Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Khamis, 19 Ogos 2010

ULANGKAJI HBML1203 PENGENALAN FONETIK DAN FONOLOGI BAHASA MELAYU (ii)

BAHAGIAN B

1. (a) Berikan maksud bahasa baku dan jelaskan matlamat pembakuan bahasa.

Bahasa Melayu Baku ialah bahasa Melayu yang sempurna dan lengkap dalam semua aspek, dari segi kod, status, penggunaan bahasa dan betul dalam ejaan, tatabahasa, istilah, penggunaan kata, laras bahasa serta sebutannya.

Menurut Garvin dan Mathiot (1998) bahasa baku membawa maksud pembakuan di dalam semua aspek bahasa, berusaha dan melakukan proses pengekodan melalui kutipan informasi pelbagai aspek  bahasa yang diterima daripada masyarakat dan menjadi norma kebahasaan seluruh masyarakat itu. 

Pengekodan ialah satu persetujuan tidak rasmi yang diambil mengenai satu variasi daripada beberapa variasi yang wujud lalu menjadi kelainan yang mewakili bahasa. Sebagai contoh, satu variasi telah dipilih kerana penggunanya terdiri dari golongan terpelajar. Maka variasi (bahasa itu) diterima pakai oleh penutur-penutur lain.

Secara khusus pembakuan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan mempunyai matlamat untuk:

i.  mewujudkan satu variasi sebutan baku di dalam bahasa Melayu yang dapat digunakan di dalam situasi formal atau rasmi,

ii. meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu di kalangan pengguna bahasa,

iii. memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu supaya sistem sebutannya menjadi mantap dan baku sejajar pemantapan dan pembakuan tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan dan laras bahasa,

iv. menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur dan mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya sebutan disamping menghindarkan penggunaan dialek setempat di dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah.

(b) Nyatakan pendekatan yang paling sesuai dan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian oleh guru bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran sebutan baku.

Pendekatan yang paling sesuai ialah pendekatan situasi dan kontekstual. Seseorang murid perlu memahami situasi yang dibina oleh guru kemudian mereka akan mengajuknya. Guru boleh mewujudkan situasi tertentu seperti di sebuah pasaraya, kaunter pejabat pos, kantin sekolah, stesen bas atau sebagainya. Situasi yang menyerupai keadaan sebenar ini akan menambahbahkan keceriaan di kalangan murid-murid.

Terlebih dahulu guru hendaklah menentukan aspek kemahiran bahasa yang harus dikuasai oleh murid-murid dan ditentukan melalui perancangan objektif pengajaran dan pembelajaran. Contohnya murid dapat menyebut perkataan ekasuku dan dwisuku dengan tepat, sesuai dengan fonetik bahasa Melayu. 

Antara perkara yang pelu dititikberatkan ialah:

i. Fokus utama dan sampingan hendaklah sesuai dengan rujukan sukatan pelajaran, sama ada murid sekolah rendah atau sekolah menengah.

ii. Kemahiran bahasa hendaklah disepadukan iaitu lisan, membaca dan memahami serta menulis.

iii. Pengetahuan Sedia Ada murid.

iv. Mengenalpasti Bahan Bantu Belajar yang sesuai.

v. Menyusun langkah-langkah pengajaran bermula set induksi hingga penutup dan membuat refleksi sesudah tamat.

vi. Menyediakan bahan-bahan rangsangan seperti:
- Perkataan ekasuku = bab, bah, cat, cap, had, hak
- Perkataan dwisuku = ada, abu, baba, bapa, dakwat, danau.

2. (a) Beri definisi kesilapan sebutan dan nyatakan empat kategorinya.

Sebagaimana yang telah disepakati oleh ahli bahasa, kesilapan sebutan ialah penyimpangan yang berlaku daripada hukum, rumus, norma dan cara sebutan bahasa Melayu baku, semasa menyebut fonem, suku kata, kata, frasa, ayat dan semasa berwacana. Kesilapan intonasi, jeda dan tekanan juga boleh menyumbangkan kesilapan sebutan bahasa Melayu dengan mengakibatkan perubahan makna.

Empat kategori kesilapan sebutan seperti berikut;

i. Penyebutan Fonem
Kesilapan penyebutan fonem kebanyakannya dituturkan oleh penutu bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan ketiga. Contohnya, bunyi /b/ dalam 'banyak' disalah sebut /m/ menjadi 'manyak' dan /r/ dalam 'lori' disebut /l/ menjadi 'loli'.

ii. Penyebutan Suku Kata
Kesilapan penyebutan suku kata kebanyakannya berlaku apabila wujud gugusan konsonan dan gugusan vokal terutamanya yang melibatkan kata pinjaman. Contohnya, 'psikologi' disebut 'pi.si.ko.lo.gi'.

iii. Penyebutan Kata
Kesilapannya berkait rapat dengan kesilapan dalam fonem dan suku kata.  Sekiranya seseorang penutur tidak mengenalpasi fonem, tentu sekali dia kurang pasi fonem mana yang hendak dipakai. Contohnya, 'faham' disebut 'paham' dan 'biologi' disebut 'bioloji'.

iv. Penyebutan Frasa
Kesilapannya adalah akibat daripada pengaruh bahasa asing sebagai sumber masukan daan pinjaman. Contohnya, "Aminah's Restaurant" disebut "Aminah Restoran".

(b) Jelaskan dua faktor yang mempengaruhi kesilapan sebutan. 

Dua faktor yang mempengaruhi kesilapan sebutan ialah;

i. Faktor Fizikal Penutur
Faktor fisiologi seseorang penutur berkait rapat dengan organ pertuturan dan alam sekeliling. Organ pendengaran penutur mestilah berfungsi dengan baik supaya dia dapat memberi respon dengan betul. Sebagai contoh, bayi yang lahir dalam keluarga bisu  berkemungkinan bisu juga.  Anak itu tidak dapat meniru sebutan orang lain kerana tidak memperoleh rangsangan persekitaran.

Bagi anak yang berpeluang meniru perlu memiliki organ pertuturan iaitu bibir atas dan bawah, gigi, gusi, hujung, tengah dan pangkal lidah, lelangit keras dan lembut, tekak, rongga hidung, laring, pita suara dan glotis yang sempurna dan baik. Andainya bibir atas si penutur cacat atau sumbing akan menyebabkan berlakunya nasalisasi atau sengauan. Organ pertuturan yang sempurna akan membantu si penutur berucap dengan baik dan sempurna.

ii. Faktor Sosial Penutur
Apabila seseorang anak dipelihara oleh serigala, maka perilaku anak itu juga seperti serigala. Kejadian ini menunjukkan kesan persekitaran pada kehidupan seseorang individu. Corak dan cara hidup, sosioekonomi dan faktor persekitaran merupakan faktor sosial dan mempunyai kaitan dengan proses pertuturan. 

Persekitaran dan proses sosiolisasi amat perlu untuk melicinkan proses pertuturan yang baik. Lagi banyak kita bersosiologi, lagi mendalam ilmu yang didapati dan lagi luas pendengaran kita mengenai bunyi kata dan ayat. 

Ilmu psikologi juga berkait rapat dengan pertuturan. Seseorang individu akan menjadi pendiam kerana tidak banyak didedahkan dengan 'alam komunikasi' dan perhubungan dengan orang lain. Ia juga mempunyai kaitan dengan sifat, sikap, kepercayaan dan nilai hidup seseorang.

3. (a) Apakah kepentingan penggunaan tanda baca?

Tanda baca ialah aspek mekanika bahan tulisan, contohnya titik (.), koma (,), koma bertindih (;) dan sempang (-). Penggunaan tanda baca yang betul dan tepat di dalam tulisan berkait rapat dengan tatabahasa dan gaya penulisan. Tulisan yang tidak mempunyai tanda baca atau penggunaan yang tidak tepat boleh mengganggu pembacaan dan pemahaman.

(b) Huraikan 3 penggunaan tanda titik, tanda koma dan sempang.

i. Tanda Titik (.)

a. Digunakan pada akhir ayat yang bukan pertanyaan atau seruan.
Misalnya:
Ayahku tinggal di Melaka.
Adnin sudah tidur.

b. Digunakan pada akhir singkatan nama orang.
Misalnya:
Md. Lazim bin Abd. Latif
Muhd. Yamin

c. Digunakan pada akhir singkatan gelar, jawatan, pangkat dan sapaan.
Misalnya:
Dr. (Doktor)
Y.A.B (Yang Amat Berhormat)
Kol. (Kolonel) 

ii. Tanda Koma (,)

a. Digunakan di antara unsur-unsur di dalam suatu pemerincian atau pembilangan.
Contohnya, 
 Saya membeli kertas, pen, dan dakwat.
Satu, dua, tiga...

b. Digunakan untuk memisahkan ayat setara yang satu daripada ayat setara berikutnya didahului oleh kata seperti, tetapi atau melainkan.
Contohnya, 
Saya ingin bersenam, tetapi hari hujan.

c. Digunakan untuk memisahkan anak ayat daripada ayat induk apabila anak ayat tersebut mendahului ayat induknya.
Contohnya, 
Saya tidak akan bersenam, kalau hari hujan.
Dia lupa akan janjinya, kerana sibuk. 

iii. Tanda Sempang (-)

a. Menyambung suku kata dasar yang terpisah oleh penggantian baris.
Contohnya,
[                  ... ada cara ba-]
[ru juga                                 ]  

b. Menyambung awalan dengan bahagian kata di akhiran dengan bahagian kata di depan nya pada penggantian baris.
Contohnya,
[                 ... cara baru meng- ]
[ukur kelapa                              ]  

c. Menyambung unsur-unsur kata ulang.
Contohnya,
anak-anak
gotong-royong

BAHAGIAN C

1. Jelaskan mengapa aktiviti pembaikpulihan dijalankan di sekolah

Menurut Kamus Dewan Edisi 111: 1067: "pulih" bererti kembali seperti biasa (keadaan semula). Dengan merujuk kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah dalam pembelajaran, "pembaikpulihan" biasanya dikaitkan dengan usaha untuk memperbaiki sesuatu kekurangan atau memperbetulkan sesuatu yang tidak betul.

Pembaikpulihan atau pemulihan ialah aktiviti alternatif yang dirancang oleh guru kepada murid-murid yang tidak dapat mengikuti kemahiran asas kemahiran bahasa. Contoh masalah yang sering dihadapi murid dalam kemahiran bahasa ialah:

a. Kemahiran Lisan
Tidak dapat menyebut bunyi huruf dan perkataan dengan betul.

b. Kemahiran Membaca
Tidak boleh membaca dengan sebutan yang betul dan tidak memahami teks yang dibaca.

c. Kemahiran Menulis
Mencampur-adukkan huruf besar dengan huruf kecil, bentuk huruf terbalik dan tulisan bengkang-bengkok.

Aktiviti pembaikpulihan perlu dijalankan di sekolah kerana:

i. Murid menghadapi masalah pembelajaran di dalam kelas
Kanak-kanak yang mempunyai daya intelek dan kecerdasan yang rendah serta kurang kebolehan menerima pendidikan biasa memerlukan satu program pendidikan yang teratur dan terancang. Aktiviti yang dijalankan dapat membantu mereka menghadapi proses pembelajaran seperti murid biasa.

ii. Mengecilkan jurang perbezaan antara murid bermasalah pembelajaran dengan murid lain
Murid yang lemah di dalam sesebuah kelas perlu diberi pembaikpulihan oleh guru agar murid tersebut tidak tercicir dalam pelajaran. Melalui program pembaikpulihan mereka dapat belajar dalam suasana yang lebih menarik dan menggembirakan di dalam kelas biasa.

Bagi memastikan keberkesanan aktiviti pembaikpulihan ini, seseorang guru perlu:
i. Menganalisis masalah murid yang telah dikenal pasti memerlukan aktiviti pembaikpulihan

ii. Membuat perancangan teliti dari segi strategi pengajaran dan pembelajaran

iii. Membuat penilaian pada akhir sesuatu sesi pembaikpulihan bagi menentukan sama ada sesi tersebut berjaya atau memerlukan tindakan susulan

Kesimpulannya, Pendidikan Pembaikpulihan adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif untuk membantu murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Program pembaikpulihan ini sesuai supaya jurang perbezaan antara murid dengan murid dapat dikecilkan dan mereka dapat belajar dalam suasana yang lebih baik dalam kelas biasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...