Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Sabtu, 30 Julai 2011

HBHE3103 GAYA HIDUP SIHAT : Ulangkaji Soalan Lepas ( Soalan Pilihan dan Cadangan Skop Jawapan )

Bahagian A :

1. Gaya hidup sihat berkait rapat dengan kecergasan fizikal. Jelaskan DUA komponen kecergasan fizikal berasaskan kesihatan.

Kecergasan fizikal yang berasaskan kesihatan melibatkan aspek-aspek yang berkaitan dengan fungsi fisiologi dan psikologi. Aspek ini dikenal pasti mampu mencegah seseorang daripada penyakit seperti kardiovaskular, obesiti dan penyakit-penyakit yang berkaitan otot dan tulang. Komponen-komponen dalam kecergasan fizikal berasaskan kesihatan adalah :

i. Daya tahan kardiovaskular
Keupayaan jantung, saluran darah, dan paru-paru mengedar oksigen ke otot-otot secara berterusan dalam jangka masa yang lama semasa melakukan aktiviti fizikal.

ii. Daya tahan dan kekuatan otot
Kemampuan sesuatu otot atau kumpulan otot melakukan kerja berulang kali atau berterusan dalam tempoh masa yang panjang tanpa cepat berasa lesu.

iii. Fleksibiliti
Keupayaan melenturkan badan dan sendi-sendi tulang.

iv. Komposisi badan
Peratusan lemak badan berbanding dengan otot, tulang, dan tisu badan yang lain.

2. Bayi memerlukan nutrien yang mencukupi untuk kekal sihat. Nutrien yang terbaik untuk bayi adalah susu ibu.Terangkan EMPAT faedah susu ibu kepada bayi.

Menurut Mazni Othman (2007), susu ibu adalah bersih, seimbang dan paling sesuai untuk bayi. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang diperlukan oleh setiap bayi. Ia mengandungi antibodi untuk melindungi bayi daripada jangkitan seperti cirit-birit, radang paru-paru dan selsema. Antara faedah yang terdapat dalam susu ibu adalah :

i. Mencegah penyakit seperti lelah dan sakit perut bayi.

ii. Mengandungi zat khusus yang penting untuk perkembangan otak.

iii. Mengurangkan risiko pencemaran yang mungkin berlaku dalam kaedah penyusuan lain.

iv. Boleh diperolehi dengan mudah pada bila-bila masa. Tiada masalah membancuh atau memanaskannya sebab ia sentiasa pada suhu yang sesuai.

iv. Memberikan bayi keselesaan dan ketenangan emosi.

v. Menjalinkan hubungan kasih sayang yang lebih mesra antara bayi dan ibu, berbanding dengan cara penyusuan lain.

3. Tidur merupakan satu keperluan hidup manusia. Huraikan EMPAT kebaikan tidur yang mencukupi.

Jika tidak mendapat tidur yang mencukupi, tubuh badan akan kelihatan lemah, tidak bermaya, kurang konsentrasi, dan rasa mengantuk. Tidur yang mencukupi penting untuk :

i. Membantu badan berfungsi dengan baik untuk bekerja keesokan harinya.

ii. Meningkatkan daya ingatan.

iii. Memberi peluang badan memperbaiki kerosakan sama ada tisu, sel atau otot.

iv. Menghilangkan tekanan.

v. Menghilangkan rasa penat dan mengantuk semasa membawa kenderaan. Keadaan penat dan mengantuk boleh membahayakan nyawa sendiri dan juga orang lain.

4. Penyalahgunaan bahan bermaksud penggunaan apa jua jenis bahan yang bertentangan dengan kepentingan rawatan dan fungsinya. Bahan yang dimaksudkan ialah ubat, racun, dadah dan alkohol. Jelaskan DUA perbezaan antara ubat dan dadah.

Mengikut Prof Madya Dzulkifli Abdul Razak (1995), ubat, dan dadah mempunyai perbezaan yang agak ketara. Antara perbezaannya ialah : 

i. Ubat berguna untuk menyembuhkan dan merawat penyakit  manakala dadah tidak bersifat sedemikian.

ii. Ubat memberikan kesan yang tidak diingini atau kesan sampingan yang minimum seperti pening kepala, panas badan dan mengantuk. Kesan ini akan reda atau hilang apabila pengambilan ubat tersebut dihentikan. Sebaliknya, dadah akan memberikan kesan berbahaya yang berkekalan kerana ia mengakibatkan ketagihan yang terlampau walaupun telah dihentikan penggunaannya. 

iii. Bukan semua ubat berupaya mempengaruhi otak dan minda pengguna tetapi semua jenis dadah memberi kesan mendalam terhadap otak dan minda manusia. Dadah dikenali sebagai bahan psikoaktif dan penggunaannya tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952, pindaan 1982 (Shamsudin, Shahrizad & Mohd Sofian, 2002). 

iv. Ubat secara umumnya tidak meninggalkan kesan ketagihan seperti dadah. Penggunaannya tidak mempunyai sekatan undang-undang melainkan dalam hal tertentu sahaja, sedangkan dadah diharamkan penggunaannya.

5. Virus HIV/AIDS boleh menjangkiti sesiapa sahaja kerana ia tidak mengira umur, warna kulit mahupun agama. Huraikan EMPAT perkara yang boleh diamalkan supaya kita tidak dijangkiti HIV/AIDS.

Langkah-langkah berikut adalah disarankan untuk menghindari jangkitan HIV/AIDS :

i. Elakkan melakukan hubungan seks dengan mereka yang mempunyai latar belakang dan status kesihatan yang tidak diketahui dan diragui.

ii. Elakkan dari melakukan hubungan seks dengan berbilang pasangan atau dengan mereka yang mempunyai banyak pasangan termasuk pelacur lelaki dan wanita.

iii. Elakkan diri dari melakukan hubungan seks dengan mereka yang disyaki pesakit ataupun pembawa AIDS. Jika hubungan seks tidak dapat dielakkan seperti pasangan suami atau isteri yang dijangkiti AIDS, kondom perlu digunakan bagi mengurangkan risiko untuk mendapat AIDS.

iv. Elakkan dari menyuntik dadah.

v. Jangan berkongsi jarum dan picagari untuk menyuntik dadah.

vi. Jangan berkongsi alatan peribadi seperti berus gigi, pisau cukur ataupun alatan lain yang boleh tercemar dengan darah.

Bahagian B :

1. Menurut Kementerian Kesihatan (1997) tiada suatu jenis makanan yang dapat membekalkan semua zat yang diperlukan oleh tubuh. Oleh itu, kita perlu pelbagaikan pengambilan makanan kita.
(a) Huraikan DUA jenis lemak dari aspek fungsi dan berikan DUA sumber bagi setiap jenis lemak.

Terdapat 3 jenis lemak iaitu :
i.  Lemak Tepu
Dapat meningkatkan kolestrol darah yang berbahaya kepada jantung. Terdapat di dalam daging-daging berlemak, mentega, keju, minyak sapi, minyak kelapa, dan santan.

ii. Lemak Poli Tak Tepu
Boleh mengurangkan paras kolestrol darah dan sangat baik untuk jantung. Merupakan lemak cecair dari bahan tanaman seperti minyak jagung, dan minyak kacang soya.

iii. Lemak Mono Tak Tepu
Juga boleh mengurangkan paras kolestrol darah. Contoh; minyak kelapa sawit, minyak kacang tanah, dan minyak zaitun.

(b) Lakarkan Piramid Makanan dan jelaskan aras-aras dalam Piramid Makanan tersebut dari aspek pengambilan makanan dan DUA contoh makanan bagi setiap aras.

Piramid makanan merupakan panduan bagi memilih makanan secara sihat. Piramid makanan yang dicadangkan meliputi enam kumpulan makanan sebagai makanan seimbang, seperti berikut ;


2. Sebagai Ketua Panitia Pendidikan Jasmani & Kesihatan, anda diamanahkan untuk menasihatkan staf sekolah agar peka dengan pengambilan kalori serta bersenam dengan konsisten dalam usaha meningkatkan gaya hidup mereka.
(a) Jelaskan TIGA faktor yang mempengaruhi pengambilan kalori seharian.

Keperluan kalori seseorang perlu diimbangi dengan aktivti seharian. Setiap orang mempunyai kadar keperluan yang berbeza. Berikut adalah faktor-faktor yang mempengaruhi pengambilan  kalori seharian seseorang :

i. Saiz tubuh dan Komposisinya
Untuk berfungsi secara betul, seseorang yang memiliki tubuh bersaiz besar memerlukan lebih tenaga (lebih kalori) berbanding mereka yang bersaiz kecil. Otot membakar lebih banyak kalori berbanding lemak. Jadi, semakin banyak otot yang dimiliki semakin tinggi kadar asas metabolik.

ii. Usia
Semakin meningkat usia seseorang, semakin berkurangan jumlah ototnya. Lemak membentuk sebahagian daripada berat badan. Metabolisme juga perlahan secara semula jadi mengikut usia sekali gus mengurangkan keperluan kalori.

iii. Jantina
Lelaki selalunya tidak banyak mempunyai lemak berbanding wanita. Mereka juga lebih banyak otot dibandingkan wanita seusia dan sama berat. Oleh itu, lelaki memiliki kadar asas metabolik yang lebih tinggi dan membakar lebih banyak kalori berbanding wanita.

(b) Huraikan DUA cara mereka dapat membakar lebih banyak kalori.
Lebih banyak kalori dapat dibakar dengan kekerapan bersenam dan melakukan aktiviti membina tisu otot seperti ;

i. Senaman aerobik yang kerap seperti berjalan selama 30 minit setiap hari adalah cara terbaik membakar kalori.

ii. Latihan seperti mengangkat berat untuk membantu mengurangkan kehilangan otot disebabkan penuaan.

iii. Aktiviti seperti berkebun, membasuh kereta, mengemas rumah juga membantu membakar kalori dan menyumbang kepada penurunan berat badan.

iv. Setiap hari luangkan beberapa minit untuk berjalan kaki. Berjalan dari tempat letak kereta ke pejabat  adalah cara mudah membakar kalori.

(c) Jelaskan prinsip asas FITT yang harus dipatuhi dalam menjalankan aktiviti senaman.
FITT merupakan empat prinsip asas yang harus dipatuhi dalam menjalankan aktiviti senaman iaitu :

i. F - Frequency ( Kekerapan Bersenam )
Senaman hendaklah dilakukan dengan konsisten. Jumlah hari melakukan senaman boleh dijadikan ukuran. Sekurang-kurangnya 3 - 5 kali seminggu diperlukan bagi sesuatu aktiviti komponen kecergasan yang dilakukan.

ii. I  - Intensity ( Bebanan )
Senaman hendaklah cukup lasak. Kelasakan yang melebihi kadar biasa dapat mencapai kecergasan sebenar.Senaman yang dapat meningkatkan kadar nadi melebihi kadar normal dapat meningkatkan kecergasan jantung. Kadar nadi maksimum yang perlu dicapai adalah 60% - 80%.

iii. T - Time ( Masa Senaman )
Senaman perlu dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit setiap sesi, tidak termasuk waktu memanas dan menyejukkan badan sebelum dan selepas bersenam. Semakin tinggi intensiti senaman, semakin pendek masa diperlukan.

iv. T - Type ( Jenis Senaman )
Sesuatu jenis senaman harus dilakukan mengikut komponen kecergasan yang berbeza. Aktiviti senaman yang dilakukan berbeza mengikut tahap keupayaan dan minat seseorang. Bersenam tanpa mengikut tahap kecergasan menyebabkan badan tidak bersedia melakukan aktiviti.

3. Dalam menuju ke arah gaya hidup sihat, seseorang itu mestilah bijak membahagikan masa supaya ada ruang untuk berekreasi serta mendapat rehat, istirehat, tidur dan waktu senggang yang mencukupi.
(a) Bezakan rekreasi aktif dan rekreasi pasif dengan menghuraikan TIGA ciri bagi setiap jenis rekreasi tersebut. Berikan contoh yang sesuai bagi setiap ciri.

Rekreasi aktif melibatkan penggunaan tenaga dan kekuatan fizikal yang menyumbang kepada tahap kesihatan seseorang. Ia melibatkan aktiviti-aktiviti permainan yang boleh meningkatkan stamina kerana penggunaan ketahanan kardiovaskular atau aerobik. Disamping itu ia turut membantu dari segi emosi kerana dapat menimbulkan rasa gembira dan keseronokan.

Ciri-ciri rekreasi aktif adalah seperti berikut :

i. Kegiatan sukan, sama ada sebagai pemain atau penonton. Contohnya, permainan golf, bola sepak, berenang, bermain tenis, boling, dan gimnastik.

ii. Rekreasi luar seperti suka membawa kereta, bersiar di tepi pantai, berjalan atau berkelah.

iii. Melancong lebih dari satu malam iaitu membuat perjalanan yang jauh, lawatan, cuti hujung minggu, dan bercuti.

Manakala, rekreasi pasif berlainan kerana ia kurang menggunakan tenaga atau kekuatan fizikal berbanding rekreasi aktif. Ia lebih kepada kaedah relaksasi yang boleh menghiburkan mereka dari segi emosi dan psikologi.

Antara ciri-ciri rekreasi pasif ialah :

i. Aktiviti yang dibuat di rumah seperti menonton TV, membaca, mendengar muzik, bercucuk tanam, dan melakukan hobi lain.

ii. Aktiviti berunsur sosial yang tinggi seperti menghibur atau melayan kawan atau saudara, makan di luar dan menghadiri majlis keramaian.

iii. Aktiviti kebudayaan, pembelajaran dan minat kepada perkara-perkara artistik. Contohnya, pergi teater, konsert, pameran, dan muzium.

(b) Dengan memberi contoh yang sesuai, huraikan perbezaan antara rehat, istirehat, tidur dan senggang.

Rehat bermaksud suatu tempoh yang diambil untuk berhenti daripada melakukan sesuatu aktiviti sama ada aktiviti fizikal, mental ataupun aktiviti ringan. Ia boleh digunakan untuk mengurangkan rasa penat dan letih serta menghilangkan rasa lapar dan dahaga.( Shamsudin, Sharizad & Mohd Sofian, 2002 )

Istirehat pula  dapat memberi kelegaan dan ketenangan di waktu ketegangan dan stres. Ia membawa erti satu tempoh masa terluang yang diisi dengan melakukan aktiviti ringan yang tidak aktif seperti mendengar muzik, melukis, melihat pemandangan alam flora dan lain- lain.  

Tidur pula ditakrifkan sebagai satu jangka masa di mana kita boleh melelapkan mata dan merehatkan badan sepenuhnya.  

Senggang atau kesenggangan boleh didefinisikan sebagai waktu terluang yang diisi dengan melakukan sebarang jenis aktiviti yang digemari. Ia mempunyai fungsi yang sama dengan rehat dan tidur iaitu memulihkan keadaan badan dan otak yang sudah letih bekerja. Pelbagai aktiviti yang proaktif yang sesuai dilakukan pada waktu senggang seperti, membaca, menggubah lagu, bermain alat muzik dan berhobi.

4. Menurut Hans Selye (1976), stres boleh dilihat sebagai desakan atau tekanan yang dihadapi oleh individu berikutan suatu peristiwa yang berlaku kepadanya. Cara menangani stres bergantung kepada individu.
(a) Jelaskan perbezaan antara distress dan eustress.

Stres boleh ditakrifkan sebagai respons badan dalam menghadapi stressor samada secara fisiologi, mental atau fizikal. Stressor iaitu punca stres boleh mendatangi seseorang individu dalam pelbagai bentuk seperti stres fizikal, sosial ataupun psikologi yang menyebabkan tubuh kita perlu untuk melakukan penyesuaian untuk menghadapinya.  Terdapat perbezaan yang ketara antara 2 jenis stres berikut :

i. Eustress
Stres yang memberi kesan positif dan kegembiraan seperti kenaikan pangkat, melangkah ke alam perkahwinan, mendapat ahli keluarga baru, dan berpindah ke rumah baru.

ii. Distress
Stres yang memberi kesan negatif dan kesedihan seperti dibuang kerja, berlaku perceraian, kematian, mendapat penyakit, dan kehilangan harta benda.

(b) Huraikan EMPAT punca stres yang mungkin dihadapi oleh seorang guru di sekolah.

Antara punca stres yang dihadapi seorang guru ialah :

i. Kelakuan murid atau pelajar.
ii. Tekanan kerja yang banyak.
iii. Dipanggil bekerja pada waktu cuti.
iv. Tiada persefahaman dengan rakan sekerja.
v. Bekerja melebihi kemampuan.
vi. Diarah melakukan kerja orang lain.

(c) Terdapat orang yang mengambil dadah untuk melupakan stres yang dihadapi. Terangkan LIMA jenis dadah dari segi kesan terhadap penggunanya.
Tegas Prof Madya Dzulkifli Abdul Razak (1995), dadah merupakan sejenis bahan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan seseorang dari segi jasmani (fizikal), rohani (mental dan emosi) serta tingkahlaku pengguna. Ia juga mengakibatkan seseorang itu mengalami ketagihan sehingga masyarakat menggelarnya penagih.

Jenis-jenis dadah ialah :
i. Opiat
Bahan perubatan untuk menidurkan atau melegakan kesakitan mempunyai potensi yang tinggi kelihatan.
Contoh : candu, morfin, heroin dan kodeina.

ii. Kanabis
Semua bentuk dadah yang diperolehi dari pokok genus canabis Tetra Hydrocannibol (THC).  Contoh: ganja, hashish dan marijuana.

iii. Stimulan
Phetamine kokain (daun koka, paste koka, kokain freebase dan crack kokain). Bahan ini boleh merangsang otak dan fizikal. Contoh : phteaminekokain,gam.

iv. Depresen
Bahan perubatan, ubat penenang untuk menukarkan sistem saraf pusat. Contoh : methaqualone, tranquliser dan rohypnol.

v. Halusinogen
Dadah asli dan sintetik, mengubah pandangan visual iaitu susah untuk membezakan yang benar atau tidak.
Contoh : lysergic acid, halluceno-genic mushroom, dietthylamide (LSD), diymethyltrp tamine (DMT), phenlyclidine (PCP) dan ketamine.

vi. Psikotrapik (ATS)
Dadah yang bertindak atas otak dan merangsang kesan fizikal. Contoh : methamphetamine, amphetamine, methylene dioxymetham phetamine (MDMA) dan pil Ecstasy (XTC).

vii. Inhalant
Tidak ditakrifkan sebagai dadah tetapi mempunyai  persamaan dengan dadah dari segi kesan.
Contoh: gam, ubat nyamuk, minyak petrol, cat cair, thinner, cecair pemetik api, spray rambut, krim pencuci, marker pen dan lain-lain.

5. Gaya hidup sihat berkait rapat dengan kecergasan. Terdapat dua kategori kecergasan fizikal iaitu kecergasan fizikal berasaskan kesihatan dan perlakuan motor.
(a) Jelaskan EMPAT komponen kecergasan berasaskan kesihatan dari aspek definisi dan contoh-contoh dalam kehidupan seharian.

Kecergasan Berlandaskan Kesihatan
Kecergasan yang berlandaskan kesihatan berkaitan dengan keupayaan seseorang itu melakukan kerja-kerja hariannya dengan penuh semangat dan kemampuannya mengelak dan menjauhkan diri daripada dijangkiti penyakit-penyakit cara hidup sedentari. Penyakit-penyakit ini dikenali sebagai hipokinetik, sejenis penyakit/keadaan yang dikaitkan dengan kekurangan aktiviti fizikal, seperti diabetes dan penyakit jantung.
( * rujuk Soalan 1 Bahagian A )

(b) Jelaskan EMPAT komponen kecergasan berasaskan perlakuan motor dari aspek definisi dan contoh-contoh dalam situasi harian.

Perlakuan motor bermaksud fungsi dan kemampuan individu bertanding dalam aktiviti sukan dengan lebih bertenaga, berdaya kuasa, kuat, berdaya tahan dan berkemahiran. Kecergasan jenis ini adalah penting untuk individu dan atlit yang mempunyai daya tahan dan berprestasi tinggi seperti pelari pecut.

Komponen-komponen yang terdapat dalam perlakuan motor ialah :

i. Kepantasan
Keupayaan individu melakukan pergerakan berturut-turut dengan pantas dalam masa yang singkat mengikut suatu arah kelajuan ditentukan oleh hasil jarak langkah dan kekerapan melangkah. Kepantasan individu berkait rapat dengan masa tindakbalas dan masa bergerak.

ii. Imbangan
Kebolehan seseorang kekalkan posisi badan dalam keadaan tetap atau melakukan sesuatu aktiviti. Imbangan juga merupakan kebolehan untuk mengekalkan keseimbangan apabila pusat graviti seseorang dan dasar atau tapak menyokongnya diubah.

 iii. Ketangkasan
Kebolehan seseorang bergerak dengan pantas sambil bertukar arah. Kebolehan individu menukar kedudukan di ruang tertentu secara kemas dan mudah.

 iv. Kuasa
Keupayaan untuk melakukan pergerakan dengan cepat dan melibatkan kekuatan dan kelajuan. Kebolehan individu melakukan sesuatu pergerakan pantas yang kuat dalam jangka masa yang singkat dengan kecekapan yang tinggi. Ini merupakan gabungan antara kekuatan otot dan kepantasan kuncupan otot.

v. Masa reaksi
Masa yang diperlukan oleh seseorang untuk bergerak apabila seseorang itu bertindakbalas. Masa reaksi selalunya di kaitkan dengan faktor ketangkasan. Kebolehan seseorang itu bertindak dengan secepat mungkin dapat membantunya dalam situasi permainan dan dalam masa kecemasan dari segi menyelamatkan diri.

 vi. Koordinasi
Pergerakan yang melibatkan keselarasan antara mata, tangan kaki dan badan. Keupayaan untuk menggunakan deria penglihatan untuk sentuh bersama deria kalistenik atau otot untuk menghasilkan pergerakan badan yang tepat.
.
Bahagian C :

1. Keluarga bahagia merupakan idaman setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Bincangkan peranan amalan gaya hidup sihat dalam membentuk keluarga bahagia. 

Antara ciri keluarga bahagia ialah amalan gaya hidup sihat. Pengamalan gaya hidup sihat dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit. Setiap ahli dalam sesebuah keluarga perlu memainkan peranan bagi memastikan amalan penjagaan kesihatan dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Gaya hidup sihat dalam sesebuah keluarga dapat dipraktikkan melalui :

i. Penjagaan Kesihatan dan Kebersihan
Penjagaan kebersihan tubuh badan dan kawasan sekeliling tempat kediaman dapat menghindarkan jangkitan kuman.Ahli keluarga yang cergas dan sihat dapat menghindarkan diri dari pelbagai jenis penyakit seperti hipertensi, kanser paru-paru, kencing manis, buah pinggang, dan obesiti.

ii. Amalan Pemakanan Seimbang
Amalan pemakanan sihat dalam sesebuah keluarga memerlukan perancangan, penyediaan dan penyajian yang seimbang untuk keluarga. Makan pelbagai jenis makanan dapat membekalkan kesemua zat makanan yang diperlukan oleh badan. Piramid makanan merupakan panduan pemakanan sihat yang perlu diikuti.

iii. Melakukan Aktiviti Senaman dan Kecergasan Fizikal
Sebarang aktiviti yang melibatkan pergerakan anggota badan dan menggunakan tenaga amat penting untuk meningkatkan tahap kecergasan. Amalan ini dapat mengurangkan risiko pelbagai penyakit akibat gaya hidup sedentari. Aktiviti bersenam bersama keluarga sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan setiap sesi sekurang-kurangnya selama 30 minit amat praktikal untuk diamalkan.

iv. Amalan Kesihatan Mental yang Baik
Stres atau tekanan perlu diatasi dengan bijak. Keluarga yang mengamalkan pemikiran dan sikap positif dapat  menjamin kesihatan mental dan mampu mengurus stres dengan baik. Banyak meluangkan masa bersama keluarga sama ada semasa makan atau berekreasi dapat mengukuhkan perhubungan sesama ahli keluarga.

Hubungan kukuh ini dapat memupuk komunikasi positif ke arah bertukar-tukar fikiran, menyelesaikan masalah, dan memahami antara satu sama lain. Berekreasi dan berehat bersama keluarga dapat menenangkan fikiran daripada sebarang tekanan serta menikmati masa lapang bersama.

2. Dengan merujuk teori yang berkaitan, bincangkan bagaimana pelajar separuh masa dapat menyeimbangkan tuntutan pekerjaan dan pelajaran agar kedua-duanya mendapat perhatian yang sewajarnya.

Seorang saintis bernama Hans Selye telah mengemukakan satu teori yang dikenali sebagai General Adaptation Syndrome (GAS). Mengikut teori tersebut, setiap individu yang berhadapan dengan stres akan mengalami reaksi yang sama, cuma tahapnya berbeza bergantung kepada jenis stressor dan personaliti individu. Contohnya seorang yang kehilangan pekerjaan akan menghadapi stres yang jauh lebih teruk daripada seorang yang kegagalan peperiksaan.

Adalah penting bagi seseorang individu untuk mengawal stres supaya ia tidak memberi impak negatif di masa akan datang. Perhatian yang wajar perlu diberikan dalam menyeimbangkan tuntutan dalam kehidupan sama ada sebagai pekerja mahu pun sebagai pelajar.  Seseorang perlu bersikap terbuka dalam menangani stres disamping mengamalkan cara-cara terbaik mengawal stres seperti ;

i. Penetapan Keperluan
Menetapkan keperluan bermakna memberi keutamaan kepada tugas-tugas yang penting terlebih dahulu untuk mengelak stres akibat tidak menyiapkan kerja yang penting. Contohnya, majikan menyuruh menyiapkan suatu tugasan sebelum minggu berikutnya. Seorang pensyarah pula meminta menyiapkan tugasan yang diberinya dalam tempoh sebulan. Dalam konflik begini, kerja yang diberi oleh majikan mesti disiapkan terlebih dahulu sebelum menyiapkan tugasan pengajian. 

Jadual perlu dibuat untuk mengelak daripada terlupa membuat tugasan-tugasan yang penting. Peringatan mengenainya boleh diletakkan di atas meja atau di dalam komputer disamping mengelak dari menangguhkan kerja.

ii. Pengurusan Masa
Pengurusan masa mengikut kepentingan sesuatu kerja harus diamalkan. Sesuatu kerja perlu disenaraikan dan diagihkan mengikut kepentingan dan keperluan berdasarkan pengkelasan “perlu dilaksanakan segera” sehingga “perlaksanaan tidak segera”. Disamping itu, rutin seharian perlu diatur dengan bijak supaya segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan bijak dan positif. 

Sebagai pelajar, membuat tugasan di akhir masa perlu dielakkan. Contohya, jika pensyarah memberikan tugasan minggu ini, ia seharusnya disiapkan minggu ini juga dan tidak menangguhkannya ke minggu hadapan bagi memastikan masa yang diperlukan untuk menyiapkannya adalah mencukupi.

iii. Teknik Relaksasi
Teknik ini dapat meningkatkan kesihatan dari segi fizikal kerana ia mengatur balik peredaran darah di dalam tubuh badan dan menimbulkan rasa lebih segar. Ia juga dapat meningkatkan kesihatan dari segi psikologi lalu mengawal dan mengurangkan stres. Bahkan amat mudah dilakukan kerana ia tidak memerlukan tempat yang luas atau masa yang lama.

Sumber :
http://lms.oum.edu.my/
http://solehrevenge.blogspot.com/2010/08/kecergasan-fizikal.html


2 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...