah dalam menjalankan aktiviti PBSS. 

d. Mengendali dan memantau perjalanan program PBSS yang dilaksanakan.

2.    Piawaian amalan kebersihan meliputi tiga ciri iaitu bersih, berfungsi dan selamat. Jelaskan DUA piawaian amalan kebersihan sekolah dari aspek berfungsi.

Berfungsi membawa maksud: 
a. Dijaga dan disenggarakan dengan baik. 
b. Boleh digunakan dengan sempurna pada bila-bila masa.

3.    COMBI (Communication For Behavioural Impact) merupakan salah satu pendekatan dalam aspek promosi kesihatan.
Secara ringkas, jelaskan pendekatan yang digunakan oleh COMBI.

COMBI adalah singkatan kepada Communication for Behavioural Impact iaitu salah satu pendekatan dalam aspek promosi kesihatan yang menggunakan pelbagai kaedah komunikasi untuk mengubah tingkah laku seseorang. 

Pendekatan COMBI Denggi bertujuan mencegah dan mengawal penularan penyakit denggi di sekolah dan juga di kalangan masyarakat setempat. Melalui pendekatan COMBI Denggi, beberapa orang pelajar dan warga sekolah yang lain dilatih untuk menjadi fasilitator program COMBI Denggi. 

Kumpulan ini mengetuai warga sekolah dalam mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes seminggu sekali. Langkah ini bukan setakat dilakukan di sekolah, malah digalakkan sebagai amalan di rumah sebagai langkah yang penting dalam pencegahan penyakit denggi di Malaysia. 

4.    Sebagai warga pendidik, jelaskan DUA peranan yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah dalam Program Bebas Denggi.

a. Mengenalpasti dan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.

b. Mengadakan program gotong-royong dan bagi membersihkan persekitaran sekolah berserta aktiviti rondaan kelas yang bertugas.

c. Menggalakkan amalan pembuangan sampah dan penggunaan tandas secara betul dalam kalangan murid-murid, warga sekolah dan pihak pentadbiran. 

d. Memeriksa kebersihan sekolah dan kawasan sekitarnya (kantin, tandas, bilik darjah, padang).

5.    Prosedur Keselamatan, terutamanya di makmal hendaklah sentiasa diingatkan dan dimaklumkan kepada semua warga sekolah.
Berikan EMPAT Prosedur keselamatan yang berkaitan dengan penggunaan makmal di sekolah.

Prosedur keselamatan berkaitan penggunaan bahan kimia di makmal:
a. Membaca dengan teliti label atau tanda pada botol untuk memastikan bahawa bahan kimia sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal yang digunakan itu betul dan tepat.

b. Menggunakan bahan kimia dalam kuantiti yang sedikit sahaja kerana ia memadai untuk memberi pemerhatian yang jelas dalam uji kaji. Langkah ini dapat mengelakkan pembaziran dan risiko berlakunya letupan akibat tindak balas kimia yang kuat.

c. Menggunakan spatula untuk mengambil bahan kimia pepejal. Langkah ini dapat mengelakkan tangan daripada melecur atau tercemar dengan bahan kimia merbahaya.

d. Menutup botol atau bekas yang mengandungi bahan kimia dengan ketat dan segera setelah mengambil bahannya untuk mengelakkan berlakunya tindak balas bahan tersebut dengan udara dan boleh mengeluarkan wasap yang merbahaya.

e. Bahan kimia biasanya adalah beracun dan menghakis. Seseorang tidak merasa sebarang bahan kimia dengan jari dan lidah walaupun ia dalam larutan cair. Ini dapat mencegah kemalangan seperti melecur dan keracunan.

Di samping itu, sebagai prosedur keselamatan yang universal, makmal mestilah dilengkapi dengan peti pertolongan cemas dan alat pemadam api.

BAHAGIAN B
Soalan
1.    (a)  Bincangkan risiko kemalangan yang boleh berlaku di kantin sekolah dan berikan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko ini.

Kantin merupakan satu tempat yang menjadi tumpuan pelajar semasa waktu rehat. Kesesakan boleh berlaku lebih-lebih lagi jika kawalan terhadap disiplin pelajar adalah longgar. Antara kemalangan yang boleh berlaku ialah terjatuh dan bergaduh. Dalam keadaan kesesakan, pelajar yang saiz badannya lebih kecil berkemungkinan ditolak oleh pelajar yang lebih besar saiz badannya. Pengawasan daripada guru dan pengawas sekolah amatlah penting dalam memastikan pelajar dapat begerak dan berbaris secara teratur semasa membeli makanan di kantin. 

(b) Pengurusan bilik rawatan di sesebuah sekolah boleh dilakukan oleh penyelia asrama, kaunselor, guru penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah atau guru-guru lain yang dilantik oleh guru besar atau pengetua sekolah.
Huraikan EMPAT Prosedur keselamatan yang boleh dilakukan di dalam bilik rawatan.

Berikut adalah prosedur keselamatan di bilik rawatan: 

a. Kenal Pasti Keadaan Pesakit Terlebih Dahulu 
Jika pesakit masih sedar dan mampu memberikan respon, perlu dikenalpasti kecederaan yang dialami dengan bertanya kepada mangsa. Jika mangsa tidak sedarkan diri maka perlu dikenalpasti tanda-tanda yang berkemungkinan, sama ada mangsa mengalami patah tulang atau lain-lain kecederaan luaran yang dapat dilihat.Mangsa dialihkan dengan berhati-hati sekiranya perlu. 

b. Hubungi Pihak Hospital Secepat Mungkin 
Berdasarkan keadaan pesakit, pertimbangan perlu dibuat dengan sebaik-baiknya untuk menghantar mangsa terus ke hospital atau menunggu kedatangan pasukan perubatan atau ambulans. Jika mangsa mengalami luka-luka dan pendarahan, rawatan kecemasan perlu dilakukan iaitu dengan membalut dan menutup luka tersebut dengan kain pembalut dan kapas yang bersih. 

c. Maklumkan Ibu Bapa atau Penjaga 
Apabila pesakit sudah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, ibu bapa atau penjaga pesakit berkenaan perlu dimaklumkan tentang keadaan pesakit serta tindakan yang telah dibuat oleh pihak sekolah. 

d. Laporan
Laporan perlu dibuat berdasarkan format atau borang yang telah ditetapkan. Ia dapat dijadikan sebagai bahan untuk rujukan lanjut pihak hospital, penambahbaikan prosedur keselamatan dan kesihatan di sekolah pada masa akan datang, serta dapat dijadikan sebagai bahan dokumen medico-legal dalam kes-kes mahkamah.

2.    Situasi persekitaran yang nyaman dan selesa membolehkan pengajaran dan pembelajaran berlaku secara optimum. Sehubungan dengan itu, persekitaran sekolah mestilah menyediakan peluang dan ruang untuk murid dan guru menikmati kehidupan yang lebih sihat dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

(a)  Berikan pendapat anda bagaimana suasana sekolah kondusif dapat diwujudkan dan seterusnya pembelajaran yang lebih optimum dapat direalisasikan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan berhasrat untuk melahirkan insan yang berguna untuk kemajuan negara. Ini bertepatan dengan fungsi sekolah sebagai agen sosialisasi kepada pelajar-pelajarnya. Sekolah yang mempunyai suasana yang kondusif akan mampu mewujudkan suasana yang ceria dan harmoni di samping menggalakkan para pelajar untuk hadir ke sekolah bagi menimba ilmu pengetahuan.

Kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan telefon adalah penting dalam kehidupan seharian pada masa kini. Begitu juga di sekolah, pelbagai kemudahan asas perlu disediakan pihak sekolah untuk keselesaan guru dan para pelajar.Kesesuaian bangunan sekolah
dan susun atur di dalamnya juga perlu dititik beratkan bagi memastikan iklim sekolah sentiasa dalam keadaan yang kondusif.

Pihak sekolah perlu sentiasa memastikan persekitaran pembelajaran dan aktiviti kurikulum dan kokurikulum sentiasa fleksibel, di samping memberi peluang untuk pembelajaran yang aktif dan membuat jangkaan pencapaian setiap individu. Peraturan sekolah hendaklah ditentukan secara bersama, disamping memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangannya.

Pihak sekolah juga perlu memberikan kepercayaan kepada individu sekolah untuk melakukan sesuatu yang dapat meningkatkan bakat dan keyakinan mereka, melibatkan ahli komuniti sekolah dalam proses membuat keputusan yang tertentu bagi meningkatkan nilai kendiri mereka dan melakukan perubahan yang tidak menjadi ancaman tetapi merupakan sesuatu yang menarik dan seronok untuk dilaksanakan.

Peranan ibu bapa juga penting dalam mewujudkan iklim sekolah yang kondusif. Peranan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dilihat dapat meningkatkan pencapaian persekolahan para pelajar. Fungsi utamanya ialah menjaga dan melindungi kebajikan para pelajar dan guru-guru, disamping memberi sumbangan untuk perkembangan sekolah. Ini dapat diperlihatkan melalui pelbagai kegiatan sosial, akademik dan kebajikan yang diusahakan mengikut garis panduan.

Suasana sesebuah sekolah haruslah berada dalam keadaan yang kondusif bagi memastikan pelajar dan guru berasa selasa untuk berada di sekolah dan seterusnya membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Selain itu, iklim sekolah yang positif juga menjadi sebahagian daripada tuntutan dalam arena pendidikan bagi melahirkan sebuah masyarakat yang sempurna dari segi jasmani, emosi,rohani, intelek dan sahsiah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Sumber :  eprints.utm.my/.../Sikap_Guru_Terhadap_Faktor_...

(b)  Bincangkan kesepaduan mata pelajaran Perubatan dengan Pendidikan Kesihatan.

Dalam pendidikan kesihatan, topik pertolongan cemas dan bantu mula dibincangkan dengan jelas dan terperinci. Asas-asas bagi merawat kecederaan seperti melecur dan patah dibincangkan dengan teliti sebagaimana prosedur-prosedur yang diamalkan oleh paramedik.

Di peringkat sekolah rendah, murid-murid Tahun 5 mempelajari bantuan awal kecederaan ringan seperti luka kecil, patah, terseliuh, lebam, dan melecur. Guru-guru dikehendaki membimbing murid-murid membuat simulasi cara melakukan bantuan awal kecederaan ringan tersebut.

Dengan cara ini murid-murid dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran kesihatan dalam kehidupan mereka.

3.    (a)  Banyak punca yang boleh menyebabkan masalah pencemaran air, antaranya oleh akitiviti manusia, perindustrian, proses-proses semula jadi, kaedah pembuangan sampah dan banyak lagi.
Huraikan TIGA punca pencemaran air akibat proses-proses semulajadi. 

Air boleh tercemar melalui proses semulajadi. Banjir menenggelamkan semua tandas, tangki najis, tempat pelupusan sampah dan kilang. Air banjir akan bercampur dengan semua enap cemar seperti air kumbahan tandas, bahan kimia sisa industri dari kolam penampang kilang dan kawasan pertanian yang dibajakan dengan baja kimia. Semua kotoran, sama ada sisa kimia atau bakteria akan memasuki sistem aliran air yang digunakan oleh manusia. 

Letupan gunung berapi juga menyebabkan berlaku pencemaran punca air secara semula jadi. Larva dan lahar serta debu memasuki aliran air yang digunakan oleh manusia. Larva dari gunung berapi yang bercampur dengan sulfur menyebabkan kandungan dan punca air terjejas dengan teruk. Enap cemar ini mengandungi bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.

Musim kemarau yang melampau juga mengganggu kandungan kimia air. Sumber air yang ditakung akan kehilangan volume melalui penyejatan menyebabkan kandungan garam dan galian akan meningkat osmolaritinya. Keadaan ini tidak dikira tercemar tetapi peningkatan kandungan atau kepekatan galian kerana kehilangan air mengubah mutu air dan tidak sesuai diminum oleh manusia.
 

(b)  Huraikan peranan dan kesan klorin dalam proses rawatan air.

Pencemaran air boleh menyebabkan kualiti air sangat teruk. Bahan kimia industri, bahan organik dan bukan organik, bakteria dan virus telah bercampur dalam air. 
Rawatan air menggunakan klorin bertujuan untuk membunuh bakteria dan mikro organisma dalam air. Klorin yang sifatnya mudah larut dalam air mempunyai keistimewaan iaitu dapat membunuh kuman serta tidak berbahaya kepada manusia. Namun  klorin tidak mampu menyingkirkan sisa racun, bahan kimia dan toksin. Campuran klorin, bahan kimia, dan toksin akan menghasilkan Trihalomethanes (THM), penyebab kanser dan jantung serta berbahaya kepada tubuh dalam jangka masa panjang.

Sumber sokongan http://termosajaibs.blogspot.com/:
4.    (a)  Sanitasi persekitaran amatlah penting untuk menjamin seluruh kawasan itu bebas daripada bahan cemar yang berpunca daripada air kumbahan dari kawasan perumahan, perindustrianm penternakan dan sebagainya.
Huraikan dengan terperinci kemudahan untuk sanitasi persekitaran.

Sanitasi persekitaran amatlah penting untuk menjamin sesebuah kawasan itu bebas daripada bahan cemar yang berpunca daripada air kumbahan dari kawasan perumahan,  perindustrian, penternakan dan sebagainya. 

Di kawasan bandar, bahan buangan seperti najis manusia merupakan salah satu bahan yang menyumbang kepada air kumbahan. Air  kumbahan yang tidak dirawat dengan sebaik-baiknya boleh mencemari sumber air. Ia juga boleh menyebabkan penyakit berjangkit seperti Kolera, Tifoid serta Hepatitis A.  

Sanitasi persekitaran yang baik dan sempurna juga melibatkan penyediaan bekalan air yang bersih dan sistem pembuangan sampah yang sempurna.Sanitasi bukan setakat melibatkan kemudahan tandas yang sempurna sama ada di rumah atau sekolah  malah melibatkan aspek rawatan dari segi sistem pembentungan sama ada ia dirawat  dengan sempurna sebelum air yang telah dirawat dilepaskan ke sungai atau laut. 

Di Malaysia, tidak semua tempat mempunyai loji rawatan kumbahan secara bersepadu.Di kawasan kampung dan pedalaman masih terdapat tandas yang menggunakan tandas  lubang tanpa ada sistem pembentungan yang sempurna. Amalan kebersihan diri amatlah  penting dalam konteks kesihatan sanitasi, lebih-lebih lagi dalam usaha untuk mencegah berlakunya penyakit berjangkit. 

Sanitasi yang sempurna juga melibatkan bidang penternakan seperti ladang-ladang ternakan lembu dan khinzir. Najis haiwan berkenaan jika dibuang secara tidak sempurna bakal mendatangkan kesan pencemaran bau dan organik. Begitu juga boleh mencemari air sungai sekiranya dibuang atau disalurkan secara terus ke tali air dan sungai. Amalan penternakan yang baik adalah mengamalkan sistem sanitasi yang sempurna iaitu bahan buangan khasnya najis dirawat dengan sempurna terlebih dahulu sebelum ia selamat dilepaskan ke sungai. 

(b)  Wabak Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS), selsema burung, penyakit  tangan, kaki dan mulut (HFMD) serta Influenza A H1N1 merupakan wabak yang boleh tersebar dengan cepat. Oleh itu langkah pencegahan perlu diambil berat terlebih dahulu sebelum kita memikirkan aspek rawatan. Wabak ini sering berpunca daripada perbandaran, migrasi dan perindustrian.
Bincangkan konsep Diagnosis Awal dan Rawatan Awal dalam pencegahan pencemaran dalam sesebuah masyarakat. 

Diagnosis dan rawatan awal amatlah penting dalam pengendalian sesuatu penyakit.Dengan membuat pemeriksaan awal, pihak hospital atau klinik boleh mengenal pasti punca-punca penyakit serta jenis rawatan dan ubat yang boleh diberikan kepada pesakit.Antara diagnosis awal yang biasa dilakukan dalam kes-kes penyakit bawaan vektor seperti Denggi dan Malaria ialah diagnosis makmal. Darah pesakit diambil dan diperiksa untuk mengesan penyakit dan jenis-jenis parasit serta pengawasan kualiti dengan menggunakan kaedah-kaedah makmal tertentu.  

Diagnosis awal boleh memberi peluang kepada pihak kesihatan untuk melakukan penyiasatan kes, susulan kes, kajian dan pemantauan persekitaran yang menjadi faktor kejadian penyakit. Ini amat berguna dalam pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit seperti Kolera, Denggi, Malaria, HFMD, Influenza A H1N1 dan sebagainya.  

Siasatan dilakukan untuk menentukan sejarah pesakit dan mengenal pasti punca seseorang itu boleh mendapat penyakit. Manakala contact tracing pula dilakukan untuk mengenal pasti orang yang ada kaitan dengan pesakit untuk kenal pasti sama ada mereka dijangkiti atau menjangkiti pesakit. Dengan langkah ini, rangkaian jangkitan dapat diputuskan dan penyakit dapat dicegah dan dihalang daripada merebak.

5.    (a)  Jangkitan Mikrobologi boleh membawa penyakit kepada manusia. Fizikalnya yang terlalu seni, menyukarkan kita untuk melihat dengan mata kasar. Ia berada di sekeliling kita, sama ada di dalam atau di luar badan. Terdapat empat jenis mikrobologi iaitu bakteria, virus, kulat dan protozoa.
Huraikan dengan terperinci DUA jenis mikrobologi ini serta berikan contoh setiap satunya.

Bakteria

Bakteria adalah kecil iaitu, bersaiz di antara 0.3 ke 14 μm. Bakteria tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop. Sebagai oganisma seni, bakteria boleh hidup dan membiak di mana sahaja seperti di tanah, air, debu serta habuk; tetapi dengan syarat tempat tersebut menyediakan sumber makanan dan tempat untuk ia membiak dan tumbesaran.

Jika sebahagian spesies bakteria boleh menyebabkan penyakit berjangkit seperti Tibi, Kolera, Tifoid; sebahagian lagi membawa kebaikan kepada manusia. Bakteria dalam tanah menggunakan nitrogen yang terdapat di udara untuk tumbesarannya; dimana apabila bakteria tersebut mati, bahan organik akan dikeluarkan ke dalam tanah dan menjadikan tanah lebih subur untuk menampung tumbuhan dan hidupan lain. Ini disebabkan tumbuhan tidak berupaya menukarkan nitrogen daripada udara kepada bahan nutrien.

Bakteria boleh dikategorikan berdasarkan kepada beberapa aspek iaitu bentuk atau morfologi, keperluan kepada makanan serta perbezaan struktur. Dari segi bentuk atau morfologi, bakteria boleh dibahagikan kepada:
a.    Cocci – Berbentuk bulat dan berupa dalam rantaian (stretococci), clumps atau berkelompok (staphylococci) atau berpasangan (diplococci).
b.    Bacilli atau berbentuk batang (rod-shaped).
c.    Spiral atau berbentuk lingkaran.
Untuk tumbesaran atau hidup, bakteria memerlukan makanan, air serta asid amino. Dari udara pula, bakteria memerlukan karbon dioksida untuk hidup.

Spesies bakteria yang menyebabkan penyakit atau kemudaratan kepada manusia dinamakan sebagai patogen. Di antara contoh-contoh bakteria yang menyebabkan keracunan makanan termasuklah Salmonella sp., Clostridium Perfringens, Clostridium Botulinum, Staphylococcus Aureus dan sebagainya. Spesies-spesis ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia apabila ia mencemari makanan yang diambil oleh manusia. Patogen seperti Clostridium botulinum juga mengeluarkan toksin beracun. Toksin ini dapat melemahkan dan merosakkan sistem saraf seseorang.

Bakteria mempunyai sejenis mekanisme pertahanan untuk hidup dan membiak sekiranya bekalan makanan dan nutrien di persekitarannya menjadi semakin kurang atau tiada. Ini dilakukan dengan membentuk lapisan pelindung di sekelilingnya dan dikenali sebagai spora. Perlindungan ini membolehkan bakteria terus hidup tetapi dalam keadaan yang tidak aktif. Sekiranya tiada perlindungan seumpama ini, bakteria akan mati. Jika keadaan persekitaran sesuai dengan keperluannya, spora akan bertukar kepada bentuk bakteria biasa yang kemudiannya bercambah dengan cepat (Noryati Ismail, 2000).

Virus

Virus adalah lebih kecil berbanding dengan bakteria dan hanya dapat dilihat dengan menggunakan mikroskop elektron. Virus adalah mikrob yang hanya dapat hidup dalam tisu-tisu hidup seperti dalam darah atau bendalir seperti dalam badan manusia atau haiwan. Virus mengandungi salah satu sama ada DNA atau RNA tetapi tidak mengandungi kedua-duanya sekali. Virus mengandungi teras iaitu Asid Nuklei (DNA atau RNA) dan dikelilingi oleh lapisan protein (Capsid). Ia melindungi Asid Nuklei dan merangsang pelekatan virus kepada sel hos atau perumah.

Virus adalah sejenis parasit iaitu ia tidak dapat membiak di luar sel hidup dan kebanyakan virus tidak dapat hidup lama di luar sel hidup. Virus menggunakan kaedah tertentu untuk mengambil alih dan seterusnya memusnahkan sel hos atau perumah yang dimasukinya. Apabila ia masuk dan melekat kepada sel hos, ia menyuntik Asid Nukleiknya ke dalam DNA hos tersebut. Seterusnya, virus tersebut mengambil alih sel protein hos dan mula membuat partikel untuk pengeluaran virus yang baru.

Virus terdapat di mana-mana, ada yang merbahaya dan tidak merbahaya. Sebahagian yang merbahaya boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti Influenza, cacar, HIV dan sebagainya.

Virus menyerang atau memusnahkan sel-sel hos dengan tiga cara iaitu:
a.    Cytopathic Effect (CPE) – Berlaku apabila sesuatu virus menjangkiti hos/perumah dan seterusnya membunuh selnya. Sebagai contoh virus yang dikenali sebagai adenovirus.
b.    Latency – Satu peringkat di mana sesuatu virus kelihatan tidak menimbulkan apa-apa kesan kepada hos yang dijangkiti. Tetapi sebenarnya virus tersebut berada pada peringkat pendam (Dormant) dan berpotensi untuk memusnahkan sel hos. Sebagai contoh virus yang dikenali sebagai Virus Varicella-Zoster yang menyebabkan penyakit kayap.
c.    Transformation – Satu kaedah di mana virus boleh mengubah sel hos/perumah kepada bentuk Malignan (kanser) contohnya, jangkitan virus Hepatitis B boleh menyebabkan seseorang mendapat penyakit kanser hati (Liver Carcinoma).

Kulat


Kulat atau dalam istilah perubatan disebut Fungi. Kulat adalah mikroorganisma bersel Eukaryotic. Kulat lebih kompleks daripada bakteria dan ia mengandungi nukleus yang mengandungi kromosom di dalam selaput membran.

Dari segi pembiakan, kulat boleh dibahagikan kepada:

a.    Yis – Sel berbentuk bulat membiak secara berpasangan. Sebagai contoh Cryptococcus neoformans.

b.    Fungi seperti yis – Seperti yis, ia membiak dengan cara berpasangan dan sebahagian lagi membentuk filamen. Contohnya Candida Albicans.

c.    Filamentous Fungi – Tumbuh sebagai filamen, contohnya kulat yang menyebabkan jangkitan kurap.

d.    Dimorhic Fungi – Tumbuh dalam dua bentuk iaitu sebagai yis di badan tetapi membentuk Mycelia di persekitaran atau di dalam kultur. Misalnya Blastomyces dan Histoplasma.


Penyakit berkaitan kulat atau Mycose terbahagi kepada:

i.        Penyakit yang menjangkiti kulit seperti penyakit kurap.

ii.      Penyakit yang menjangkiti keseluruhan sistem badan, misalnya penyakit Histoplamosis. Keadaan ini berlaku apabila hos mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah. Ini memberi peluang untuk serangan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jangkitan kulat yang berbentuk patogenik atau jangkitan opportunists. Sebagai contoh, jangkitan sekunder yang berlaku dalam kalangan pesakit AIDS dan pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan kemoterapi.

(b)  Mekanisme pertahanan manusia boleh dibahagikan kepada Mekanisme Pertahanan Luar dan Mekanisme Pertahanan Dalaman yang bertujuan untuk mengelak atau menentang ancaman daripada organisma lain.
Huraikan dengan terperinci mekanisme pertahanan luaran.

a.    Kulit
Kulit berperanan sebagai pertahanan yang menghalang atau mencegah organisma luar memasuki tisu atau organ dalam badan. Di samping itu, ia juga boleh membunuh sebahagian spesies mikroorganisma apabila ia tersentuh dengan permukaan kulit. Sebagai contoh, permukaan kulit mempunyai keupayaan untuk mencegah kemasukan bakteria salmonella ke dalam badan sekiranya ia tersentuh dengan kulit.

b.    Membran Mukus
Ia bertindak sebagai lapisan penghalang yang mencegah organisma daripada memasuki tisu di dalam badan. Ia boleh membunuh mikroorganisma yang tersentuh dengan permukaan Membran. Sebagai contoh, air mata, mukus hidung serta air liur mengandungi sejenis enzim yang dikenali sebagai lisozim yang mampu membunuh mikroorganisma yang dibawa oleh udara sekiranya tersentuh dengan permukaan hidung dan mata.

BAHAGIAN C
Soalan
1.    Moto yang berbunyi “Sekolahku Syurgaku” sering dipaparkan di sekolah-sekolah sebagai usaha untuk memberikan impak positif peranan sesebuah sekolah kepada pelajar dan masyarakat.

Dengan memberikan contoh yang sesuai, bincangkan amalan 3K (Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan) di sekolah untuk mencapai matlamat sekolahku syurgaku di atas.

2.    Toksid merupakan bahan buangan yang berupa cecair, pepejal atau gas yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia, binatang dan alam sekitar. Kandungan bahan dalam toksid boleh meningkatkan peluang seseorang untuk mendapat penyakit.

Bincangkan DUA jenis penyakit yang boleh dijangkiti daripada simptom bahan toksid ini dan huraikan aspek-aspek pengurusan yang boleh dilakukan terhadap bahan toksid, khususnya bagi negara-negara yang sememangnya bergantung dalam bidang perindustrian ini.

a.    Kanser
Antara bahan toksid yang boleh menyebabkan penyakit kanser ialah bahan yang mengandungi Karsinogen. Bahan Karsinogen merujuk kepada apa-apa bahan pepejal atau bahan Radionuklei atau Radioaktif yang boleh merencatkan atau menggangu tumbesaran sel sihat di dalam badan manusia. Gangguan ini menyebabkan sel-sel tumbuh tanpa kawalan. Antara bahan yang mengandungi bahan Karsinogen termasuklah asbestos dan asap rokok. Pendedahan kepada punca-punca bahan toksik meningkatkan peluang seseorang itu mendapat penyakit kanser.

b.    Jangkitan Saluran Pernafasan
Debu dan habuk yang berterbangan di udara boleh memasuki saluran pernafasan dan menyebabkan jangkitan pada paru-paru. Misalnya pekerja yang bekerja di kilang yang mengeluarkan debu dan habuk seperti kuari, mereka terdedah kepada ancaman debu dan habuk. Sekiranya seseorang pekerja itu tidak mengambil langkah-langkah pencegahan seperti menggunakan alat perlindungan diri mereka boleh terdedah dengan ancaman jangka panjang risiko tersebut. Bendasing yang terkumpul ini boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru dan salah satu simptomnya ialah pneumonia.

Kawalan terhadap bahan-bahan toksid memerlukan tahap teknologi dan kos yang tinggi. Tetapi jika dilihat dari segi keuntungan jangka panjang kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk, sememangnya pengurusan yang cekap terhadap bahan atau sisa toksik dari industri merupakan satu langkah yang wajib dilakukan oleh semua pihak. Oleh itu, adalah amatlah penting agar pengurusan sempurna bahan toksid dijalankan dari segi:

a.    Rawat
Sebilangan bahan toksik boleh dirawat untuk mengurangkan kesan buruknya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar. Sebahagian bahan toksik yang telah dirawat boleh dikitar semula sekiranya ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

b.    Penyimpanan
Penyimpanan di tempat yang sempurna menjamin ia tidak mengakibatkan kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar.

c.    Pengangkutan
Pengangkutan bahan toksik seharusnya tidak membahayakan pengguna jalan raya yang baik.

d.    Pelupusan
Tempat dan kaedah pelupusan yang sempurna hendaklah mematuhi akta dan undang-undang alam sekitar yang sedia ada. Langkah ini dapat menjamin agar bahan toksid tidak mendatangkan kesan buruk secara jangka panjang kepada manusia dan alam sekitar.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...