Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Rabu, 4 Ogos 2010

ULANGKAJI SOALAN HBAE1203 PERKEMBANGAN SENI KANAK-KANAK (ii)

JANUARI 2008

BAHAGIAN B

1. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran membawa pengertian menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

(a) Nyatakan LIMA peranan ICT di dalam konteks pembelajaran.
i. Berupaya meningkatkan kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap pengajaran,
ii. Memberi peluang pembelajaran yang sekata kepada semua pelajar yang mempunyai pelbagai keupayaan,
iii. Meningkatkan motivasi pelajar,
iv. Membolehkan pembelajaran bersendiri (individual learning),
v. Membolehkan pelajar mengakses maklumat yang sukar diperolehi.

(b) Terdapat pelbagai definisi yang telah dikemukakan oleh tokoh-tokoh mengenai pengertian multimedia. Huraikan secara ringkas mengenai pengertian multimedia menurut pemahaman anda.

Multimedia merupakan kombinasi data, video, audio, animasi, grafik dan teks yang direkabentuk menjadi suatu perisian dengan penggunaan komputer sebagai media untuk menyampaikan persembahan. Interaksi di antara pengguna dan komputer dapat
meningkatkan keberkesanan sesuatu proses pembelajaran.

(c) Huraikan dengan jelas LIMA elemen multimedia.
1) Teks
Semasa membangunkan aplikasi multimedia, antara perkara perlu diberikan perhatian dalam penyediaan teks ialah ;
i. ringkas tetapi padat dan boleh dibaca,
ii. penggunaan typeface dan fon yang bersesuaian dan sedia ada pada sistem komputer lain,
iii. pemilihan stail tulisan dan warna teks yang bersesuaian.

2) Grafik
Perkara yang perlu diberikan perhatian dalam pemilihan grafik ialah;
i. bersesuaian dengan kumpulan sasaran dan keperluan tugas,
ii. tidak menyentuh sensitiviti kaum atau agama,
iii. warna grafik yang bersesuaian serta spesifikasi penggunaan grafik tanpa masalah pada sistem berkeupayaan rendah.

3) Audio
Antara perkara perlu diberikan perhatian dalam penggunaan audio dalam aplikasi multimedia ialah ;
i. hanya digunakan jika perlu dan didapati bersesuaian dengan isikandungan atau program,
ii. pastikan audio yang digunakan boleh dikawal contohnya kawalan suara dan memberhentikan audio,
iii. elakkan menggunakan terlalu banyak audio yang sama dalam aplikasi bagi mengelakkan kebosanan.

4) Video
Antara perkara perlu diberikan perhatian dalam penggunaan video dalam aplikasi multimedia ialah ;
i. video analog sering mengalami masalah seperti kecairan warna, gambar yang kurang jelas dan kejatuhan kualiti akibat kerap digunakan atau disimpan dalam tempoh yang lama.
ii. video digital menyediakan kemudahan secara rawak dengan membenarkan arahan copy, cut dan paste disamping kualitinya yang kekal sepanjang masa,
iii. perisian yang kurang arahan atau terlalu canggih boleh membebankan pengguna.

5) Animasi
Penggunaan animasi dalam aplikasi multimedia berkesan kerana ;
i. animasi digital mampu menyampaikan sesuatu mesej dengan lebih pantas,
ii. animasi yang berkesan mampu menarik perhatian, meningkatkan motivasi serta merangsang pemiliran pelajar,
iii. teknologi animasi mampu memudahkan proses penerangan konsep dan demonstrasi sesuatu kemahiran.

2. Matlamat Wawasan 2020 menekankan kepentingan melahirkan warga Malaysia yang kreatif dan inovatif. Begitu juga dengan Falsafah Pendidikan Negara yang memberikan penekanan kepada usaha melahirkan lebih ramai lagi individu yang kreatif dan inovatif bagi membangunkan negara.

(a) Apakah yang dimaksudkan dengan kreativiti ?
Kreativiti bermaksud kebolehan dan kemampuan seseorang menghasilkan sesuatu yang kreatif, baru dan asli.

(b) Menurut Victor Lowenfeld (1975) pengembangan galakan pemikiran kreatif di kalangan kanak-kanak perlu dilakukan secara berterusan. Beliau juga turut menegaskan bahawa sekatan dan halangan terhadap pengembangan kreativiti adalah disebabkan oleh dua faktor utama. Jelaskan DUA (2) faktor tersebut.

Dua faktor yang menghalang pengembangan kreativiti menurut Victor Lowenfeld;

i) Halangan psikologi
Sikap kanak-kanak yang suka menyoal mendatangkan kebosanan kepada ibubapa. Respon negatif ibubapa tidak dapat merungkai kemusykilan atau persoalan yang bermain di fikiran kanak-kanak. Ini menyebabkan kanak-kanak serik untuk bertanya dan ia mengakibatkan pembinaan daya kreativiti kanak-kanak terhalang.

ii) Halangan persekitaran
Lukisan merupakan salah satu media untuk kanak-kanak meluahkan pengalaman yang dilalui mereka. Kanak-kanak yang kreatif dapat menghasilkan karya-karya yang baik jika mendapat bimbingan dan sokongan daripada orang-orang di sekeliling mereka. Namun amalan tidak mengambil berat tentang pembelajaran Seni Visual oleh pihak sekolah menjadi penghalang kepada pembinaan daya kreativiti pada diri kanak-kanak.

3. Mengajar merupakan satu tugas yang kompleks. Semasa mengajar guru perlu melakukan pelbagai bentuk penilaian dan pengujian untuk memastikan keberkesanan pengajaran.

(a) Jelaskan konsep pengujian berikut:

i) Konsep Pengujian Tidak Formal
Boleh dilakukan oleh guru dari semasa ke semasa. Contohnya, guru membuat pemerhatian bagi mengenalpasti sama ada murid memahami apa yang diajar. Murid tidak diberi markah dan dilakukan semasa guru menjalankan tugas mengajar.

ii) Konsep Pengujian Formal.
Melibatkan pengujian rasmi oleh guru atau pihak jawatankuasa pengujian di sekolah. Contohnya, ujian bulanan yang diperuntukkan sejumlah masa yang khusus dengan mengikut prosedur tertentu, mempunyai matlamat dan objektif, pemberian markah dan keputusan yang dilaporkan.

(b) Pengujian formatif merujuk kepada sebarang bentuk pengujian yang dijalankan pada bila-bila masa semasa tahun pembelajaran. Nyatakan TIGA kelebihan menggunakan kaedah pengujian ini.

i) Menyediakan maklumat yang menguntungkan kedua-dua pihak, iaitu pelajar dan guru.
Keputusan yang diperolehi menjadi indikator pada guru akan tahap pemahaman pelajar. Jika keputusan menggambarkan pelajar masih kabur mengenai sesuatu topik, guru perlu memperjelaskan semula topik itu. Melaluinya pelajar dapat meneliti dengan lebih jelas apa yang tidak difahami sebelum ini.

ii) Menyediakan maklumat bagi tujuan laporan perkembangan prestasi pelajar.
Keputusan yang diperolehi boleh digunakan guru untuk melaporkan prestasi pelajaran kepada ibu bapa pelajar. Jika pelajar didapati masih lemah, guru dan ibu bapa pelajar boleh berbincang bagi mengenalpasti punca dan mengatasi kelemahan pelajar.

iii) Menyediakan informasi berkaitan topik yang telah dapat dikuasai dengan baik atau yang perlu diperbaiki.
Ianya member ruang kepada guru untuk menghuraikan konsep yang tidak jelas atau membuat modifikasi dalam cara pengajaran sebelum peperiksaan akhir.

(c) Huraikan panduan kaedah pengujian hasil kreativiti kanak-kanak seperti yang disarankan oleh Hurwitz dan Day (2001).

i) Melengkapkan pengajaran
Soalan yang disediakan mestilah merangkumi semua isipelajaran yang telah diajar sebelum pengujian dijalankan bagi menepati konsep validiti pengujian.

ii) Mengukur kreativiti
Luahan kreativiti adalah sama penting dengan kemajuan pelajar. Luahan kreatif perlu dinilai dan mestilah sentiasa digalakkan.

iii) Memberi ruang kepada pelajar untuk berkarya
Guru perlu menetapkan standard yang bersesuaian kerana setiap pelajar memiliki kemampuan kreativiti yang berbeza. Pelajar yang menunjukkan kemampuan kreativiti yang tinggi perlu diberi ganjaran di atas usaha mereka tetapi perlu memperlihatkan kemajuan dalam bidang pembelajaran seni yang lain.

iv) Menguji kemahiran pelajar
Pelajar perlu ditunjukcara mengaplikasikan kemahiran teknikal dan prinsip-prinsip seni. Kemahiran yang dimiliki mempengaruhi kemampuan pelajar dalam menghasilkan sesebuah karya.

4. Suasana pembelajaran akan menjadi lebih menarik sekiranya guru mampu menyediakan alatan tertentu yang sesuai dengan objektif pembelajaran dan sukatan matapelajaran yang ditetapkan. Oleh itu, pelbagai jenis alatan dan media wajar diketengahkan dalam proses pembelajaran untuk meransang minda kanak-kanak.

(a) Senaraikan EMPAT alatan asas yang boleh disediakan oleh guru pendidikan seni visual bagi meransang minat kanak-kanak untuk melukis dan mencipta.

i) Kertas Lukisan
ii) Berus
iii) Warna
iv) Krayon

(b) Penggunaan rakaman video dan teknologi maklumat memberikan nafas baru di dalam pembelajaran seni visual di sekolah. Jelaskan TIGA perkara utama yang perlu diambil kira sebelum rakaman video digunakan di sekolah.

i) Kesesuaian kandungan video berdasarkan sukatan mata pelajaran pendidikan seni visual
Contohnya, guru menayangkan video untuk mengajar proses pembuatan batik. Semasa tayangan, guru memberi penerangan dan bersoal-jawab dengan murid mengenai setiap satu proses dalam pembuatan batik.

ii) Kemampuan video menjadi alternatif terbaik dalam menyampaikan ilmu pengetahuan
Contohnya, seseorang guru menghadapi kesukaran untuk mendemonstrasikan sesuatu proses pembuatan sesuatu bahan kerana kos yang mahal dan ketiadaan bahan. Murid akan mendapat pendedahan mengenai sesuatu proses pembuatan bahan melalui tayangan video.

iii) Kemampuan video sebagai alternatif kepada pembelajaran yang lebih kreatif dan menyeronokkan
Penggunaan video sebagai salah satu medium ITdapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka sesuatu benda.

5. Apresiasi seni merupakan aspek penting di dalam pengajaran pendidikan seni visual. Apresiasi seni ini merupakan proses penghayatan seni yang merangkumi aspek-aspek pengetahuan, membuat pertimbangan, penyataan diskriminasi dan penghargaan terhadap karya seni.

(a) Jelaskan pengertian apresiasi seni seperti yang dijelaskan oleh Hurwitz dan Day (2001).
Menurut Hurwitz dan Day, apresiasi bermaksud menghargai. Bagi memahami konsep apresiasi seni, seseorang penilai perlu mencari maklumat mengenai pengkarya, bahan yang digunakan, gaya, aliran seni dan aspek sejarah dalam karya tersebut.

(b) Huraikan pandangan tokoh seperti Dewey & Otto Krash dan Walter & Clive Bell mengenai apresiasi seni.
John Dewey dan Otto Krash bersetuju bahawa apa sahaja maklumat berkaitan seni termasuk pengetahuan asas mewujudkan kefahaman terhadap sesuatu karya serta memudahkan proses membuat sesuatu apresiasi seni. Manakala Walter dan Clive Bell pula berpendapat penghayatan dan apresiasi seni tidak memerlukan pengetahuan mengenai idea kerana kehidupan normal seseorang adalah berbeza. Malah membuat apresiasi adalah sesuatu yang berbeza daripada pengalaman biasa.

(c) Ecker (1966) mengkategorikan apresiasi seni di dalam bercorak analitikal. Apresiasi analitikal adalah satu kaedah bagi melihat aspek penghasilan karya seni visual dan disusun dari konsep mudah kepada yang lebih kompleks. Huraikan.

Menurut Ecker terdapat 6 peringkat dalam apresiasi bercorak analitikal;

1) Analitikal
Proses kenalpasti merangkumi tajuk, jenis, pereka, tarikh dihasilkan, asal-usul, gaya, medium dan teknik yang digunakan serta fungsi sesuatu karya.

2) Penerangan
Terbahagi kepada 3 peringkat iaitu penerangan literari, teknikal dan formal;

(i) Literari
Penerangan berupa gambaran tentang sesuatu karya. Contohnya, karya Potret Monalisa, menggambarkan seorang wanita yang sedang mengukir senyuman.
(ii) Teknikal
Penerangan yang merujuk kepada teknik dan bahan yang digunakan dalam menghasilkan karya seni.

(iii) Formal
Penerangan yang merujuk kepada struktur fizikal karya iaitu unsur-unsur seni dan prinsip-prinsip rekaan yang terdapat dalam sesuatu hasil karya.

3) Konteks dan Skop
Perkaitan sesuatu karya dengan masyarakat. Contohnya berkaitan budaya, sumbangan dan peranan pengkarya.

4) Aspek Assosiasi
Perkaitan sesuatu karya dengan pemerhati atau penilai bergantung kepada bagaimana seseorang menikmati karya itu. Contohnya, Potret Monalisa mengingatkan seseorang kepada kekasihnya.

5) Aspek Kritikal
Merupakan penilaian peribadi terhadap sesuatu karya. Contohnya, penilaian berupa kritikan yang membolehkan seseorang membuat apresiasi kepada karya itu dengan lebih menyeronokkan.

6) Aspek Hubungan Baik
Boleh diaplikasikan kepada semua jenis seni visual tetapi lebih menonjol dalam membuat apresiasi kepada seni bina. Aspek kemanusiaan diutamakan berbanding aspek fizikal dan spiritual.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...