Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Khamis, 23 Disember 2010

Soalan Bahagian C HBML2103SMP dan Cadangan Jawapan


HIMPUNAN SOALAN BAHAGIAN C

1. Ayat terbitan dalam bahasa Melayu terhasil daripada tiga proses.
Nyatakan proses-proses itu dan huraikan secara mendalam satu daripada prosesnya dengan memberikan contoh-contoh ayatnya.

Ayat terbitan terbentuk daripada ayat dasar melalui suatu proses gramatis. Proses gramatis ini melibatkan pelaksanaan rumus transformasi yang berfungsi mengubah aturan atau struktur ayat serta memperluas sesuatu unsur dalam ayat ataupun frasa.
Ringkasnya, ayat terbitan ini terhasil apabila unsur-unsur struktur dalaman mengalami proses transformasi yang mengakibatkan:


             i.Pengguguran
Merupakan satu proses transformasi yang berlaku ke atas struktur ayat. Proses ini melibatkan pengguguran unsur-unsur tertentu daripada binaan ayat itu. Dalam bahasa Melayu terdapat empat jenis pengguguran:
a)    Pengguguran frasa nama sebagai subjek;
b)    Pengguguran frasa predikat;
c)    Pengguguran frasa nama yang mendahului frasa relatif; dan
d)    Pengguguran kata nama yang berfungsi sebagai inti dalam frasa nama.

           ii.Penyusunan semula
Dalam proses transformasi ini, bentuk perkataan dalam ayat asal diubah susunannya dan diterbitkan semula dalam satu struktur ayat gramatis yang baharu. Proses ini akan mengakibatkan berlakunya perubahan ataupun pengguguran pada kata-kata tertentu, penggantian atau penambahan kata-kata lain tanpa membawa perubahan pada makna ayat yang diterbitkan.Terdapat tiga jenis proses penyusunan semula iaitu: 
a)    Penyusunan semula frasa nama sebagai subjek.
b)    Penyusunan semula frasa nama sebagai objek.
c)    Penyusunan semula melalui ayat songsang.

         iii.Peluasan
Proses transformasi ini boleh berlaku apabila adanya penambahan unsur-unsur dalam ayat yang baharu. Terdapat empat bentuk proses peluasan ayat iaitu:
a)    Peluasan frasa nama sebagai subjek
Ayat bahasa Melayu yang mengandungi urutan Frasa Nama + Ayat boleh tertakluk   kepada satu frasa nama dan jika ayat menguasai satu frasa nama yang sama dengan frasa nama dalam urutan Frasa Nama + Objek, maka frasa nama yang dikuasai itu akhirnya menjadi kata relatif yang seperti contoh ayat: 
   a. Rumah itu besar.
   b. Rumah itu telah roboh.
   c. Rumah yang besar itu telah roboh.
Berdasarkan contoh, ayat yang gramatis terbentuk dengan penggunaan yang .

Bagi ayat yang tidak sama fungsinya, maka ayat itu perlulah dipasifkan terlebih dahulu.  Contoh:
a. Kereta itu berwarna hitam.
b. Encik Zaki membeli kereta itu.
c. Kereta yang dibeli oleh Encik Zaki berwarna hitam.
 
b)    Peluasan frasa predikat
Contoh ayat yang menunjukkan proses peluasan frasa predikat adalah seperti di bawah:
a. Hafsah membeli baju itu.
b. Baju itu cantik.
c. Hafsah membeli baju yang cantik itu.
Dalam proses peluasan frasa predikat ini yang digunakan bagi menghasilkan ayat yang gramatis.

c)     Peluasan dengan kata hubung
Ayat-ayat juga boleh diterbitkan melalui proses peluasan kata hubung dengan cara menggabungkan dua ayat atau lebih dengan menggunakan kata hubung seperti dan, atau, tetapi dan lain-lain. Contoh ayat yang menunjukkan proses peluasan ini adalah seperti di bawah:
a. Ibu bekerja di pejabat.
b. Ayah bekerja di ladang.
c. Ibu bekerja di pejabat tetapi ayah bekerja di ladang.
Kata hubung tetapi menggabungkan  ayat a dan ayat b. 

Ada kalanya, kata hubung digunakan dalam pembentukan ayat majmuk yang menggabungkan frasa bagi membentuk satu frasa nama majmuk seperti dalam contoh ayat:
a. Balkis makan nasi.
b. Balkis menonton televisyen.
c. Balkis makan nasi sambil menonton televisyen.
Kata hubung sambil menggabungkan  ayat a dan ayat b. 'Balkis' dalam klausa kedua (ayat b) digugurkan.

d)       Peluasan melalui proses komplementasi.
Ayat yang diterbitkan melalui proses peluasan komplementasi melibatkan perubahan fungsi, iaitu daripada ayat menjadi frasa nama. Hal ini berlaku dengan memancangkan ayat berkenaan kepada ayat lain. Cara mudah untuk mengenali ayat jenis ini ialah wujudnya kata bahawa. Proses peluasan melalui proses ini melibatkan tiga keadaan, iaitu:

             i.Ayat yang dipancangkan berfungsi sebagai objek tepat.
Contoh ayat yang dipancangkan berfungsi sebagai objek tepat ialah: 
a. Asmawi menyatakan …
b. Mazlina pergi ke kedai.
c. Asmawi menyatakan bahawa Mazlina pergi ke kedai.
Ayat a dan ayat b dihubungkan dengan perkataan bahawa.

           ii.Ayat yang dipancangkan berfungsi sebagai objek sipi.
Contoh ayat yang dipancangkan berfungsi sebagai objek sipi ialah:
a. Aini memberitahu …
b. Aina ada seutas rantai yang cantik.
c. Aini memberitahu bahawa Aina ada seutas rantai yang cantik.
Perkataan bahawa menghubungkan ayat a dan ayat b.

         iii.Transformasi komplementasi terhadap frasa kerja
Contoh ayat bagi transformasi komplementasi terhadap frasa kerja ialah:
a. Orang itu berdiri. 
b. Orang itu mengambil buku.
c. Orang itu berdiri mengambil buku.
Frasa 'orang itu' dalam klausa kedua (ayat b) digugurkan.



2. Ayat majmuk pancangan mengandungi satu ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil yang dipancangkan kepada ayat induk itu.
Huraikan kriteria yang digunakan untuk mengenal pasti tiga jenis ayat majmuk pancangan dengan memberikan contoh ayat bagi setiap jenis itu dan buat rajah pohon untuk menganalisis ayat-ayat itu.

Dalam bahasa Melayu, Ayat Majmuk Pancangan dibahagikan kepada tiga jenis:
i.             Ayat majmuk pancangan relatif (ayat relatif)
ii.           Ayat majmuk pancangan komplemen (ayat komplemen)
iii.         Ayat majmuk pancangan keterangan (ayat keterangan)
i.     Ayat Majmuk Pancangan Relatif
Ayat yang dipancangkan kepada ayat utama melalui penggunaan perkataan yang. Contoh ayat:
Adik memakai baju yang berwarna kuning.

Sebenarnya terdapat dua ayat iaitu:
a.   Adik memakai baju. 
b.   Baju itu berwarna kuning.
Dalam contoh di atas, ayat Baju itu berwarna kuning dipancangkan kepada ayat induk Adik memakai baju.  Perkataan baju yang diulang dalam kedua-dua ayat digugurkan dan digantikan dengan kata relatif yang. Hal ini dapat diperjelaskan melalui rajah pohon di bawah:

ii.     Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
Ayat yang dihubungkan dengan ayat induk menggunakan kata hubung komplemen bahawa dan untuk. Contoh ayat:
Dia memberitahu bahawa lukisan itu cantik.
Ayat di atas asalnya daripada ayat-ayat:
a.   Dia memberitahu sesuatu.
b        b.  Lukisan itu cantik.
Dalam ayat Dia memberitahu sesuatu, subjeknya terdiri daripada dia, manakala kata kerja transitif ialah memberitahu dan ayat lukisan itu cantik, seolah-olah menjadi objek kepada kata kerja transitif tersebut. Hal ini dapat diperjelaskan melalui rajah pohon di bawah:
 

iii.     Ayat majmuk pancangan keterangan

Merupakan ayat yang terdiri daripada satu ayat induk dan satu ayat kecil atau lebih yang tidak dapat berdiri sendiri. Kata-kata hubung seperti ketika, semasa, kerana, dan sewaktu menghubungkan ayat induk dengan ayat-ayat kecil yang berfungsi sebagai keterangan kepada predikat. Contoh ayat:
Dia gagal dalam peperiksaan kerana dia tidak berusaha.
Ayat di atas berasal daripada ayat-ayat: 
a.   Dia gagal dalam peperiksaan. (Ayat Induk) 
b.   Dia tidak berusaha. (Ayat Keterangan)

Hal ini dapat diperjelaskan melalui rajah pohon di bawah:
3. Berdasarkan petikan di bawah, cari dan perturunkan LIMA jenis kata adjektif yang terdapat di dalamnya, beri huraian anda tentang jenis-jenis kata adjektif tersebut dengan contoh ayat anda sendiri. Kemudian, beri takrif anda tentang kata adjektif dan jelaskan TIGA petunjuk cara-cara mengenali kata adjektif.
“ Bagaimana? Seronok?”
Aku tidak segera menjawab, seakan membiarkan Seman berteka-teki.
“ Man, apa yang kau tahu tentang diriku di sini?”
Tanyaku sambil menyarungkan baju panas nipis berwarna putih berleher bulat yang masih bersih menuju ke tempat tidur.
“Terlalu banyak untuk saya katakan. Tentu cikgu ingin satu-satu pandangan bagi satu-satu perkara yang khusus sahaja.”
“ Emm, ya, apa yang kau tahu mengenai aku dan Salwa?”
“ Dengan Salwa sahaja? “
“ Hmm”
Aku berasa bertambah minat.
“Ada orang lain?”
“ Masita.”
Aku betul-betul terperanjat. Perhubungan yang selama ini aku rahsiakan telah diketahui. Siapa yang memberitahunya? Atau dia sendiri pernah ternampak aku dan Masita?
“Masita?” aku kaget sekali atas pengetahuannya.
“Ya. Masita dan Salwa. Bukankah mereka masing-masing mempunyai perhubungan dengan cikgu?”
Aku semakin mendekatkan diri hampir dengannya. Berminat dengan seribu kecurigaan.
(Ubahsuai: Abdul Talib Mohd Hassan, 1995: 264-265)

Lima jenis kata adjektif berdasarkan petikan ialah:
Jenis Kata Adjektif
Perkataan
Perasaan
seronok
Waktu
segera
Ukuran
nipis
Warna
putih
Bentuk
bulat

i.     Kata Adjektif Perasaan
Jenis perkataan yang mempunyai makna konsep perasaan, sebagai penerang kata adjektif dan harus diikuti oleh kata sendi nama. Contoh ayat :
Ikmal seronok kerana bapanya menghadiahkan sebuah buku cerita.

ii.   Kata Adjektif Waktu
Jenis perkataan yang mempunyai pengertian konsep masa sebagai unsur keterangan. Contoh ayat:
Kebanyakan makanan segera tidak berkhasiat.

iii. Kata adjektif ukuran
Jenis perkataan yang memberikan pengertian ukuran sebagai unsur keterangan. Contoh ayat:
Buku yang nipis itu dipunyai adik.

iv.  Kata adjektif warna
Terdiri daripada perkataan yang memberikan pengertian warna sebagai unsur keterangan.  Contoh ayat:
Pengantin itu memakai gaun putih.

v.    Kata adjektif bentuk
 Terdiri daripada perkataan yang memberikan pengertian rupa bentuk sebagai unsur keterangan. Contoh ayat :
Cermin yang dibelinya bulat.

Kata adjektif ialah kata yang menerangkan sifat atau keadaan sesuatu kata nama. Kata adjektif juga dikenali sebagai kata sifat. Kata adjektif dapat dikenalpasti melalui beberapa kriteria,  antaranya:

1.    Kata adjektif disertai dengan kata penguat seperti hebat, amat, paling cantik, laju betul, agak yakin, sangat tajam, gemuk amat, halus sekali, dan lain-lain.

2.    Kata adjektif sering kali disertai dengan imbuhan ter yang bermaksud paling dan se yang bermaksud sama seperti terhebat (paling hebat), termanis (paling manis), terkasar (paling kasar), seindah (sama indah), seharum (sama harum), seberani (sama berani), dan lain-lain.

3.    Kata adjektif digunakan selepas nama benda atau sesuatu perkara. Penggunaannya selepas nama benda adalah seperti berikut: tenunannya halus, ukirannya cantik, caranya menakjubkan, fikirannya tajam, dan lain-lain.

4. Berdasarkan petikan di bawah, senaraikan semua kata nama yang terdapat dalam petikan di atas dengan menyatakan golongan dan bentuk kata nama tersebut. Kemudian, beri takrifan anda tentang kata nama dan jelaskan golongan kata nama dan sub-subgolongannya beserta contoh-contoh yang sesuai. Huraian anda hendaklah disokong dengan jadual, grafik atau rajah yang sesuai. 
”Minumlah lagi,” kata nenek sambil menuangkan lagi air ke gelas yang telah kosong. Ibu terus meneguk air itu tanpa banyak bicara. Aku tahu, aku pasti air ini tidak akan dapat menerobos tiub Fallopio yang sudah lama tersumbat dengan seribu satu pil-pil yang ditelan tanpa penat lelah selama lima tahun lalu. Segalanya sudah berceratuk keras di sini dan membuat aku pun kadang-kadang terus mendongak memandang istana aku dengan sebuah renungan yang benar-benar kosong.
(Sritharanee Subramaniam, 2006:119)

Kata nama berdasarkan petikan ialah:
Jenis Kata Nama
Perkataan
Kata Nama Am
nenek, air, gelas, ibu, tiub, pil-pil, istana 
Kata Nama Khas
Fallopio
Kata Ganti Nama
aku, itu, ini

Kata nama ialah kata yang ditujukan pada benda, binatang, orang, tempat, bulan, bangunan, hari, waktu dan seumpamanya. Kata nama boleh digolongkan pada beberapa jenis, seperti:

1.    Kata Nama Am
Perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep secara umum. Kata nama am boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu nama am hidup dan nama am tidak hidup.

i.     Nama Am Hidup dibahagikan kepada dua subgolongan iaitu:
a.   Manusia
b.   Bukan Manusia

ii.   Nama Am Tidak Hidup dibahagikan kepada dua subgolongan iaitu:
a.   Institusi
b.   Bukan Institusi
Bukan Institusi dibahagikan pula kepada dua kumpulan iaitu abstrak dan konkrit. Kumpulan abstrak dipecahkan kepada dua kumpulan kecil iaitu berbilang dan tidak berbilang. 

Contoh perkataan:
Hidup
Tidak Hidup
Manusia
Bukan Manusia
Institusi
Bukan Institusi
Abstrak
Konkrit
Berbilang
Tak Berbilang
ibu
ikan
kolej
mangga
pasir
rumah
nenek
ayam
sekolah
komputer
udara
istana
doktor
pokok
institut
mesin faks
rumput
bandar
pesakit
burung
universiti
mawar
angin
hospital
jururawat
nyamuk
mahkamah
donut
cahaya
kampung
2.    Kata Nama Khas
Perkataan yang merujuk pada nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya secara khusus.  Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas dibahagikan kepada dua golongan iaitu nama khas hidup dan nama khas tidak hidup.
i.     Nama Khas Hidup dibahagikan kepada dua subgolongan iaitu:
a.    Manusia
b.   Bukan manusia
Contoh perkataan:
Hidup
Tidak Hidup
Manusia
Bukan Manusia
Asyraf
Si Puyu
Rabu
Abdullah
Tompok
The Mall
Nik Safiah
Bunga Raya
Satria Neo
Perdana Menteri
Sang Murai
Hospital Besar Kuantan
Menteri Pelajaran
Sang Belang
Open University Malaysia

3.    Kata Ganti Nama
Perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am. Kata ganti nama dibahagikan kepada dua golongan iaitu ganti nama diri dan ganti nama tunjuk.
i.             Ganti Nama Diri boleh dibahagikan kepada dua subgolongan iaitu:
a.   Ganti Nama Diri Orang
b.   Ganti Nama Diri Tanya

Ganti nama diri orang dibahagikan pula kepada tiga kumpulan iaitu ganti nama diri orang:
a.   Pertama
b.   Kedua
c.    Ketiga

Contoh perkataan:
Ganti Nama Diri
Ganti Nama
Tunjuk
Ganti Nama Diri Orang
Ganti Nama Tanya
Pertama
Kedua
Ketiga
saya
anda
dia
apa
itu
aku
awak
beliau
bila
beta
tuanku
baginda
mana
ini
kami
kamu
mereka
siapa
ku
kau
nya
kenapa

Gambarajah di bawah dapat menjelaskan penggolongan Kata Nama:
 

5. Proses penerbitan ayat dalam bahasa Melayu melibatkan pengguguran, penyusunan semula, dan perluasan.
(a) Dengan memberikan contoh, huraikan apakah yang dimaksudkan dengan proses pengguguran dalam rumus transformasi ayat bahasa Melayu.

Proses pengguguran ialah satu proses transformasi yang berlaku ke atas struktur ayat. Proses ini melibatkan  pengguguran unsur-unsur tertentu daripada binaan ayat itu. Oleh itu pada peringkat struktur permukaan unsur yang digugurkan itu tidak lagi wujud. Dalam bahasa Melayu terdapat empat jenis pengguguran:
  1. Pengguguran frasa nama sebagai subjek
Contoh ayat: “Pergi dari sini!”
  1. Pengguguran frasa predikat
Contoh ayat: “Adik saya cerdik tetapi pemalu.”
  1. Pengguguran frasa nama yang mendahului frasa relatif
Contoh ayat: “Adik Ali dan sepupunya belajar di kampung.”
  1. Pengguguran kata nama yang berfungsi sebagai inti dalam frasa nama
Contoh ayat: “Yang biru itu pilihan saya.”

(b) Dengan menggunakan rajah pohon, tunjukkan bagaimana berlakunya pengguguran frasa nama sebagai subjek dalam ayat berikut:
i. Kamu tunggu di sini.
Proses pengguguran frasa nama sebagai subjek dalam ayat di atas dapat digambarkan dalam bentuk rajah pohon berikut:



(c) Dengan memberikan contoh ayat yang sesuai, huraikan bagaimana berlakunya pengguguran bagi keseluruhan frasa predikat berikut:
i. frasa kerja yang serupa
Contoh ayat bagi pengguguran frasa kerja yang serupa adalah seperti yang berikut:
(a) Nazilatul belajar di perpustakaan dan Zaidi belajar di perpustakaan.
(b) Nazilatul dan Zaidi belajar di perpustakaan.

Contoh ayat (a) mengandungi pengulangan predikat frasa kerja yang serupa dalam ayat majmuk gabungan, iaitu ‘belajar di perpustakaan’. Oleh itu, predikat ‘belajar di perpustakaan’ dalam klausa pertama ini telah digugurkan seperti dalam ayat (b).

ii. frasa adjektif yang serupa
Contoh ayat bagi pengguguran frasa adjektif yang serupa adalah seperti yang berikut:
(a)  Bunga melur harum baunya dan bunga kemboja harum baunya.
(b)  Bunga melur dan bunga kemboja harum baunya.

Ayat (a) mengandungi frasa predikat, iaitu frasa adjektif ‘harum baunya’ yang serupa dalam ayat majmuk gabungan. Oleh itu, frasa adjektif ‘harum baunya’ dalam klausa yang pertama telah digugurkan seperti dalam ayat (b).
 
iii. frasa sendi nama yang serupa
Contoh ayat bagi pengguguran frasa sendi nama yang serupa adalah seperti yang berikut:
(a)  Adik saya masih di sekolah dan adik Zafri masih di sekolah.
(b)  Adik saya dan adik Zafri masih di sekolah.

Dalam contoh ayat (b), predikat frasa sendi nama ‘di sekolah’ dalam klausa pertama telah digugurkan kerana mengandungi frasa predikat yang sama dalam ayat majmuk (a), iaitu frasa sendi nama ‘di sekolah’.

Pengguguran frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama yang serupa dalam ayat majmuk perlu dilakukan untuk mengelakkan pengulangan frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama yang serupa dalam ayat.

6. Golongan kata mengikut Buku Tatabahasa Dewan boleh dibahagikan kepada empat, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas.
(a) Dengan memberikan contoh yang sesuai, huraikan apakah yang dimaksudkan dengan kata adjektif bahasa Melayu.
Kata adjektif ialah kata menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata adjektif mudah dikenali jika kata berkenaan didahului oleh kata penguat seperti amat,sangat, sungguh, sekali, paling, agak, dan benar. 
Kata adjektif juga boleh terbentuk berdasarkan kata itu sendiri atau secara menerima imbuhan sama ada imbuhan awalan, apitan, atau sisipan. Berdasarkan makna kata adjektif dapat digolongkan kepada sembilan jenis seperti berikut:


Jenis Kata Adjektif

Contoh Perkataan

Sifatan atau Keadaan

bijak, budiman, cemas, letih, tercanggih

Warna

biru, hijau, merah, kuning, putih

Ukuran

kerdil, rendah, renek, tebal, terpanjang

Bentuk

bengkok, bulat, kempis, leper, lonjong

Waktu

awal, baharu, cepat, lampau, suntuk

Jarak

dekat, jauh, nyaris, berhampiran

Cara

deras,gopoh, jelas, seiring, kelincahan

Perasaan

angkuh, bahagia, benci, rindu, gembira

Pancaindera

masam, merdu,lawa, kasar, tenteram, wangi

(b) Huraikan jenis-jenis kata adjektif yang terdapat di dalam bahasa Melayu dan anda dikehendaki menulis ayat yang lengkap untuk menjelaskan setiap kata adjektif yang diberikan.

Dalam bahasa Melayu terdapat sembilan jenis kata adjektif iaitu:
  1. Kata Adjektif Sifatan atau Keadaan
Terdiri daripada kata yang memberi pengertian sifatan atau keadaan sebagai unsur keterangan nama.  Kata adjektif jenis ini dapat dilihat melalui empat keadaan iaitu:
a.   Keadaan sifat atau rupa sesuatu benda seperti menakjubkan, canggih, dan mempesonakan.
b.   Keadaan yang dipunyai oleh sesuatu benda atau seseorang, seperti cantik, mulia, dan bersedia.
c.    Tanda yang khusus untuk mengenal sesuatu benda.
d.   Pembawaan seseorang seperti perangai, tabiat atau watak seperti pemurah, pemarah, penyayang, pelupa, dan ramah. 

  1. Kata Adjektif Warna
Terdiri daripada perkataan yang memberikan pengertian warna sebagai unsur keterangan.  Contoh ayat: Bendera Kebangsaan negara kita berwarna merah, putih, biru, dan kuning.

  1. Kata Adjektif Ukuran
Jenis perkataan yang memberikan pengertian ukuran sebagai unsur keterangan. Contoh ayat: Abang sudah selesai membaca buku yang tebal itu.
  1. Kata Adjektif Bentuk
Terdiri daripada perkataan yang memberikan pengertian rupa bentuk sebagai unsur keterangan. Contoh ayat : Bola yang dipegangnya lonjong.

  1. Kata Adjektif Waktu
Jenis perkataan yang mempunyai pengertian konsep masa sebagai unsur keterangan. Contoh ayat: Baju baharu adik berwarna-warni.

  1. Kata Adjektif Jarak
Jenis perkataan yang mempunyai makna konsep ruang antara dua benda atau keadaan sebagai penerang kata adjektif. Contoh ayat: Dia nyaris dilanggar oleh sebuah teksi.

  1. Kata Adjektif Cara
Jenis perkataan yang mempunyai makna konsep keadaan kelakuan atau ragam, sebagai penerang kata nama. Contoh ayat: Penerangannya tentang isi pelajaran itu sangat jelas.

  1. Kata Adjektif Perasaan
Jenis perkataan yang mempunyai makna konsep perasaan, sebagai penerang kata adjektif dan harus diikuti oleh kata sendi nama. Contoh ayat: Saya merasa rindu akan ibu dan bapa yang sudah meninggal dunia.

  1. Kata Adjektif Pancaindera
Jenis perkataan yang mempunyai makna konsep rasa, pandang, dengar, bau, sentuh, atau gabungan kelima-lima indera, sebagai penerang kata nama. Contoh ayat: Wajahnya masam ketika saya tiba ke rumahnya.

Sumber:


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...