Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Sabtu, 20 Mac 2010

Ulangkaji Pengenalan Pendidikan Seni Visual

Inilah gaya study ala Visual Learners...

Soalan Peperiksaan Akhir 2006

BAHAGIAN A
ARAHAN: Terdapat SEPULUH (10) soalan dalam Bahagian A. Jawab SEMUA soalan.

SOALAN 1

Plato (427-347 Sebelum Masehi) merupakan tokoh terunggul dan terawal dalam bidang Seni Visual. Nyatakan DUA (2) pandangan Plato tentang Seni Visual.
[4 markah]
  







Contoh Jawapan 

2 pandangan Plato:
a) lukisan adalah tiga kali terpisah dari kebenaran,

b) seni dan pendidikan perlu dipandukan kepada kebenaran, kebaikan, kesempurnaan, kesejahteraan dan keindahan.


SOALAN 2

Gambar Hiasan
Konsep seni, menurut Sidi Ghazalba, adalah bertunjangkan kepada mardatillah. Seni yang bagaimanakah menepati pandangan beliau? [4 markah]  
Contoh Jawapan 

Mardatillah bermaksud diredai Allah. Kegiatan membentuk dan membuat binaan dan kegiatan mengenal kraf tradisional merupakan dua bidang yang mempersembahkan hasil seni yang menepati pandangan Sidi Ghazalba. Contohnya, binaan mimbar dan ukiran rehal yang menggambarkan perasaan dalaman pereka terhadap keagungan dan kebesaran Tuhan.



SOALAN 3

Penerokaan merupakan interaksi yang kritis dan kreatif terhadap bahan, sebelum aktiviti seni dijalankan. Senaraikan DUA (2) ciri aktiviti penerokaan yang seharusnya dilakukan oleh pelajar untuk mendapat hasilan seni yang bermutu.
[4 markah]



Contoh Jawapan
 2 ciri aktiviti penerokaan :

a) Merupakan aktiviti luar bilik darjah yang mudah dan ringkas serta mampu diikuti oleh murid.

b) Penemuan sendiri oleh murid melalui cuba mencuba, suaikenal dengan bahan dan uji menguji.

SOALAN 4

Di dalam kerja menggambar secara kolaj dan montaj, terdapat persamaan dan perbezaan daripada aspek penggunaan dan cara mengaplikasi alat dan bahan. Nyatakan DUA (2) perbezaan antara penghasilan kolaj dan penghasilan montaj.
[4 markah]

Contoh Jawapan

2 perbezaan antara penghasilan kolaj dan montaj :


a) Kolaj dihasilkan dengan cara memotong, mengoyak, menggunting, menampal, menindih bahan-bahan di atas permukaan rata. Manakala montaj menggunakan teknik memotong, menampal dan mencantum.


b) Bahantara yang digunakan untuk menghasilkan kolaj adalah daripada bahan-bahan terbuang, jenis kekacang, berbagai jenis kertas dan fabrik. Manakala montaj yang menggunakan teknik kolaj dan mozek dihasilkan daripada potongan gambar, keratan majalah atau surat khabar yang ditindih dan disusun.

SOALAN 5

Corak pualaman dihasilkan secara tidak terancang. Nyatakan DUA (2) peringkat bagaimana corak pualaman dihasilkan.
[4 markah]









Contoh Jawapan

2 peringkat penghasilan pualam :

a) Isikan cat kilat atau cat minyak ke dalam bekas atau takungan berisi air,

b) Tekapkan kertas. 

SOALAN 6

Karya “Still Life With Musical Instruments” oleh Jacques Lipchitz telah dihasilkan pada 1918.
(a) Apakah jenis arca yang dimaksudkan?
(b) Apakah bahan yang digunakan untuk menghasilkan arca ini?
[4 markah]

Contoh Jawapan

a) Karya “Still Life With Musical Instruments” ialah sejenis arca timbul.

b) Bahan yang digunakan ialah kepingan kayu, plaster of Paris, alat-alat pertukangan seperti pahat, penukul, pengukir, pengikir dan kertas pasir.


SOALAN 7

Di dalam menghasilkan batik tulis, lilin panas (cair) dikenakan ke atas motif yang dilukis di atas permukaan fabrik, di mana kemudiannya motif ini diwarnakan. Nyatakan DUA (2) proses berikutnya.
[4 markah]



Contoh Jawapan

2 proses selepas mencanting dan mewarna fabrik : 

a) Fabrik dibiarkan sehingga kering kemudian dicelup kedalam sodium silikat, bahan pemati warna dan dibiarkan dalam tempoh 8 hingga 12 jam di tempat terlindung.
 

b) Fabrik yang telah dimatikan warna kemudiannya dibasuh dengan air mengalir atau air lalu.


SOALAN 8

Sebagai seorang guru, rancangan pengajaran adalah persediaan penting untuk meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Nyatakan DUA (2) tujuan lain rancangan pengajaran.
[4 markah]



  
Contoh Jawapan

2 tujuan Rancangan Pengajaran :

a) Memudahkan pelaksanaan sesuatu pengajaran dan pembelajaran bagi sesuatu tempoh pengajaran sama ada satu waktu pengajaran, satu minggu, satu semester atau satu tahun.

b) Memperkukuhkan pemahaman dan pengalaman tampak murid dengan pemilihan pelbagai alat bantu yang sesuai dan relevan.
 

SOALAN 9

Seni ukiran kayu Melayu tradisional adalah budaya yang mempunyai nilai estetika yang kaya. Namakan DUA (2) bangunan yang masih mengekalkan budaya ukiran kayu ini.
[4 markah]

Contoh Jawapan

2 bangunan yang masih mengekalkan budaya ukiran kayu Melayu tradisional :

a) Istana Tengku Nik, kini dikenali Muzium Induk Negeri Terengganu.


b) Istana Jahar, Kelantan. 
 

SOALAN 10

Di dalam pengajaran dan pembelajaran Seni Visual, terdapat bahagian “Kemuncak”. Nyatakan DUA (2) kepentingan kemuncak di dalam pengajaran dan pembelajaran Seni Visual.
[4 markah]

Contoh Jawapan

2 kepentingan Kemuncak di dalam pengajaran dan pembelajaran Seni Visual :

a) Bertindak sebagai 'alat' untuk mengukur pencapaian murid contohnya dari segi keupayaan menghasilkan sesuatu karya yang bermutu.

b) Juga sebagai 'alat' untuk mengukur kecekapan guru contohnya apabila murid diminta menerangkan semula apa yang telah diajar. 
 


BAHAGIAN B
ARAHAN: Terdapat LIMA (5) soalan dalam Bahagian B. Jawab TIGA (3) soalan sahaja.

SOALAN 1

Seni, menurut Herbert Read, adalah penghasilan rupa dan bentuk yang menimbulkan keceriaan, keseronokan dan kedamaian. Tiga (3) perkara penting yang beliau kemukakan tentang seni disenaraikan di bawah. Bagi SETIAP SATU daripada tiga (3) perkara ini, berikan TIGA (3) huraian berdasarkan penyataan beliau.
(a) Ekspresi diri dan komunikasi.
[6 markah]
(b) Pemerhatian dan pengetahuan konsep melalui aktiviti tampak.
[6 markah]
(c) Apresiasi dan tindak balas individu terhadap hasil kerja orang lain.
[8 markah]
[Jumlah: 20 markah]
(belum ada jawapan)

SOALAN 2

Porfolio seni merupakan himpunan atau koleksi hasil kerja Pendidikan Seni Visual, pengetahuan, intelek dan kebolehan menyelesaikan masalah seseorang murid. Nyata dan huraikan LIMA (5) sebab mengapa portfolio seni merupakan suatu amalan yang sangat relevan untuk pembelajaran murid.
[20 markah]

Contoh Jawapan
 
5 sebab mengapa portfolio seni merupakan suatu amalan yang sangat relevan untuk pembelajaran murid :

a) Bahan portfolio pelajar menggambarkan amalan pelajar, proses pembelajarannya serta sikap dan nilai terhadap kerja.
.
b) Portfolio merupakan satu bekas atau fail yang diisi dengan berbagai-bagai jenis dokumen, sketsa, penjanaan idea, pemeraman idea secara lakaran atau illustrasi, nota-nota dan refleksi pembelajaran.Ia dapat menunjukkan daya usaha, kemajuan dan pencapaian seseorang pelajar dalam satu atau lebih bidang pelajaran.

c) Ia merupakan satu fail kerja yang dibina secara berterusan dan beransur-ansur mengikut keperluan semasa dalam proses pembelajaran.

d) Koleksi perkembangan pembelajaran pelajar dirancang secara bersistem dengan menunjukkan adanya rujukan buku dan tokoh seni.

e) Guru Pendidikan Seni Visual perlu menilai portfolio pelajar bagi melihat usahanya, kemajuan pembelajarannya dan pencapaian secara menyeluruh. Penilaian portfolio merupakan satu cara atau kaedah menilai pelajar secara bersistem, menggambarkan penguasaan kemahiran dalam konteks jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).


SOALAN 3

”Membentuk dan membuat binaan” merupakan bidang ketiga di dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR. Kemahiran di dalam bidang ini perlu dikuasai dengan baik supaya nilai estetika dan etika dapat diaplikasikan dengan berkesan. Jelaskan LIMA (5) kemahiran asas di dalam mengaplikasi alat, bahan dan teknik di dalam menghasilkan arca stabail kertas.
[20 markah]
(belum ada jawapan)

SOALAN 4

Kaedah inkuiri-penemuan merupakan salah satu daripada beberapa diskripsi di dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran di dalam Pendidikan Seni Visual.
(a) Apakah yang dimaksudkan dengan kaedah inkuiri – penemuan?
[5 markah]
(b) Jelaskan LIMA (5) faedah kaedah inkuiri-penemuan di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual.
[15 markah]
[Jumlah: 20 markah]



Contoh Jawapan

a) Definisi 

Inkuiri-Penemuan ialah satu kaedah yang melibatkan pelajar secara aktif dalam proses seperti mengingat kembali, memerhati dan mendengar, menyoal, menyiasat serta mengumpul dan mengelaskan maklumat, menyelidik, menganalisis, membanding serta menaakul.

b) 5 Faedah Kaedah Inkuiri-Penemuan :  

i. Pelajar mempelajari sesuatu dengan bimbingan dan tunjuk ajar guru yang minimum.

ii.  Hasil-hasil dari kajian dan penerokaan adalah melalui usaha pelajar sendiri.

iii.  Pelajar mempelajari cara-cara untuk mendapatkan atau mengumpul sesuatu yang diperlukan.

iv. Menajamkan deria pelajar khususnya penglihatan dan perasaan.

v. Latihan dalam proses mengesan dan menyelesaikan masalah. 

SOALAN 5

Set induksi adalah langkah terawal di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual.
(a) Nyatakan LIMA (5) tujuan set induksi di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual.
[10 markah]
(b) Huraikan EMPAT (4) rasional yang perlu dipertimbangkan semasa menyediakan set induksi di dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual.
[10 markah]
[Jumlah: 20 markah]

Contoh Jawapan

a) 5 tujuan Set Induksi :

i. Membina aliran fikiran serta menimbulkam minat murid untuk memusatkan perhatian kepada isi pelajaran yang akan diajar. 

ii. Mendapatkan perhatian murid tentang bermulanya proses pengajaran dan pembelajaran dan mendapatkan tindakbalas yang diperlukan.

iii.  Menimbulkan perasaan ingin tahu di kalangan murid. Mereka menumpukan perhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan yang timbul.

iv. Mengaitkan pelajaran baru dengan pelajaran yang lalu.

v. Menggalakkan penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran seperti aktiviti lakonan.

b) 4 rasional menyediakan Set Induksi :

i. Mesti berkaitan dan releven dengan isi dan objektif pelajaran.  

ii. Digunakan apabila murid telah cukup sedia.

iii. Digunakan dengan cara yang menarik dengan disokong dengan alat bantu mengajar, penglibatan murid dan soalan.

iv. Sesuai dengan umur, kebolehan, minat dan pengalaman murid.

Waallahua'lam.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...