Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Selasa, 30 Mac 2010

Ulangkaji Pengenalan Pendidikan Bahasa Melayu


Sekadar Cadangan Jawapan...
Peperiksaan Akhir 2006

BAHAGIAN A
ARAHAN: Terdapat SEPULUH (10) soalan dalam Bahagian A. Jawab SEMUA soalan.
SOALAN 1 
Teori Struktural, yang dipelopori oleh Bloomfield, Edward Sapir, De Saussure, dan Otto Jespherson; merupakan salah satu daripada Teori Huraian Bahasa Tradisional. Berikan DUA (2) pendapat pelopor teori ini tentang Teori Struktural.

                                   
CADANGAN JAWAPAN
Pendapat pelopor-pelopor Teori Struktural ini dapat dilllihat melalui kajian mereka di dalam 2 perkara berikut;
a. Tatabahasa
Mereka bersetuju bahawa bahasa adalah sistematis, mempunyai tatabahasa sendiri, hidup dan berubah. Mereka juga berpendapat bahawa wujud perkaitan antara fonem sebagai satu unit bahasa yang terkecil dan unit tatabahasa dan ayat dapat dianalisis secara konstituen terdekat.
b. Nahu
Mereka berpendapat bahasa adalah satu sistem yang mempunyai ciri peraturan, satu sistem, arbitrari (boleh berubah) dan untuk perhubungan.
SOALAN 2

Teknik merupakan suatu alat yang digunakan oleh guru bahasa bagi menyampaikan bahan pengajaran yang telah dipilih untuk pelajarnya. Jelaskan secara ringkas Teknik Main Peranan.              







CADANGAN JAWAPAN
Main Peranan bermaksud melakonkan sesuatu situasi atau masalah berdasarkan peranan yang ditentukan tanpa penghafalan skrip. Proses ini biasanya dimulakan dengan guru mengemukakan situasi atau masalah sama ada dengan cara membacakannya, memperlihatkannya melalui filem atau televisyen atau dengan cara memperdengarkan rakaman. Pelakon perlu menjelaskan situasi tersebut kepada pelajar lain secara spontan. Contohnya, pelajar diminta melakonkan aktiviti seharian seorang penoreh getah.

SOALAN 3

Anda bercadang untuk mengajarkan kemahiran bertutur di bilik darjah. Tajuk pengajaran anda ialah “Kemajuan Teknologi”. Apakah bahan bantu mengajar yang sesuai untuk anda gunakan dalam pengajaran berkenaan?      


















                                                                           
CONTOH JAWAPAN
Seorang guru bahasa yang ingin mengajarkan kemahiran bertutur bertajuk Kemajuan Teknologi boleh menggunakan 2 jenis bahan bantu mengajar berikut;
a. Gambar
Gambar-gambar yang digunakan mestilah berkaitan dengan tajuk, mempunyai saiz yang sesuai, terang dan jelas supaya ia boleh dijadikan bahan rangsangan untuk murid-murid bercerita atau membuat pernyataan. Sebagai contoh, guru boleh menggunakan gambar komputer, televisyen, radio dan kenderaan.
b. Kad perkataan
Kad-kad perkataan boleh digunakan untuk merangsangkan pertuturan murid. Guru boleh menggunakan kad-kad perkataan dengan meletakkannya di atas papan flannel dan carta poket. Sebagai contoh guru boleh menggunakan perkataan komputer, televisyen, radio dan kereta.

SOALAN 4

Pelajar anda tidak dapat menguasai aspek bacaan secara lantang dengan baik. Cadangkan DUA (2) cara bagi memperbaiki kelemahan ini.  














CADANGAN JAWAPAN
Bagi memperbaiki kelemahan pelajar dalam menguasai aspek bacaan lantang atau mekanis ini, guru boleh menggunakan 2 cara berikut;
a.  Memberikan satu petikan dalam satu masa khas untuk bacaan,sesuai dengan tahap kebolehan murid. Contohnya, guru mengadakan kelas bimbingan di luar waktu pembelajaran biasa. Guru membimbing murid dengan membaca petikan sebagai contoh dan murid menyemak bacaan guru.
b.  Bersoal jawab dan membantu murid dengan perkataan dan rangkai kata yang susah sama ada dari segi sebutan atau makna perkataan itu. Perkataan yang digunakan haruslah lebih ringkas dan mampu memberi rangsangan misalnya, memuatkan gambar dan menggunakan warna yang berbeza mengikut sukukata atau sebutan untuk memberi lebih pemahaman.

SOALAN 5

Bahan sumber pengajaran kemahiran menulis boleh didapati daripada pelbagai sumber, seperti internet, digital, audio dan audio visual, gambar, dan filem. Berikan EMPAT (4) ciri bahan sumber pengajaran kemahiran menulis yang baik.








                                                   
 CADANGAN JAWAPAN
4 ciri bahan sumber pengajaran kemahiran menulis yang baik adalah seperti berikut;
a. Sesuai dengan bilangan murid di dalam kelas dan cara pengelolaan kelas oleh guru semasa mengajar.
b. Sesuai dengan wang peruntukan yang ada terutamanya yang melibatkan peralatan ICT.
c. Mengambil kira kebolehupayaan murid-murid menggunakan bahan berkenaan terutama sekiranya melibatkan bahan-bahan berteknologi digital dan elektronik.
d. Mengambil kira kebolehupayaan guru untuk mengendalikan bahan yang disediakan sendiri.

SOALAN 6
Sistem bahasa merujuk kepada bahasa Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, ejaan, sebutan dan intonasi, kosa kata dan peribahasa. Beri takrifan morfologi dan sintaksis dalam tatabahasa.                                                                                                                  
CADANGAN JAWAPAN
Takrif Morfologi dan Sintaksis adalah seperti berikut;
Morfologi merupakan bidang yang mengkaji tentang pembentukan kata. Pembentukan kata itu terdiri daripada morfem, jenis morfem, struktur kata, penggolongan kata dan bentuk kata.
Sintaksis bermaksud kajian tentang pembentukan ayat. Sintaksis bahasa Melayu merangkumi tajuk-tajuk seperti Frasa, Klausa, Pola Ayat, Jenis Ayat, Bentuk Ayat, Ragam Ayat dan Proses Penerbitan Ayat.

SOALAN 7

Pengajaran sistem bahasa boleh dilaksanakan secara terancang dan penyerapan. Jelaskan secara ringkas cara pengajaran sistem bahasa secara penyerapan.                         
CADANGAN JAWAPAN
Pengajaran sistem bahasa secara penyerapan boleh dijalankan dengan cara;
a. Guru mengenal pasti kemahiran sistem bahasa yang hendak mereka sampaikan kepada pelajar.

b. Pendekatan induktif, komunikatif dan juga eklektik merupakan antara pendekatan yang sesuai digunakan.

c. Isi pelajaran disampaikan melalui aktiviti yang dirancang oleh guru.
d. Murid tidak menyedari bahawa mereka sedang diajarkan dengan sesuatu bahagian sistem bahasa.

SOALAN 8

Bahan sastera digunakan untuk membantu pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di bilik darjah. Beri DUA (2) sebab kenapakah bahan sastera sesuai digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. 

CADANGAN JAWAPAN
Bahan sastera sesuai digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu kerana ia dapat;
a. memupuk minat membaca sebagai satu amalan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan.
b. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis, dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca, dan menulis.

SOALAN 9

Pola suku kata bahasa Melayu terbahagi kepada dua (2). Nyatakan KEDUA-DUA pola suku kata yang berkenaan.                                                                                                   
CADANGAN JAWAPAN

Pola-pola suku kata bahasa Melayu terbahagi kepada 2 iaitu;

a. Pola suku kata terbuka

Contohnya, V + KV dalam api iaitu a + pi, KV + KV dalam bubu iaitu bu + bu dan KV + KV + KV dalam perahu iaitu pe + ra + hu.

b. Pola suku kata tertutup

Contohnya,  VK + KVK dalam ambil iaitu am + bil, KVK + KVK dalam kancil iaitu kan + cil dan KKKVK + KVK dalam struktur iaitu struk + tur.

SOALAN 10

Bahan bantu mengajar ialah segala kelengkapan, perkara, atau benda yang digunakan oleh guru untuk membantu murid belajar dengan lebih berkesan dan menarik. Bagaimanakah bahan bantu mengajar dapat membantu proses pembelajaran di bilik darjah?      







CADANGAN JAWAPAN
Bahan bantu mengajar dapat membantu proses pembelajaran di bilik darjah kerana ia dapat;

a. menarik minat murid untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang sesuatu isi pelajaran dan sekali gus mengelakkan kebosanan dan ketegangan.

b. mengekalkan tumpuan pemerhatian dan pemikiran murid kepada apa yang hendak diajarkan dan sekali gus mengelakkan masalah disiplin dalam semasa di dalam bilik darjah.

c. mencetuskan pemikiran murid dan sekali gus mengelakkan suasana mengantuk dan kebuntuan fikiran.

d. menyeronokkan emosi dan rohani murid dan sekali gus mengelakkan kebosanan di kalangan murid;

BAHAGIAN B
ARAHAN: Terdapat LIMA (5) soalan dalam Bahagian B. Jawab TIGA (3) soalan sahaja.
SOALAN 1
Terdapat banyak masalah berhubung dengan pengajaran menulis di sekolah. Masalah ini tidak harus dibiarkan berlanjutan, khasnya apabila pelajar itu hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.
(a) Senaraikan EMPAT (4) masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis.                                                                                                    
CADANGAN JAWAPAN
4 masalah dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis;
a. Pengaruh kesebatian penggunaan bahasa dialek
b. Kesalahan Tatabahasa
c. Kesalahan penggunaan tanda-tanda baca
d. Kesalahan penggunaan pelbagai jenis ayat
Penggunaan bahasa dialek merupakan faktor utama yang menyumbang berlakunya kesalahan penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu Standard dengan betul. Ia tidak tertumpu kepada pelajar sahaja bahkan melibatkan juga sebahagian besar guru bahasa sendiri.
Kesalahan-kesalahan penggunaan tatabahasa, tanda-tanda baca dan ejaan yang betul serta jenis-jenis ayat seperti ayat tunggal dan ayat majmuk dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran menulis harus diberi perhatian demi mengelakkan masalah yang berlanjutan.

(b) Cadangkan langkah yang sesuai bagi mengatasi EMPAT (4) masalah yang telah anda senaraikan.                                                                                                                 
CADANGAN JAWAPAN
Pendekatan LEA (Pengalaman Bahasa) boleh digunakan bagi mengatasi 4 masalah yang telah disenaraikan, iaitu :
a. Guru meransang perbincangan berkaitan dengan tajuk yang dipilih.
b. Murid-murid digalakkan memberi sumbangan untuk membina cerita.
c.Perkataan-perkataan tertentu yang akan digunakan dalam karangan disebut dalam perbincangan dengan guru. Penggunaan perkataan yang betul perlu diberi perhatian oleh guru.
d. Murid-murid diminta membina ayat berdasarkan idea yang mereka berikan. Guru perlu membimbing murid membina ayat dengan betul.
e. Selepas selesai, guru membimbing murid memberi tajuk cerita.
f. Guru menulis ayat-ayat untuk membina cerita bertulis.
g. Guru membaca secara nyaring, murid mendengar.
h. Murid menyalin teks yang telah ditulis oleh guru.
SOALAN 2
Bahan bantu mengajar digunakan oleh guru untuk mencapai hasil pembelajaran yang berkesan. Sebagai contoh, guru perlu memikirkan bahan yang sesuai bagi mengajarkan kemahiran mendengar dan bertutur.
(a) Senaraikan EMPAT (4) bahan bantu mengajar dalam pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur.                                                                                                                 
CADANGAN JAWAPAN
4 bahan bantu mengajar dalam pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur                  ( kemahiran Lisan )
a. Guru, murid dan bilik darjah
b. Objek sebenar
c. Gambar
d. Grafik
(b) Jelaskan penggunaan EMPAT (4) bahan bantu mengajar ini untuk membantu guru dalam pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur.                                                       
CADANGAN JAWAPAN
Kegunaan :
a. Guru, murid dan bilik darjah
Gerak laku guru dan murid boleh dimanfaatkan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran, misalnya:
i. Guru menunjukkan cara-cara membunyikan sesuatu sebutan,
ii. Guru menggunakan papan tulis untuk mencatat perkataan atau frasa yang harus disebut oleh murid.
b. Objek sebenar
Objek yang biasa digunakan sehari-hari boleh dijadikan alat dan bahan pengajaran bagi membolehkan murid-murid;
i. Mengaitkan konsep dengan bunyi. Contohnya, rakaman bunyi pelbagai kenderaan, mergastua dan air menggunakan alat audio.
ii. Mengaitkan situasi dengan pertuturan sebenar. Contohnya, pertuturan sekumpulan manusia di stesen bas berbeza dengan pertuturan di pasar. Pertuturan boleh didengar dan dilihat melalui alat audio-visual yang digunakan guru.
c. Gambar
Guru digalakkan mempunyai fail-fail untuk menyimpan gambar-gambar tunggal ataupun bersiri untuk dijadikan rangsangan untuk murid-murid bercerita, berlakon, berpuisi ataupun berdialog.
Gambar-gambar tersebut hendaklah sesuai dari segi saiz, terang dan jelas.
d. Grafik
Pelbagai grafik boleh digunakan sebagai bahan rangsangan untuk bertutur. Contohnya:
i. Pelbagai jenis carta misalnya carta pai, carta palang, carta lingkaran dan carta organisasi.
ii. Jadual yang bermaklumat yang boleh digunakan untuk aktiviti pertuturan misalnya jadual waktu, jadual bertugas dan jadual perjalanan.
SOALAN 3
Bahasa pertama ialah bahasa yang mula-mula sekali diperoleh dan dikuasai oleh seseorang sejak dia masih kanak-kanak, iaitu sebelum dia mempelajari sesuatu bahasa asing atau bahasa kedua.
(a) Jelaskan bagaimana bahasa pertama itu diperolehi oleh seseorang kanak-kanak                    
CADANGAN JAWAPAN
Bahasa pertama diperolehi oleh seseorang kanak-kanak sebelum dia mempelajari sesuatu bahasa asing atau bahasa kedua.
Contohnya, jika ibubapa dan kanak-kanak berbangsa atau berketurunan Melayu, bahasa pertuturan keluarga adalah bahasa Melayu, maka bahasa pertama kanak-kanak tersebut adalah Bahasa Melayu.Ini adalah kerana ciri-ciri bahasa pertama ialah bahasa yang mula-mula didengar, ditutur dan dikuasai.
(b) Di sekolah, kelemahan dalam pembelajaran Bahasa Melayu antara lain berpunca daripada dua (2) gangguan bahasa yang utama, iaitu gangguan dialek dan gangguan bahasa ibunda. Jelaskan bagaimanakah kedua-dua gangguan ini boleh menjejaskan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah.                                                                                                            
CADANGAN JAWAPAN
Gangguan dialek boleh menjejaskan pembelajaran Bahasa Melayu  kerana kesalahan-kesalahan sebutan, perbendaharaan kata dan tatabahasanya.
Bunyi-bunyi bahasa biasanya terseleweng daripada sebutan yang sebenar, iaitu dalam bahasa baku. Contohnya, perkataan “ular” dalam bahasa baku disalah sebut “ula” dalam dialek Terengganu.
Contoh leksikal dapat dilihat dalam dialek Kelantan yang menggunakan perkataan “nak-nak” bagi perkataan “tiap-tiap”.Manakala dalam bidang sintaksis, contohnya ayat “Pertuturan budak itu sangat baik”, disebut “Pertuturan budak itu baik sangat” dalam dialek Utara.
Gangguan bahasa ibunda pula menimbulkan kesalahan-kesalahan dari aspek fonologi, morfologi-sintaksis dan semantik.
Timbul kesalahan dalam aspek fonologi disebabkan kesulitan menyebut beberapa fonem dan bunyi dalam Bahasa Melayu oleh pelajar-pelajar bukan Bumiputera. Contohnya, pelajar-pelajar Cina yang sukar menyebut [r].menyebut “laja” bagi perkataan “raja”.
Kesalahan morfologi-sintaksis timbul disebabkan pelajar-pelajar bukan Melayu yang kerap berfikir dalam bahasa ibunda mereka sebelum melafazkan perkataan dalam bahasa Melayu. Ini mengakibatkan bahasa Melayu wujud dalam bentuk yang berbagai-bagai ragam. Pelajar-pelajar bukan Melayu juga menyerapkan struktur bahasa ibunda dalam bahasa Melayu. Contohnya, frasa “kasut tahan” dalam bahasa baku disebut “tahan punya kasut”.
Dalam aspek semantik wujud kesalahan pengertian atau makna yang disebabkan oleh pengaruh bahasa ibunda. Misalnya dalam bahasa Cina, makna perkataan dipindahkan dalam bahasa kedua. Contohnya, pelajar-pelajar menggunakan rangkaikata “sikit jam” yang bermaksud “sekejap”.Selain itu,bambiguiti atau kekaburan ayat-ayat juga timbul sewaktu pembentukan ayat. Pelajar-pelajar bahasa kedua sering memberikan makna yang salah pada perkataan Bahasa Melayu. Contohnya, perkataan “sama” dalam ayat “Pukul sama budak jahat itu”.
SOALAN 4
Baca petikan berikut dan jawab soalan yang berkaitan dengannya.
Nadia tidak ambil peduli akan kata-kata Abang Kamal. Bagi Nadia, tindakan Abang Kamal yang sedemikian tidak menjejaskan sedikit pun usahanya untuk memulihkan perusahaan abah. Yang penting, kilang abah mesti diselamatkan. Dan Nadia pasti, abah akan tentu menyebelahinya.
“Berhati-hati Nadia. Kalau bertindak, biar seperti menarik benang dalam tepung. Benang dapat ditarik, tanpa mengecahkan tepung,” peringat abah sewaktu mereka berbincang tentang abang Kamal.
“Abah tak boleh memecat abang Kamal tanpa sebarang sebab. Itu Nadia tahu kan. Jadi, Nadia kenalah cari bukti tentang salah laku Abang Kamal sebelum abah mengambil tindakan,” pesan abah lagi.
“Itu Nadia faham abah. Dan Nadia pun bukan sengaja nak cari kesalahan Abang Kamal. Tapi kalau tindakannya boleh menjejaskan kilang ini, Nadia rasa kita patut bertindak. Tempatnya perlu digantikan dengan orang lain,” balas Nadia kemudiannya.
“Siapa agaknya yang sesuai” soal abah. Nadia tersenyum mendengar pertanyaan abah. Abah hairan melihat reaksi Nadia.
(Dipetik daripada Elby Wahida, 1995, Ceria Kasih. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka)
Dengan menggunakan petikan di atas, cadangkan aktiviti pengajaran Kemahiran Membaca dengan menggunakan teknik DR-TA.                                                                        
SOALAN 5 
Sebagai guru Bahasa Melayu, anda berasa bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu perlu dipertingkat di kalangan pelajar di sekolah anda. Hal ini amat penting memandangkan bahawa peranan bahasa Melayu amat signifikan dalam kedudukannya sebagai bahasa rasmi Negara ini. Jelaskan beberapa langkah yang boleh anda laksanakan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu pelajar di sekolah anda.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...