Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Sabtu, 3 Disember 2011

HBML3303 (ULANGKAJI SOALAN LEPAS)

PERINGATAN! 
JAWAPAN HANYALAH CADANGAN PENULIS SEMATA-MATA.

BAHAGIAN A

ARAHAN

Bahagian A mengandungi LIMA soalan. Jawab SEMUA soalan.

1.    Berikan takrif psikolinguistik dan takrif semantik.
Psikolinguistik ialah disiplin ilmu yang mengkaji hal-hal yang berkaitan dengan akal budi atau jiwa dan juga tingkah laku manusia. Semantik adalah istilah untuk kajian linguistik yang menganalisis makna, baik pada peringkat morfem, kata, frasa, ayat atau wacana dan hubungannya dengan idea, konsep dan perasaan.
2.    Senaraikan EMPAT struktur kajian makna perkataan.
a)    Sinonim
Sinonim  adalah kata-kata yang mempunyai makna yang hampir-hampir sama, tetapi berbeza nilai rasa dan penggunaannya. Contoh: Hangat sinonim dengan panas.

b)   Antonim
Antonim ialah kata-kata yang berlawan makna. Contohnya: Sejuk        antonim bagi panas.

c)    Hiponim
Hiponim ialah makna umum yang merangkumi makna khusus. Sebagai contoh perkataan bunga mengandungi makna umum.Perkataan-perkataan lain yang mempunyai makna khusus dan berhubungan kekeluargaan dengan bunga, seperti cempaka, mawar, anggerik, dahlia, melur dan sebagainya.

d)   Polisem
Polisem ialah kata-kata yang mempunyai kesamaan bunyi dan bentuk ejaan tetapi berbeza makna apabila digunakan dalam konteks yang berlainan. Contohnya: Badan
          i.Badan saya sakit. (Badan bererti tubuh)
    ii.Badan Kebajikan Masyarakat telah ditubuhkan di kampung kami.(Badan   bererti lembaga atau yayasan)

e)    Homofon
Perkataan yang sebutannya sama tetapi ejaan berlainan. Contohnya:            
               i.nun yang menunjukkan jauh di sana.
    ii.noon yang bermaksud tengah hari (dalam Bahasa Inggeris).

f)     Homograf
Homograf ialah kata-kata yang mempunyai kesamaan bentuk ejaan tetapi tidak sama bunyi dan maknanya. Contohnya: perang   
      i.Baju berwarna perang itu baru dibeli.
    ii.Suaminya telah terkorban di medan perang.

3.    Susun kembali peringkat melahirkan pertuturan berikut mengikut susunan yang betul:
a)    Leksikal
b)    Fonetik
c)    Konsep
d)    Fonologi

a)    Konsep
b)   Leksikal
c)    Fonologi
d)   Fonetik

4.    Kenapakah ahli kognitif menganggap proses pembelajaran sebagai evolusi?
Ahli kognitif menganggap proses pembelajaran sebagai evolusi kerana bahasa dipelajari sedikit demi sedikit. Perubahan bentuk lakuan adalah bergantung pada kuantiti maklumat-maklumat baharu yang telah diterima oleh manusia.

5.    Menurut Anthony (1963) pendekatan ialah satu set andaian yang saling berkaitan dengan proses pengajaran yang diamalkan dalam pembelajaran sesuatu mata pelajaran supaya sesuai dengan tahap pelajar. Terangkan DUA daripada pendekatan berikut:
a)    Induktif
b)    Deduktif
c)    Elektif
d)    Komunikatif

Pendekatan
Huraian
a)    Induktif
      i.Melibatkan satu proses penaakulan yang tinggi.
    ii.Pelajar digalakkan mencari, meneliti dan mempelajari.
iii. Pelajar mengemukakan rumusan dengan sesuatu sebab atau contoh dan membuat generalisasi.
b)   Deduktif
    i.Mengasaskan pengajaran dan pembelajaran murid kepada hukum-hukum tertentu.
   ii.Menggunakan proses penaakulan yang tinggi.
iii.Pembelajaran dimulakan dengan melihat hokum-hukum atau mempelajari peraturan-peraturan tertentu, menganalisis dan mengaplikasikannya.
c)    Elektif
      i.Gabungan beberapa pendekatan.
    ii.Menggabungkan ciri-ciri yang baik daripada beberapa pendekatan.
  iii.Tujuan pendekatan adalah untuk menghasilkan strategi pengajaran dan pembelajaran berkesan.
iv.Sesuai digunakan bagi kelas-kelas yang terdiri daripada pelajari-pelajar pelbagai kebolehan.
d)   Komunikatif
i.Berpusatkan bentuk-bentuk komunikatif seperti bercerita, melapor dan menyampaikan maklumat.
ii.Memberikan penekanan kepada penyerapan bentuk-bentuk gramatikal untuk tujuan berkomunikasi.
 iii.Menyerapkan faktor-faktor kognitif dan sosiobudaya.

BAHAGIAN B

ARAHAN

Bahagian B mengandungi EMPAT soalan. Jawab TIGA soalan SAHAJA.

1.    Teori psikolinguistik adalah sesuatu pendapat atau pandangan yang dikemukakan dalam bidang psikolinguistik
a)    Berikan DUA matlamat penting dalam kajian psikolinguistik.
Matlamat kajian psikolinguistik ialah:
      i.Aspek yang berkaitan dengan pemerolehan pengetahuan bahasa pertama atau bahasa ibunda.
    ii.Aspek yang berkaitan dengan proses pemahaman input bahasa.
   iii.Aspek yang berkaitan dengan proses penghasilan output bahasa.
   iv.Aspek yang berkaitan dengan penyimpanan maklumat bahasa atau pengetahuan bahasa.

b)    Terangkan teori-teori berikut:
     i.Teori Struktural
Teori ini dipelopori oleh Bloomfield, Edward Sapir, Ferdinand de Saussure dan Otto Jespersen. Mereka berpendapat bahawa bahasa ialah sistematis, mempunyai tatabahasa yang tersendiri, hidup dan berubah. Mereka juga berpendapat bahawa perkaitan antara fonem sebagai unit bahasa yang terkecil, dan unit tatabahasa dan ayat dapat dianalisis secara konstituen terdekat. 
Dalam kajian nahu pula mereka berpendapat bahawa bahasa sebagai sistem yang mempunyai ciri peraturan, sistem, arbitari untuk perhubungan. Mereka menumpukan kajian terhadap fonologi, morfologi dan sintaksis. Golongan struktural juga berpendapat bahawa huraian bahasa dilakukan secara induktif. Mereka juga berpendapat bahawa huraian bahasa tidak mementingkan makna dan analisis dibuat secara luaran.

   ii.Teori Transformasi Generatif
Teori yang dipelopori oleh Noam Chomsky ini bersetuju bahawa manusia dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa. Penutur natif berkebolehan untuk membentuk dan memahami pertuturan yang baharu. 
Daripada kebolehan ini, akan “terbentuklah rumus-rumus bahasa secara transformasi yang lengkap berdasarkan bahasa pertama terlebih dahulu.” Binaan ayat biasanya mempunyai hubungan erat antara elemen dan menggunakan simbol atau rumus untuk menganalisis nahu. Sesuatu binaan ayat dapat dihuraikan dengan memahami stuktur luaran dan stuktur dalaman.

  iii.Teori Fungsional
Halliday, dan Wilkins mempelopori teori fungsional. Teori ini berkembang pada tahun 1960-an dan 1970-an. Penteori ini mengkaji bahasa dari segi struktur dan fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Di samping itu, mereka menganggap bahawa bahasa sebagai alat pertuturan. Oleh hal yang demikian, dapatan mereka ini mementingkan aspek semantik. Mereka bersetuju bahawa kewujudan variasi dalam penggunaan bahasa tidak boleh dinafikan.
Penggunaan bahasa dapat menggambarkan fikiran dan emosi penutur. Golongan ini beranggapan bahawa pengukuhan bahasa adalah secara verbal dan non-verbal. Aliran dan golongan ini bukan sahaja mengkaji bahasa daripada segi struktur tetapi memberi perhatian juga kepada fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Aspek yang ditekankan ialah perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk-bentuk bahasa ketika seseorang itu berkomunikasi.

2.    Bahasa amat berkait rapat dengan otak manusia. Setiap bahagian yang terbentuk pada otak manusia mempunyai fungsi-fungsi tersendiri.
a)    Lakarkan gambar otak manusia dan huraikan peranan yang dimainkan oleh bahagian-bahagian tertentu dalam otak.

Otak memegang peranan penting dalam proses pembelajaran. Otak manusia dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu bahagian bawah dan bahagian atas. Bahagian bawah dikenal dengan nama batang otak manakala bahagian atas sebagai serebrum
Batang otak memastikan badan kita sentiasa hidup dengan mengawal pernafasan, degup jantung, dan sebagainya. Serebrum pula merupakan bahagian yang amat penting bagi kehidupan kita kerana bahagian ini menjana bahasa. Selain itu, serebrum juga mengintegrasikan manusia dengan persekitarannya. Serebrum dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu hemisfera kiri dan hemisfera kanan.
Setiap satu hemisfera mempunyai tugas utama. Hemisfera kiri bertugas untuk mengawal bahasa, operasi logik, analitik, dan matematik. Sementara itu, hemisfera kanan bertugas untuk mengawal emosi, mengecam muka, dan mengenal struktur badan. Pematangan fungsi tertentu otak, khususnya fungsi verbal menjadi mantap di hemisfera kiri. Hal ini disebut sebagai lateralisasi.
b)    Terangkan dengan jelas apakah kaitan di antara bahasa dan otak.
Otak mengawal proses kognitif yang terlibat dalam hal menghasilkan bahasa atau untuk memahami bahasa. Jalur motor pula terlibat dalam hal artikulasi, iaitu pergerakan otot-otot lidah, bibir dan anak tekak.Beberapa bahagian otak terlibat dalam struktur dan fungsi bahasa iaitu dalam hal penerbitan pertuturan dan pemahaman pertuturan. 
Operasi bahasa, logik dan analisis, serta matematik bertahap tinggi biasanya berlaku di hemisfera kiri. Sementara  hemisfera kanan dalam hal mengenal emosi, mengecam muka, dan mengambil kira struktur perkara secara global tanpa sebarang analisis. 
Bidang tugas hemisfera kiri dan kanan dipanggil lateralisasi yang menjelaskan bahawa otak mempunyai tanggungjawab khusus untuk mengembangkan bahasa.
Kajian menunjukkan bahawa bahasa berpusat di hemisfera kiri dalam kalangan orang yang menggunakan tangan kanan. Ada kalanya bahasa berpusat di hemisfera kanan bagi orang yang menggunakan tangan kiri. 
Terdapat pandangan baharu yang menyatakan bahawa hemisfera kiri memberi tumpuan kepada operasi bahasa yang cepat, manakala yang kanan memberi tumpuan kepada proses pemaknaan yang tinggi.
Biasanya, kemahiran bahasa melibatkan hemisfera kiri. Contohnya, jika seseorang mengalami cedera parah dalam kemalanganyang melibatkan hemisfera kiri otak, kebolehan berbahasanya akan terjejas.

3.    a)   Antonim dapat dibahagikan kepada beberapa jenis. Jelaskan jenis-jenis antonim yang telah anda pelajari.

Antonim ialah kata yang mempunyai maksud yang bertentangan dengan kata yang lain. Jenis-jenis antonim ialah;
      i.Antonim berpasangan
Perkataan-perkataan yang menunjukkan makna yang berlawanan tentang alam semulajadi. Contohnya, siang antonim bagi malam,dan langit  antonim bagi bumi.

    ii.Antonim berperingkat
Terdapat peringkat seperti, ‘usia’, ‘ukuran’, dan ‘bentuk’ berasaskan kata sifat atau kata yang menunjukkan keadaan dalam kategori yang sama. Contohnya, tua antonim bagi muda, tinggi antonim bagi rendah, dan bulat antonim bagi segi empat.

   iii.Antonim berhubungan
Perkataan yang berlawanan makna tetapi mempunyai hubungan. Contohnya, pensyarah antonim bagi pelajar, guru antonim bagi murid, ayah antonim bagi anak.

b)    Huraikan bagaimanakah ketaksaan semantik berlaku dalam aspek berikut: 

     i.Leksikal
Ketaksaan leksikal melibatkan lebih daripada satu pentafsiran bagi sesuatu perkataan. Contoh; “Pelajar tersebut masih memikirkan sesuatu di dalam kamarnya”.

   ii.Struktural
Ketaksaan struktural melibatkan lebih daripada satu pentafsiran bagi suatu konstituen, seperti frasa, klausa, dan ayat. Contoh; “Dua orang pelajar menerima anugerah inovasi sains yang mengharumkan nama universiti”.

  iii.Metafora
Ketaksaan metafora melibatkan lebih daripada satu pentafsiran bagi unsur-unsur kiasan yang pada dasarnya sensitive terhadap budaya. Contoh; “Perbuatan rakan anda itu biadab”.

4.    a)   Analisiskan TIGA prinsip asas yang perlu diketahui dalam memahami bahasa
      pertuturan.

Tiga prinsip asas yang perlu diketahui dalam bahasa pertuturan ialah:
      i.Penyaluran Bunyi atau Tulisan
Dalam sistem komunikasi, terdapat penutur, pendengar, penulis, dan pembaca. Oleh itu, bahasa menyalurkan ujaran bunyi atau tulisan. Ini bermakna penyebaran bahasa berlaku menerusi saluran bunyi dan tulisan.

    ii.Penganalisisan dan Pemahaman
Bahasa pertuturan yang didengar atau dibaca boleh dianalisis dan difahami. Tindak balas akan wujud melalui penganalisisan dan pemahaman minda.

   iii.Penguasaan Kemahiran Berasaskan Konteks
Bahasa merupakan teras pemindahan sistem komunikasi. Pendedahan kepada penggunaan bahasa dalam sesuatu konteks mengikut budaya masyarakat menyebabkan berlaku pengusaan kemahiran tentang sesuatu bahasa.

b)    Implikatur merupakan suatu “bentuk pentafsiran makna yang melewati batas-
batas makna yang tersurat atau literal dalam suatu ayat: (Grice: 1975):
Berikan ulasan anda tentang implikatur berdasarkan pendapat Grice tersebut.

Implikatur yang dikemukakan Grice bermaksud makna yang tersirat di sebalik sesuatu ujaran. Contohnya, dalam situasi di mana Ahmad dan Ali yang menyedari kedutan pada wajah nenek yang melintas di depan mereka. Ahmad menyatakan kepada Ali; “Cantik dan ayunya wajah Alina, gila bayang aku dibuatnya”.
Ali memahami bahawa Ahmad cuba menyampaikan sesuatu maksud yang tersirat dalam ucapannya. Ini menunjukkan terdapat prinsip saling bekerjasama di antara pendengar dan penutur seperti yang dikemukakan oleh Grice. 
Ahmad telah melanggar ‘kualiti’, iaitu kebenaran yang merupakan maksim pertama dalam peraturan pertuturan. Tetapi pada hakikatnya, Ahmad cuba untuk menyampaikan maksud yang lain, menepati maksim kedua dalam peraturan pertuturan, iaitu ‘kuantiti’ yakni keperluan ujaran.
Dalam ujarannya Ahmad mengaitkan kecantikan dan keayuan wajah Alina yang kononnya  akan mengakibatkan dia gila bayaing,  selari dengan maksim ketiga dan keempat, iaitu ‘hubungan’ dan ‘perlakuan’. Ujaran Ahmad menggunakan bahasa yang padat, ringkas dan jelas.

BAHAGIAN C

ARAHAN

Bahagian C mengandungi DUA soalan. Jawab SATU soalan SAHAJA.
1.   Aplikasikan pendekatan teori kognitif dalam pengajaran murid sekolah rendah dengan tumpuan kepada kaedah kalimat.

Beberapa aktiviti yang boleh dijalankan semasa proses pembelajaran bahasa berfokus kaedah kalimat ialah:
a.    Guru memperkenalkan kepada murid tentang kalimat atau ayat pendek dan bermakna.
b.    Guru menulis dan membaca sesuatu ayat beberapa kali.
c.    Murid mengulangi ayat tersebut.
d.    Murid menyisipkan perkataan-perkataan dalam ayat-ayat baharu.
e. Guru memperkenalkan unsur-unsur suku kata dan huruf dalam perkataan-perkataan.
f.     Guru terlebih dahulu membacakan ayat. Contohnya, “Dia rakan baik saya”.
g. Guru menarik perhatian murid kepada hakikat bahawa ayat tersebut terbina daripada  empat perkataan, iaitu ‘dia’, ‘rakan’, ‘baik’ dan ‘saya’.
h. Guru menarik perhatian murid kepada suku-suku kata yang membina setiap perkataan, selain huruf-huruf yang membina setiap suku kata.

2.   Pedagogi pengajaran amat penting dalam menghasilkan pengajaran yang berkesan dengan pencapaian pelajar yang maksimum. Seorang guru yang baik harus memahami prinsip pedagogi pengajaran dan berpegang kepada prinsip tersebut dalam aplikasi pengajaran masing-masing.
Berpandukan kepada prinsip pedagogi pengajaran yang telah dipelajari huraikan perbezaan di antara prinsip pedagogi pengajaran yang berasaskan aliran Behaviorisme dengan prinsip pedagogi pengajaran berasaskan aliran Kognitif.

a.    Aliran Behaviorisme
      i.Bahasa yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Ini bermakna guru-guru mestilah berusaha untuk membolehkan murid-murid bertutur dalam bahasa itu dahulu dan kemudian baharulah kepada pengajaran membaca dan menulis.

   ii.Bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran kedua. Bagi membentuk kebiasaan ini latihan dan latih tubi serta perbualan bahasa juga diutamakan. Guru perlu menyusun pelajaran dengan baik dan pengajaran dimulakan daripada pola-pola yang senang kepada yang lebih susah.

 iii.Pengukuhan adalah satu syarat penting di dalam pembelajaran disebabkan ia merupakan satu alat untuk menetukan pembentukan tingkah laku yang dikehendaki. Dalam situasi pembelajaran bahasa, pengukuh-pengukuhnya adalah pujian, keistimewaan, pengiktirafan, maklum balas, galakan dan sebagainya. Mengikut prinsip ini sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguh oleh guru dengan cara member pengukuhan.

  iv.Latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Ia merupakan latihan ulangan sesuatu gerak balas dengan sesuatu rangsangan. Latihan dan latih tubi hendaklah dilakukan dalam keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk mengelakkan pelajaran tersebut menjadi bosan. Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui penggunaan bahan-bahan makmal bahasa.

 v.Model-model bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks pembelajaran bahasa di sekolah-sekolah, bahasa guru menjadi model yang diikuti oleh pelajari-pelajar. Jika model-model ini menggunakan bahasa yang sama atau mirip-mirip sama dengan bahasa matlamat, maka ini akan menguntungkan pelajari-pelajar itu.

  vi.Mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses pembelajaran. Bahasa adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas. Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika kedua-dua unsur ini dapat diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah laku baru yang berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan minat serta motivasi.

b.    Aliran Kognitif
      i.Tulisan dan bacaan diutamakan. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, Kajian-kajian bahasa biasanya dilakukan berasaskan tulisan. Latihan-latihan tulisan yang diberi termasukah latihan terjemahan bahan daripada bahasa sasaran ke bahasa ibunda atau sebaliknya.

   ii.Semua kanak-kanak dapat mempelajari bahasa kerana mereka telah dilahirkan dengan kebolehan semulajadi untuk berbuat demikian. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, guru harus menyedari kebolehan semulajadi untuk berbahasa yang ada pada kanak-kanak itu membolehkan mereka menganalisis pertuturan yang mereka dengar. Guru perlu menggunakan pengetahuan bahasa murid-murid dalam masa merancang dan menentukan bahan-bahan pengajaran yang akan diajar nanti. 

   iii.Penyampaian makna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dalam sesuatu huraian bahasa. Prinsip ini menekankan kebolehan untuk menggunakan struktur-struktur bahasa yang betul dari segi tatabahasa dan makna bagi membolehkan kanak-0kanak itu berkomunikasi dalam masyarakat bahasa itu. Guru harus menggunakan aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dan berkesan untuk membolehkan kanak-kanak menguasai struktur-struktur bahasa yang terdapat di dalam sistem bahasanya dengan baik.

   iv.Kadar perkembangan bahasa adalah sama bagi kanak-kanak pada peringkat kematangan yang sama dalam keadaan yang normal. Prinsip ini mempercayai bahawa kematangan yang sama dalam kalangan kanak-kanak akan mempunyai ciri-ciri pembelajaran yang sama. Justeru, guru hendaklah berhati-hati membuat pemilihan terhadap bahan-bahan yang hendak disampaikan.

    v.Kajian-kajian bahasa disampaikan secara deduktif dan tatabahasa disampaikan secara formal. Ini bermakna, penyampaian pelajaran kajian-kajian bahasa dimulakan dengan pengajaran mengenai rumus-rumus dan konsep-konsep tatabahasa dan kemudiannya baharulah diberi contoh-contoh. 

   vi.Pembelajaran bahasa merupakan satu proses mental. Melalui proses ini, pembelajaran bahasa dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pemikiran ini dilahirkan melalui pertuturan.

Sumber Soalan: Mylms OUM
Sumber Jawapan : Modul HBML3303 dan Internet

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...