Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Khamis, 1 Disember 2011

HBEF2503 (ULANGKAJI SOALAN LEPAS)

PERINGATAN! 
JAWAPAN HANYALAH CADANGAN PENULIS SEMATA-MATA.

BAHAGIAN A

ARAHAN

Bahagian A mengandungi LIMA soalan. Jawab SEMUA soalan.

1.   Bezakan antara kajian kuantitatif dengan kajian kualitatif dari segi tujuan dan pendekatannya.

PERBEZAAN
CONTOH KAJIAN
KAJIAN KUANTITATIF
KAJIAN KUALITATIF
Tujuan
“Faktor-faktor yang Mempengaruhi Gejala Ponteng Di Kalangan Pelajar Sekolah Menengah”

Menyelidik hubungan, sebab, dan kesan.
Misalnya, kajian dijalan kan bagi menentukan hubungan antara gejala ponteng dengan pencapaian pelajar.
Memahami fenomena sosial.
Misalnya, kajian dijalankan bagi mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi gejala ponteng.
Pendekatan
Deduktif; menguji teori
(Bergerak daripada umum kepada spesifik)
Misalnya, pengkaji mengumpul data menggunakan soal-selidik terhadap sampel/ responden. 
Induktif; menjana teori
(Bergerak daripada spesifik kepada umum)
Misalnya, pengkaji menggunakan kaedah kajian kes/tinjauan/ pemerhatian bagi mengumpul data.

2.    Nyatakan Dua ciri hipotesis. Berikan SATU contoh hipotesis nol (Ho) dan hipotesis alternatif (Ha).

Ciri-ciri Hipotesis
a)    Suatu pernyataan yang diramal mempunyai jawapan yang bernilai kepada soalan kajian.

b)   Suatu jangkaan yang mempunyai hubungan antara beberapa variabel atau kesan antara satu variabel terhadap variabel lain.

Ho (Hipotesis statistik / nol)
Contoh; “Tiada perbezaan skor min dalam Sains antara pelajar-pelajar Tingkatan 2A yang mempelajarinya melalui kaedah Koperatif dengan skor min pelajar-pelajar Tingkatan 2B yang mempelajarinya dengan kaedah Tradisional”.

Ha (Hipotesis kajian / alternatif)
Contoh; “Terdapat perbezaan skor min dalam Sains antara pelajar-pelajar Tingkatan 2A yang mempelajarinya melalui kaedah Koperatif dengan skor min pelajar-pelajar Tingkatan 2B yang mempelajarinya dengan kaedah Tradisional”.

3.    Nyatakan EMPAT jenis persampelan bukan kebarangkalian.

a)    Persampelan Mudah
Sampel dipilih berasaskan kepada subjek kajian yang  mudah diperolehi untuk kajian tertentu. Contoh, biasanya guru menggunakan pelajar sendiri sebagai subjek kajian.

b)    Persampelan Bertujuan
Sampel dipilih selepas pengkaji melakukan kajian lapangan terhadap kumpulan tertentu untuk memastikan sesuatu ciri dapat digunakan dalam kajian yang dijalankan. Contoh, pengkaji menggunakan pemonteng sekolah dalam kajian berkaitan ponteng sekolah.

c)    Persampelan snowball
Kumpulan sampel dipilih setelah dikenalpasti memiliki ciri-ciri tertentu, kemudiannya akan memberi nama pelajar-pelajar lain yang mempunyai ciri yang sama. Contoh, dalam kajian berkaitan penggunaan dadah, pengkaji mengenalpasti pelajar-pelajar yang mempunyai ciri-ciri penggunaan dadah,  kemudiaan meminta mereka  menamakan pelajar-pelajar lain yang menggunakan dadah.

d)    Persampelan Kuota
Sampel dipilih mengikut pembahagian ciri-ciri tertentu seperti jantina, umur, pendidikan, dan atribut lain. Contoh, dalam kajian berkaitan isu keganasan antara pelajar sekolah dalam satu daerah, pengkaji perlu menetapkan jadual yang melinatkan beberapa langkah.
Dalam langkah pertama, pengkaji mewujudkan kategori pelajar, misalnya 15 tahun ke atas dan 15 tahun ke bawah. Diikuti langkah kedua, membahagikan dan menentukan jumlah pelajar mengikut kategori (umur, jantina, dan sebagainya). Disusuli langkah-langkah seterusnya.

4.    Nyatakan unsur-unsur yang terdapat dalam model pengajaran dan pembelajaran MURE.

a)    Motivasi
Contohnya; Guru memberi semangat supaya murid-murid rajin belajar untuk menyambung pengajian dalam bidang tertentu seperti perubatan.

b)    Pemahaman
Contohnya; Guru mengadakan kelas tambahan bagi murid-murid lemah.

c)    Pengukuhan
Contohnya; Guru membantu murid semasa membuat latihan.

d)    Kemahiran Peperiksaan
Contohnya; Guru memberi soalan peperiksaan bagi setiap topik sebagai kerja rumah dan menyemak jawapan setiap murid.

5. Berikan dan jelaskan SATU kaedah pengajaran yang sesuai berpandukan pendekatan penemuan berpandu.

Kaedah perbincangan ialah salah satu kaedah pengajaran pendekatan penemuan berpandu. Dalam kaedah ini, guru akan memberi topik tertentu untuk dibincangkan oleh murid-murid. Misalnya dalam mata pelajaran Kajian Tempatan, bagi topik “Kesan cuaca dan iklim kepada aktiviti manusia”.  Guru perlu memberi topik-topik kecil untuk dibincangkan seperti (a) definisi “cuaca dan iklim” dan “aktiviti manusia”, (b) “aktiviti hari/musim hujan”, (c) “aktiviti hari/musim panas”. Sebelum perbincangan, guru perlu membimbing murid- murid untuk memahami maksud “cuaca dan iklim” dan “aktiviti manusia”.  Setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan dan guru perlu memberi komen. Guru juga perlu menyiapkan laporan akhir dan memberikannya kepada pelajar sebagai hasil pengajaran.


BAHAGIAN B

ARAHAN

Bahagian B mengandungi EMPAT soalan. Jawab TIGA soalan SAHAJA.

1.    Andaikan anda ingin menjalankan kajian bertopik “Hubungan antara motivasi dan minat dengan pencapaian dalam ujian Bahasa Inggeris”.

a)    Jelaskan dengan ringkas kepentingan kajian ini.

Kajian ini dijalankan untuk memberi gambaran dan maklumat yang jelas sama ada proses
pencapaian dipengaruhi  oleh motivasi guru dan minat murid-murid semasa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris. Hasil daripada kajian ini diharap dapat  membantu guru- guru Bahasa Inggeris untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Dapatan kajian ini juga diharapkan dapat membantu guru-guru untuk meningkatkan dorongan dan minat murid dalam mata pelajaran ini.

b)    Senaraikan DUA soalan kajian yang berkaitan dengan variabel-variabel yang diberikan dalam kajian ini.

i.      Adakah wujud hubungan antara motivasi belajar dengan pencapaian Bahasa Inggeris?
ii.    Adakah wujud hubungan antara minat dengan pencapaian Bahasa Inggeris?
iii.   Adakah wujud hubungan antara kaedah pengajaran guru dengan pencapaian Bahasa Inggeris?

c)    Nyatakan sedikit latar belakang kepada masalah kajian.

Bahasa Inggeris adalah mata pelajaran yang diwajibkan di semua peringkat persekolahan. Namun pencapaian dalam mata pelajaran ini amat membimbangkan. Kajian ini diharapkan dapat mencari sebab-sebab utama mengapa ramai murid lemah dalam mata pelajaran ini. Dapatan-dapatan ini mungkin boleh dijadikan panduan kepada guru-guru Bahasa Inggeris.

d)    Cadangkan jenis-jenis maklumat yang diperlukan dalam tinjauan literatur untuk kajian ini.

Untuk topik kajian ini, kita perlu membaca dan memahami konsep-konsep motivasi dan minat. Selain itu, kita perlu membaca dan memahami bagaimana motivasi (dorongan) dan minat, kaedah pengajaran guru, bahan bantu mengajar, penggunaan bahasa Inggeris oleh guru semasa pengajaran dan pembelajaran, mempunyai perkaitan dengan pencapaian murid.

2.             
a) Apakah yang dimaksudkan dengan reka bentuk kajian?

Reka bentuk kajian adalah strategi untuk menjalankan kajian yang melibatkan pemilihan sampel, pembahagian sampel kepada beberapa kumpulan yang sesuai serta kaedah dan teknik pengutipan data.

b)    Nyatakan DUA jenis reka bentuk kajian untuk setiap kajian berikut:

i.      Kajian Kuantitatif
      a.    Reka bentuk Eksperimen
Reka bentuk ini biasanya dikenali sebagai “kajian bandingan kumpulan”.  Pengkaji akan membandingkan kumpulan-kumpulan dari segi satu atau lebih hasil eksperimen. Ia juga disebut “kajian ubahan” kerana variabel kajian diubah atau dimanipulasikan.
Kajian bentuk eksperimen ini boleh dijalankan oleh guru sesuatu mata pelajaran untuk membuat perbandingan pencapaian murid-murid yang diajar kaedah baru dengan murid-murid yang diajar kaedah biasa di dalam bilik darjah. Contohnya, membandingkan keberkesanan kaedah pengajaran baru dengan kaedah biasa bagi konsep tertentu dalam Matematik.

b.    Reka bentuk Korelasi
Reka bentuk ini boleh digunakan dalam dua bentuk, iaitu untuk menjelaskan perkaitan antara dua atau lebih variabel, atau membuat telahan sesuatu hasil.
Kajian bentuk kolerasi ini boleh dijalankan oleh seseorang guru untuk mengetahui sama ada wujud hubungan antara pencapaian murid dalam sesuatu mata pelajaran dengan pencapaian murid dalam mata pelajaran lain. Contohnya, mengetahui sama ada benar atau salah andaian murid-murid yang pandai Matematik akan pandai juga dalam Sains.

ii.    Kajian Kualitatif
      a.    Reka bentuk Kajian Teori Grounded
Kajian ini dibuat untuk mengkaji fenomena berdasarkan teori seseorang (pengkaji).  Contohnya, guru yang berpengalaman 20 tahun mengajar mendapati latar belakang sosio-ekonomi murid-murid mempengaruhi pencapaian mereka dalam pelajaran. Beliau membuat kajian berdasarkan teori sendiri, iaitu murid-murid daripada keluarga bertahap sosio-ekonomi tinggi berpencapaian tinggi, manakala murid-murid daripada keluarga bertahap sosio-ekonomi rendah berpencapaian rendah.

b.    Reka bentuk Ethnografi
Ethnografi atau ethonagraphy dari segi istilah bermaksud “menulis tentang kumpulan-kumpulan orang” (LeCompte & Shensul, 1999). Reka bentuk ini adalah tatacara kajian kualitatif untuk menghuraikan tingkah laku, kepercayaan dan bahasa yang telah lama dibina ahli-ahli kumpulan tertentu.
Contohnya, seseorang pengkaji yang ingin mengetahui dan memahami kehidupan harian pelajar-pelajar sekolah berasrama penuh. Dengan cara berada bersama mereka dalam jangka masa tertentu, pengkaji dapat menggambarkan kehidupan pelajar-pelajar tersebut.

iii.   Gabungan Kuantitatif dan Kualitatif
      a.    Reka bentuk Kaedah Bercampur
Merupakan satu tatacara untuk mengutip data kuantitatif dan data kualitatif dalam satu kajian. Sieber (1973), mengatakan sejak tahun 1930an, pengkaji-pengkaji bidang pendidikan dan sains sosial telah menggabungkan beberapa kaedah kajian untuk mengutip data mereka.          
Reka bentuk kajian bercampur boleh dijalankan dalam kajian tentang tabiat belajar murid-murid yang melibatkan kajian ethnografi dan kaedah pengumpulan data secara kuantitatif.
     
      b.    Reka bentuk Kajian Tindakan
Merupakan kajian yang cuba mencari penyelesaian kepada masalah atau isu spesifik berkaitan amalan profesional harian kita. Kajian ini dijalankan berdasarkan data yang dikutip sama ada secara kuantitatif atau kualitatif. Juga dijalankan sebagai satu cara untuk guru membuat refleksi tentang pengajaran mereka di dalam kelas.
Contohnya, seorang guru membuat kajian untuk menyelesaikan masalah pencapaian murid dalam mata pelajaran yang diajar. Hasil kajian digunakan untuk membantunya meningkatkan penguasaan murid-murid.
           
c)    Berikan SATU contoh topik kajian utuk setiap reka bentuk dalam jawapan anda di (b).

i.      Reka bentuk Eksperimen

Reka bentuk ini boleh digunakan oleh pengkaji untuk membandingkan keberkesanan kaedah pengajaran baru dengan kaedah biasa bagi konsep tertentu dalam Matematik. Murid-murid boleh dipilih secara rawak dan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu; kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan.
Kumpulan eksperimen diajar menggunakan kaedah baru, manakala kumpulan kawalan diajar kaedah biasa. Ujian boleh digunakan sebagai alat kajian. Markah ujian sebelum dan selepas pengajaran boleh diambil bagi mengukur hasil eksperimen.
Analisis statistik boleh digunakan untuk membanding pencapaian murid-murid dalam kedua-dua kumpulan dan menjawab soalan kajian: “Adakah murid-murid yang diajar menggunakan kaedah baru memperolehi pencapaian yang lebih tinggi dalam Matematik berbanding murid-murid yang diajar menggunakan kaedah biasa?”
ii.    Reka bentuk Korelasi
Pengkaji boleh menggunakan reka bentuk ini untuk mengetahui betul atau salah andaian bahawa murid-murid yang pandai Matematik akan pandai juga dalam Sains. Bagi menentukannya, perbandingan keputusan murid-murid dalam kedua-dua mata pelajaran perlu dibuat.
Jika murid-murid yang mendapat markah tinggi dalam Matematik juga mendapat markah tinggi dalam Sains, dan sebaliknya; maka dapat disimpulkan bahawa wujud hubungan positif antara pencapaian Matematik dengan pencapaian Sains. Sekiranya keputusan ini tekal dengan dapatan-dapatan kajian lain, maka andaian ini adalah benar.

iii.   Reka bentuk Kajian Teori Grounded

Seseorang guru boleh menggunakan pengalaman mengajarnya untuk menjalankan kajian. Contohnya, seorang guru yang telah berpengalaman 20 tahun mengajar murid-murid dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi, mendapati murid-murid berpencapaian tinggi biasanya daripada keluarga bertahap sosio-ekonomi tinggi, dan kebanyakan murid-murid berpencapaian rendah adalah daripada keluarga bertahap sosio-ekonomi rendah.
Guru ini membina “teori” sendiri, iaitu ibu bapa bertahap sosio-ekonomi tinggi lebih perihatin terhadap gred pencapaian anak-anak. Mereka lebih menekankan disiplin dan banyak membantu kerja rumah anak-anak, menyebabkan anak-anak mereka cemerlang dalam akademik. 
Sebaliknya, kanak-kanak daripada keluarga bertahap sosio-ekonomi rendah didapati kurang belajar, ibu bapa kurang mengawasi malah tidak membantu anak-anak semasa belajar. Dengan persekitaran belajar yang tidak sesuai ini,kanak-kanak tidak berupaya untuk cemerlang dalam akademik.
Guru ini boleh menguji hipotesisnya seperti “Murid-murid bertahap sosio-ekonomi tinggi lebih banyak menggunakan masa untuk belajar” dan “Ibu bapa bertahap sosio-ekonomi tinggi menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen”.

iv.   Reka bentuk Ethnografi

Satu contoh kajian bentuk ethnografi ialah kajian mengenai kehidupan pelajar-pelajar sekolah berasrama penuh di Malaysia. Kajian ini memerlukan pengkaji mencerap pelajar-pelajar sekolah berasrama dan membuat catatan tentang aktiviti-aktiviti harian mereka. Pelajar-pelajar sekolah berasrama mempunyai bentuk tingkah laku tersendiri dan nilai-nilai bersama yang berbeza daripada pelajar-pelajar sekolah tanpa asrama.

v.    Reka bentuk Kaedah Bercampur

Pengkaji boleh menjalankan kajian tentang tabiat belajar perlu dibuat dengan meneliti bagaimana murid-murid mengurus masa belajar dan cara mereka belajar. Dalam kajian ini, cara murid belajar dikaji dengan menggunakan Kajian Ethnografi, manakala maklumat lain seperti tempoh jam belajar, pendapatan keluarga, bilangan adik-beradik atau latar belakang akademik dikutip menggunakan data kuantitatif.

vi.   Reka bentuk Kajian Tindakan

Seorang guru Bahasa Inggeris boleh menjalankan kajian tindakan setelah mendapati murid-muridnya lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris berdasarkan markah ujian dan interaksi dengan mereka.
Variabel-variabel seperti latar belakang sosio-ekonomi keluarga, bilangan buku bahasa Inggeris yang dibaca, bahasa pertuturan ahli-ahli keluarga, dan sikap murid-murid terhadap bahasa Inggeris boleh diukur secara kuantitatif dan kualitatif untuk menentukan faktor-faktor yang mempengaruhi penguasaan bahasa Inggeris. Pengetahuan ini akan membantu guru menyediakan program pemulihan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid-muridnya.

3.    Andaikan anda ingin menjalankan satu kajian untuk memerhati tingkah laku pelajar-pelajar anda dalam makmal komputer selama dua minggu. Sebagai seorang pengkaji, Jawab soalan-soalan berikut:

a)    Cadangkan SATU tingkah laku yang ingin diperhatikan.
Tingkah laku yang ingin diperhatikan ialah tingkah laku lima orang pelajar dalam mematuhi peraturan penggunaan makmal komputer.

b)    Jelaskan alat kajian yang boleh digunakan untuk memantau tingkah laku ini.
Alat kajian yang boleh digunakan untuk memantau tingkah laku ini ialah pemerhatian berstruktur. Tingkah laku pelajar-pelajar akan diperhatikan dari segi mematuhi peraturan penggunaan makmal komputer seperti larangan-larangan makan atau minum, membuat bising, merosakkan peralatan, mengubah setting pada desktop, dan mengubah kedudukan perabot. Tingkah laku pelajar sama ada menggunakan komputer mengikut tatacara yang betul atau sebaliknya juga akan diperhatikan.

c)    Jelaskan langkah-langkah untuk penganalisisan data untuk kajian ini.

Data kajian dianalisis seperti berikut:
i.      Tahap pra-analisis
Data pemerhatian setiap pelajar disemak, dilengkapkan dan disusun. Data dikodkan dan dikenalpasti mengikut kategori tingkah laku dan tema.

ii.    Tahap kemasan data
Data dimasukkan ke dalam komputer dalam bentuk teks mengikut struktur pemerhatian. Data yang telah ditranskripsikan dalam word processing dipermudahkan dan berfokus mengikut persoalan kajian.

iii.   Tahap pameran data
Data dipamerkan dalam bentuk jadual, lembaran tanda dan rumusan. Tindakan tambahan dibuat berdasarkan data yang telah dianalisis.

iv.   Tahap verifikasi data
Triangulasi data digunakan untuk verifikasi data pemerhatian sebelum kesimpulan dibuat. Proses dokumentasi semua proses penyelidikan dinyatakan dengan tepat.

v.    Tahap Dapatan
Menyemak maklumat yang diperolehi dan merumuskan dapatan kajian.

4.    Satu kajian telah dijalankan untuk menguji perhubungan antara jumlah jam membuat latihan dengan pencapaian pelajar. Jadual berikut menunjukkan purata jumlah jam membuat latihan seminggu dan pencapaian dalam ujian.

Masa (Jam) (x)
1
2
3
4
5
6
Pencapaian (y)
5
4
3
2
2
2

a)    Kira min dan sisihan piawai bagi setiap sel data ini.

b)    Kira pekali korelasi antara jumlah jam belajar dengan pencapaian. Berikan penjelasannya.

BAHAGIAN C

ARAHAN

Bahagian C mengandungi DUA soalan. Jawab SATU soalan SAHAJA.

1.  Nyatakan SATU persoalan kajian. Cadangkan SATU reka bentuk kajian kuantitatif untuk menyelidik persoalan kajian tersebut. Untuk reka bentuk yang dicadangkan:

a)  Terangkan reka bentuk kajian tersebut secara terperinci dari segi perlaksanaannya untuk menjawab persoalan kajian tersebut.

Persoalan kajian: “Adakah murid-murid yang diajar menggunakan kaedah pengajaran yang baru memperolehi pencapaian yang lebih tinggi dalam Bahasa Inggeris berbanding murid-murid yang diajar menggunakan kaedah biasa?”

Reka bentuk kajian yang sesuai bagai persoalan kajian ini ialah kajian eksperimen, iaitu kajian yang melibatkan sekurang-kurangnya satu variabel tak bersandar, secara sengaja dimanipulasikan oleh pengkaji. Kajian ini dibuat untuk menentukan sebab kepada sesuatu kesan, iaitu seseorang murid memperolehi pencapaian cemerlang dalam Bahasa Inggeris adakah disebabkan kaedah pengajaran gurunya?
Kajian eksperimen boleh dijalankan berdasarkan reka bentuk tak-berkumpulan-kawalan, dan  reka bentuk berkumpulan-kawalan. Dalam reka bentuk tak-berkumpulan-kawalan, kajian dijalankan ke atas satu kumpulan subjek kajian sahaja melibatkan “ujian pra-uji pos-satu kumpulan” dan “siri masa”:

i.      Ujian pra-uji pos-satu kumpulan
Subjek kajian diberikan ujian pra sebelum rawatan, dan ujian pos selepas rawatan. Contohnya, ujian(ujian pra) Bahasa Inggeris diberikan sebelum murid-murid diajar oleh guru dengan kaedah tertentu(rawatan), dan ujian pos (menggunakan ujian pra yang sama) diberikan selepas guru mengajar.

ii.    Siri masa
Data kajian dikutip daripada subjek kajian yang sama beberapa kali selepas rawatan diberikan. Contohnya, selepas murid-murid diajar dengan menggunakan kaedah tertentu, mereka diberi ujian bulanan selama enam bulan. Markah murid-murid ini dikutip dan dianalisis.

b)    Huraikan kelebihan dan kelemahan reka bentuk kajian tersebut.

a.    Kelebihan

      i.  Reka bentuk ini boleh digunakan oleh pengkaji untuk membandingkan keberkesanan  kaedah pengajaran baru dengan kaedah biasa.
    ii.  Kajian ini membantu guru meningkatkan penggunaan kaedah pengajaran yang berkesan.
iii.    Program pengukuhan dan pemulihan dapat dijalankan untuk meningkatkan penguasaan murid-murid.

b.    Kelemahan

Reka bentuk ini mungkin gagal membuktikan bahawa perubahan yang berlaku, misalnya peningkatan markah murid-murid adalah disebabkan oleh rawatan, iaitu kaedah mengajar guru. Terdapat faktor lain contohnya kelas tuisyen yang turut mempengaruhi kesan rawatan terhadap murid-murid.

c)  Cadangkan bagaimana reka bentuk kajian tersebut boleh dijalankan untuk meningkatkan kesahan dapatan kajian.

Reka bentuk crossover boleh dijalankan untuk mengatasi masalah bias dan meningkatkan kesahan dapatan kajian. Subjek kajian menerima dua rawatan secara berurutan, iaitu rawatan kedua diberikan selepas rawatan pertama. Rawatan pertama merupakan rawatan sebenar iaitu kaedah mengajar, manakala rawatan kedua dianggap rawatan kawalan iaitu kelas tuisyen. Hasil kedua-kedua rawatan ini diukur dan dibanding untuk menentukan kesan rawatan sebenar.

Selain itu reka bentuk eksperimen berkumpulan-kawalan boleh juga digunakan. Subjek kajian dibahagikan kepada dua kumpulan secara rawak, di mana satu kumpulan(kumpulan eksperimen) diberikan rawatan sebenar iaitu kaedah mengajar, manakala satu lagi kumpulan(kumpulan kawalan) diberikan rawatan kawalan iaitu kelas tuisyen.
Ukuran terhadap variabel dibuat sebelum dan selepas rawatan diberikan. Perbezaan antara ukuran subjek kumpulan eksperimen dan subjek kumpulan kawalan dibandingkan.  Subjek kajian yang dibahagikan secara rawak, sama ada kepada kumpulan eksperimen atau kumpulan kawalan, akan mengurangkan bias dan meningkatkan kesahan dapatan kajian.

2.  Para penyelidik kerap membahaskan tentang nilai kajian berbentuk kajian kuantitatif dan kualitatif. Terdapat segolongan pengkaji menyokong bahawa kajian kualitatif lebih tinggi daripada kajian kuantitatif. Apakah pendapat anda? Huraikan jawapan anda.

Sumber Soalan : Mylms OUM
Sumber Jawapan : Modul HBEF2503 dan Internet.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...