Everything good that happens to you (O Man) is from God, everything bad that happens to you is from your own actions.(Quran 4:79)

Rabu, 23 Disember 2009

ULANGKAJI HBEF2303 TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN

 AWAS! INI BUKAN TOPIK SPOT!


1. Ciri-ciri Sekolah Bestari dan Aplikasi Teknologi Maklumat di dalam pengurusan sehariannya.
Menurut Wan Mohd Zahid (1997), sekolah bestari diwujudkan dengan ciri-ciri berbeza berbanding sekolah sedia ada. Antara ciri-ciri tersebut ialah:
• Sekolah Bestari dihubungkan dengan jaring kawasan tempatan (LAN) yang membolehkan perkongsian maklumat supaya dapat menggalakkan kerjasama antara pelajar dan guru untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
• Sekolah ini juga dihubung melalui jaring kawasan luas (WAN) yang menyediakan sumber-sumber melalui "on line' untuk membolehkan guru-guru dan pelajar mendapat maklumat dari rumah.
• Sekolah bestari disesuaikan mengikut kehendak guru, pelajar dan pentadbir dengan menyediakan pelbagai perisian aplikasi.
• Guru berperanan sebagai faslitator yang bertanggung jawab menyediakan situasi yang menggalakkan pembelajaran terarah kendiri secara berdikari.
• Pentadbir berfungsi sebagai pengurus berkesan.


2. Cara bagaimana seorang guru dapat menggunakan persembahan elektronik sebagai alat bantuan mengajar.
Perisian membuat persembahan dengan menggabungkan unsur-unsur animasi, grafik, audio, video dan teks bertujuan menarik perhatian pengguna dan menjadikan persembahan tidak membosankan.
Menurut Shaifol (2004) penggunaan media unsur animasi, grafik, audio, video dan teks dalam satu persembahan menjadikan persembahan:
• menarik minat pengguna;
• memberi motivasi kepada pengguna; dan
• mudah difahami oleh pengguna.


Tiga kategori persembahan elektronik sebagai alat bantu mengajar :
a. Tutorial
Dalam proses pembelajaran menggunakan kaedah tutorial, persembahan elektronik disusun berdasarkan kandungan pelajaran dan urutan yang telah ditetapkan. Pembelajaran tutorial merangkumi penerangan, demonstrasi dan latihan atau latih tubi.
b. Penerokaan
Dalam proses pembelajaran menggunakan kaedah penerokaan, pelajar menggunakan persembahan elektronik sebagai medium untuk mencari dan mengakses maklumat. Bagi memastikan proses pembelajaran tidak memakan masa, untuk mencari laman web yang sesuai. Pautan ke laman web disediakan dalam perisian yang dibina.
c. Aplikasi
Dalam proses pembelajaran menggunakan kaedah aplikasi, persembahan elektronik digunakan sebagai alat aplikasi (alat membantu murid melaksanakan tugas dalam pembelajaran), bukan sebagai mekanisma penyalur maklumat.

3. Kelebihan menggunakan rangkaian komputer dalam persekitaran pembelajaran seperti di sekolah.
Rangkaian komputer adalah koleksi sejumlah komputer yang boleh berkomunikasi antara satu sama lain melalui media yang dikongsi.

Kelebihan Penggunaan Rangkaian Komputer
Untuk berkongsi sumber atau perkakasan
Dengan rangkaian komputer pengguna dapat berkongsi sumber dan perkakasan contohnya file, printer, modem, mesin fax.
Untuk berkongsi Perisian 
Pengguna tak perlu mempunyai satu sistem yang boleh memuatkan kesemua program atau perisian dalam komputer mereka. Apa yang diperlukan hanyalah perisian asas untuk membolehkan komputer beroperasi. Selain itu, pengguna dapat berkongsi dengan pengguna yang lain ataupun boleh mendapatkannya terus daripada pelayan ataupun server.
Untuk meningkatkan produktiviti 
Dengan menggunakan rangkaian komputer ianya lebih menyenangkan untuk berkongsi data dan maklumat di kalangan pengguna.
Kos efektif
 Oleh kerana pengguna dapat berkongsi sumber, perkakasan dan juga perisian maka penggunaan rangkaian komputer menjadi murah dan pelaburannya juga adalah kos efektif.


4. Bagaimana aplikasi Group-Web di internet boleh dimanfaatkan oleh para guru dalam tugas harian mereka.

Group-Web adalah satu kemudahan internet yang menjadikan sekumpulan pengguna berkumpul, berbincang, berborak dan bertukar-tukar maklumat di dalam kumpulannya. Banyak tapak web yang menyediakan kemudahan tersebut termasuk Yahoo dan Alta Vesta.

Sebagai ahli dalam kumpulan (group) ini, guru-guru dapat berhubung walaupun telah 30 tahun terpisah dan menjadikan group-web sebagai penghubung antara mereka, dan dapat bertukar pandangan idea dan pengalaman walaupun berada di tempat yang berbeza.


5. Bagaimana maklumat boleh dicari menggunakan enjin carian di internet.
Mencari maklumat melalui internet merupakan cara paling cepat dan murah jika tahu menggunakan enjin pencari secara berkesan. Empat cara mencari maklumat menggunakan enjin carian :

(a) Cuba pelbagai jenis enjin pencari
Walaupun asasnya sama, setiap satunya mempunyai perbezaan nyata dari segi kaedah pencarian.

(b) Gunakan kata kunci setepat yang mungkin.
Elakkan menggunakan perkataan umum yang mungkin menyebabkan kita terpaksa menyisih terlalu banyak dapatan.

(c) Gunakan "advanced search option". 
Ini membolehkan kita menggunakan "Boolean operators" (AND, OR, NOT, NEAR, +, -).

(d) Baca "hints" dan "help" untuk setiap enjen pencari. 
Ia mengandungi maklumat bagaimana enjin berfungsi.


6. (a)Kriteria yang perlu dipertimbangkan sewaktu memilih sesuatu topologi rangkaian.
Terdapat beberapa pertimbangan yang perlu diambil kira sewaktu hendak memilih sesuatu topologi. Di antara kriteria-kriteria tersebut ialah :


1. Kewangan
Topologi linear bas mungkin lebih murah jika dibandingkan dengan topologi-topologi yang lain tambahan pula topologi bas tidak memerlukan concentrator.
2. Kabel
Rangkaian bertatarajah topologi bas memerlukan kabel yang kurang panjang berbanding topologi yang lain.
3. Manfaat Jangka 
Apabila menggunakan topologi bintang, rangkaian dapat panjang diperkembangkan dengan menambahkan satu lagi concentrator.
4. Jenis kabel
Kabel yang paling popular digunakan di sekolah ialah kabel pasangan berpintal tidak berlapik (unshielded twisted pair - UTP)


(b)Fungsi utama Jambatan (bridges) dalam sesuatu rangkaian komputer.
Sebuah jambatan atau penghubung berfungsi membenarkan satu rangkaian yang besar dibahagikan menjadi dua buah rangkaian yang kecil. Ini dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan pada rangkaian itu. Jika sistem perkabelan cara lama hendak disambungkan dengan sistem rangkaian terkini, sebuah jambatan merupakan jalan penyelesaian.


Satu jambatan bertugas mengawal laluan informasi dari kedua-dua belah bahagian rangkaian supaya ia dapat menghantar informasi yang diterima ke lokasi yang diminta.Kebanyakan jambatan berupaya mengawal rangkaian dan secara automatik mengumpul alamat semua komputer yang terdapat pada kedua-dua belah rangkaian. Jambatan turut berupaya untuk memeriksa setiap pesanan dan jika perlu menyiarkannya pada rangkaian yang di sebelah.


(c)Cara untuk mencegah virus daripada memasuki dan menjangkiti sesuatu komputer.
Virus komputer tidak timbul secara ajaib tetapi ia ditulis atau direka oleh orang yang mahir dalam pengaturcaraan komputer. Tujuannya adalah untuk sabotaj, penyelidikan, jenaka atau perniagaan. Ia adalah program, skrip atau makro yang lebih merbahaya kerana ia boleh meletup, merebak dan juga membiak.

Virus boleh memasuki sistem komputer dengan dua cara iaitu
• melalui salinan program atau fail dari cakera, dan
• melalui proses replica virus itu sendiri.


Cara Mencegah Virus Daripada Memasuki Dan Menjangkiti Sesebuah Komputer
• Sentiasa mengemaskini, mengimbas dan memantau laluan masuk dan keluar dari rangkaian.
• Sentiasa mengemaskini, mengimbas dan memantau aplikasi yang berkaitan dengan internet terutamanya e-mail.
• Memasang dan sentiasa mengemaskini program anti virus. Perisian anti virus perlu dipasang bagi membolehkan pengesanan dan pencegahan virus.
• Jangan membuka e-mail yang tidak diketahui sumbernya atau diragui kandunganya, sisipan e-mail perlu diimbas oleh perisian anti virus sebelum membukanya.
• Sentiasa mengimbas cakera keras mengikut jadual.
• Muat turun fail dari internet yang mempunyai sumber keselamatan yang tinggi. Jangan muat turun fail-fail prono yang mempunyai sumber keselamatan yang rendah.
• Elakkan menggunakan cakera mudah alih orang lain atau komputer awam.
   Buat bacaan mengenai info terkini tentang virus dan cara pencegahan terkini.


7. (a)Huraian setiap bahagian dalam format piawai alamat emel :
Contoh :
ahmad@oum.edu.my

ahmad - menunjukkan nama pengguna
@        - disebut et, memisahkan nama pengguna dan nama hos
oum     - nama hos di mana letaknya kotak mel pengguna
.           - tanda noktah, disebut dot, memisahkan setiap setiap bahagian alamat
edu      - jenis domain iaitu domain generik (sub domain)
my       - menunjukkan domain kod Negara


(b)Syarat yang mesti dipenuhi sebelum pengguna boleh menggunakan mel elektronik.

Dua syarat yang mesti dipenuhi sebelum boleh menggunakan mel elektronik:
• Mesti mempunyai akaun e-mel dan tahu alamat e-mel
• Mesti tahu alamat e-mel penerima


(c)Kegunaan internet dalam bidang pengajaran dan pembelajaran.
Internet telah digunakan sebagai sumber untuk mendapatkan pelbagai bahan dan maklumat yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Internet juga amat sesuai digunakan sebagaai sebuah saluran komunikasi antara seseorang guru dengan guru lain, guru dengan pelajar, guru dengan ibu bapa, atau pelajar dengan pelajar lain.


Maklumat dapat disampaikan dengan lebih berkesan dengan menggunakan internet terutamanya di bidang pendidikan. Beberapa cadangan dikemukakan dalam pengisian pembelajaran berbantukan internet:


(a) Projek
Terdapat banyak projek yang telah dan boleh dijalankan oleh guru berasaskan internet. Sesuatu projek boleh merangkumi beberapa konsep dan kemahiran yang telah dipelajari. Antara beberapa tapak web yang dicadangkan ialah:
 http://www.gsn.org
 http://www.stolaf.edu/network/lecc/


Pengintegrasian projek berasaskan internet perlu ditadbirkan dengan baik dengan pencarian dan penyusunan bahan yang berkaitan dari internet semasa menjalankan projek.


(b) Rancangan Pelajaran (Lesson Plans)
Terdapat banyak rancangan pelajaran yang telah tersedia di internet yang dikongsi bersama oleh guru-guru seluruh dunia. Antara tapak web yang boleh dilawati untuk mendapatkan rancangan pengajaran ialah:
http://www.sci.lib.Uci.edu/SEP/SEP.Internet
 http://www.scun.edu:80/hceduo13/
 http://www.teachnet.com/lesson.html


(c) Bahan Maklumat yang Menarik dan Terkini
Setiap hari maklumat akan berubah, dan jutaan maklumat yang terkini boleh didapati dengan mudah, cepat dan murah dari internet. Pelajar boleh mencari maklumat mengenai pencemaran udara akibat bencana Tsunami, Taufan Katrina atau Wilma dan berkongsi maklumat dan menyertai forum dengan rakan-rakan di internet.
Guru juga boleh mencari maklumat dengan lebih cepat untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Selain dari maklumat, internet juga membekalkan grafik, gambar dan anamasi yang menarik untuk proses pembelajaran.


(d) Bahan Bacaan dan Kemahiran Berbahasa
Internet juga memuatkan beribu-ribu majalah, jurnal dan akhbar. Pelajar boleh diminta untuk mendapatkan berita tentang sesuatu perkara contohnya melawati laman web berikut http://www.ipl.org. Guru dan pelajar juga boleh menggunakan internet untuk mempertingkatkan kemahiran membaca dan menulis. Contoh laman web adalah seperti berikut http://kidlink.org.


(e) Perkongsian Bahan Maklumat
Dengan internet, guru boleh berhubung dengan guru lain untuk berkongsi sumber, idea atau masalah khususnya melalui kumpulan diskusi elektronik. Terdapat berpuluh-puluh kumpulan diskusi elektronik di internet yang boleh web yang menyediakan tapak diskusi:
 http://fthejournal.com
 http://place.scholastic.com/EL/index.htm
 http://www.nap.edu/readingroom/books/techgap
 http://fromnowon.org


8. (a)Cara pemilihan soalan-soalan yng sesuai digunakan dalam latih tubi menurut Alessi & Trollip (1991) :

Pilihan secara rawak 
- soalan dipilih dari senarai soalan-soalan secara rawak.


Tersusun 

- suatu susunan yang ditentukan terlebih dahulu.

Teknik flashcard 
- selepas pelajar menjawab satu senarai soalan, soalan-soalan yang dijawab dengan salah disusun semula dan diberikan semula kepada pelajar. Proses ini berterusan sehingga pelajar menjawab ke semua soalan dengan betul.


(b)Fasa Analisa :
Analisa merupakan langkah pertama yang paling penting dalam pembangunan perisian kursus PPBK. Dalam langkah ini, guru perlu menentukan dengan jelas:

• Tujuan perisian kursus dibangunkan.
• Untuk siapa ia dibangunkan.
• Matlamat dan objektif pengajaran.
• Kandungan pelajaran yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut.
• Strategi pengajaran.
• Pengetahuan sedia ada pelajar.


(c)Perbezaan antara Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif dalam proses reka bentuk pengajaran untuk perisian.
Penilaian formatif dilakukan pada setiap langkah ADDIE untuk memastikan perisian kursus yang dihasilkan menepati kehendak dan objektif pembangunan.


Penilaian sumatif pula digunakan untuk memastikan objektif pengajaran dapat dicapai oleh pelajar. Penilaian ini memberi maklum balas terhadap keberkesanan perisian kursus yang dihasilkan.


9. (a)Perkara yang mungkin berlaku jika guru tidak pandai menilai dan memilih perisian yang sesuai digunakan oleh para pelajar di sekolah


• Tidak dapat mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran.
• Tidak mengikut kurikulum pengarajan dan pembelajaran.
• Tidak sensitif terhadap budaya dan agama pelajar.
• Tidak sesuai dengan tahap umur pelajar.


(b)Kriteria Pemilihan Perisian PPBK :


*Isi kandungan  
Ketepatan 
Bebas daripada kesilapan.
Maklumat terkini.
Pendapat yang tidak berat sebelah.
Sesuai dengan kebudayaan dan agama.
Penggunaan bahasa yang betul dari segi nahu, ejaan dan struktur ayat.
Kesesuaian 
Konsep dan bahasa sesuai dengan tahap pelajar.
Maklumat adalah sesuai dengan objektif yang hendak dicapai.
Interaksi komputer-pelajar hendaklah sesuai dengan tahap pelajar.
Skop  
Kandungan yang disampaikan berada dalam skop topik yang hendak diajar.
Kandungan disampaikan mengikut susunan yang sesuai.
Kepelbagaian dan kesesuaian aktiviti.


*Aspek teknikal
Navigasi 
Maklumat dapat dicari dengan mudah dan cepat.
Penggunaan menu, ikon dan arahan yang intuitif.
Ada pilihan untuk mengawal perjalanan perisian, berhenti atau keluar.
Bunyi yang boleh dikawal .
Ciri-ciri penyimpanan rekod 
Kemudahan untuk mencetak maklumat.
Menyimpan maklumat tentang kedudukan semasa dalam suatu perisian atau permainan.
Mengambil and menyimpan nota apabila perlu.
Rekod penggunaan perisian pelajar untuk monitor pelajar.


10. (a)Kesan positif penggunaan TMK menurut kajian Kneezek (1999) :
Pelaksanaan penggunaan TMK dalam pendidikan memberi kesan kepada pencapaian objektif pembelajaran, motivasi dan hubungan antara pelajar. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Knezek (1999) mendapati pelajar:

• Menunjukkan kemampuan berfikir pada tahap kognitif yang lebih tinggi semasa belajar menggunakan komputer.
• Mampu menganalisa masalah, melakukan penilaian kendiri dan mengemukakan persoalan-persoalan yang relevan.
• Membentuk strategi untuk berkerjasama dengan rakan-rakan.
• Bermotivasi, lebih berminat dan lebih yakin dengan diri mereka.


(b)Mod Penggunaan Komputer dalam Pendidikan (Taylor, 2002) :
Taylor (2002) mengenalpasti tiga mod penggunaan komputer dalam pendidikan iaitu: 

(i) Pengajar (Tutor)
Dalam mod ini, komputer berfungsi sebagai pengajar yang menjalankan aktiviti pengajaran seperti:
• Menyampaikan maklumat kepada pelajar.
• Menilaian pencapaian.
• Memberi maklumbalas.
• Menyimpan data pelajar.
• Melakukan simulasi.
• Memberi tunjuk-cara.


(ii) Alat (Tool)
Untuk menggunakan komputer sebagai alat bantu pengajaran dan pembelajaran, beberapa perisian aplikasi diperlukan seperti:
• Pemproses perkataan
• Hamparan elektronik
• Kalkulator
• Persembahan
• Peta minda


(iii) Pelajar (Tutee)
Menggunakan komputer sebagai tutee memerlukan pelajar dan guru mempelajari bahasa pengaturcaraan untuk mengajar komputer dalam melaksanakan suatu proses seperti mengira, melukis, membuat latih-tubi dan menjalankan animasi.


Menggunakan komputer sebagai tutee akan membina tahap pemikiran yang tinggi kerana pelajar perlu melalui beberapa tahap kefahaman dan pemikiran sebelum dapat membina perisian. Pelajar perlu benar-benar faham apa yang hendak diprogramkan, tahu kaedah pengaturcaraan yang memerlukan pemikiran logik dan seterusnya pelajar perlu tahu bagaimana menterjemahkan apa yang hendak diprogram kepada satu bahasa yang boleh difahami oleh komputer.


(c)Perbezaan Peranan Guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran :
Guru memainkan peranan yang amat penting dalam pengajaran mahupun pembelajaran. Berikut adalah fungsi guru :


Guru sebagai pelajar 
Guru perlu menerima hakikat bahawa pelajar masakini lebih mahir dan yakin menggunakan teknologi dan mereka perlu dari masa kesemasa mendapat tunjuk ajar dari pelajar mereka 

Guru sebagai fasilitator 
Fungsi guru sebagai fasilitator tidak hanya tertumpu kepada pakar subjek yang diajar, mereka perlu memberi bimbingan dalam aktiviti pembelajaran, menyelesai masalah dan mengemaskini kandungan pelajaran. 

Guru sebagai rakan belajar 
Pengintegrasian TMK dalam pendidikan banyak melibatkan pembelajaran berasaskan projek yang memerlukan guru-guru bekerjasama dengan pelajar dalam menjayakan projek tersebut.


Guru sebagai pembina bahan 
Guru lebih banyak memberi tumpuan kepada pembinaan bahan pengajaran dan pembelajaran seperti lembaran kerja, nota dan panduan.

Guru sebagai penyelidik 
Guru lebih banyak menilai kembali pengajaran yang telah dijalankan dan dengan bantuan peralatan TMK guru dapat merancang untuk meningkatkan pembelajaran pelajar-pelajar.

Guru sebagai pelatih TMK 
Memandangkan teknologi TMK berubah dengan pantas, guru perlu melengkapkan diri mereka dengan mendapatkan latihan secara berterusan dalam pedagogi dan teknologi.

Guru sebagai ahli kumpulan guru 
Melalui forum Internet, guru boleh mendapatkan idea-idea baru dengan berkongsi pengalaman dan maklumat dengan guru-guru lain.


11. (a)Mengapakah perlunya perlaksanaan TMK dalam pendidikan?
TMK perlu dilaksanakan kerana peranan yang dimainkannya di dalam :


(a) Pembelajaran
(i)     Meningkatkan tahap intelektual pelajar dari segi penyelesaian masalah, kreativiti dan kemahiran belajar.
(ii)    Meluaskan dan mendalami skop kandungan pelajaran.
(iii)   Meningkatkan minat untuk belajar.
(iv)   Meningkatkan masa tumpuan semasa menjalankan aktiviti apabila menggunakan TMK.
(v)    Membentuk minat menjalankan penyelidikan disebabkan maklumat dapat dicapai dengan mudah.
(vi)   Menggalakkan kerjasama di antara pelajar-pelajar semasa di sekolah dan di luar sekolah.
(vii)  Meningkatkan tahap integrasi maklumat.


(b) Pengajaran
(i)     Guru boleh mendapatkan bahan dan bantuan dengan mudah dan cepat.
(ii)    Guru berkerjasama semasa dan selepas waktu persekolahan.
(iii)   Guru bersama pelajar lebih menumpu kepada usaha merancang pembelajaran yang dapat 
        meningkatkan aktiviti pembelajaran.
(iv)   Guru lebih banyak membimbing dan berinteraksi dengan pelajar.
(v)   Pengajaran dan pembelajaran dilihat sebagai satu proses penyelidikan yang berterusan
(vi)  Penilaian pembelajaran lebih mencabar
(vii) Penilaian diagnostik lebih menjurus kepada kelemahan pelajar yang lebih spesifik


(b)Pengintegrasian TMK dalam pendidikan memberi kesan terhadap fungsi bilik darjah.
Pembelajaran berasaskan TMK banyak berlaku di dalam makmal komputer. Walau bagaimanapun, dengan adanya projek bekalan peralatan komputer ke sekolah-sekolah, pengajaran dan pembelajaran boleh berlaku di dalam kelas. Di sekolah-sekolah yang melaksanakan TMK dalam pendidikan, perubahan kepada bilik darjah dapat diperhatikan (Eadie, 2001). Antara perubahan yang berlaku ialah:


Susunatur kelas 
Meja dan kerusi tidak lagi disusun untuk berdepan dengan guru yang berada di depan kelas. Sebaliknya, ia 
disusun supaya kerja kumpulan dapat dilakukan.

Bagi kelas yang mempunyai beberapa komputer, meja disusun supaya penggunaan komputer dapat dikongsi bersama beberapa orang pelajar.

Perkongsian peralatan 
Kebanyakan sekolah tidak mampu membeli peralatan komputer untuk setiap pelajar atau untuk setiap kelas. Ruang khas di dalam atau luar kelas disediakan untuk peralatan dikongsi bersama.

Selain dari itu, pengajaran dan pembelajaran menggunakan satu komputer atau beberapa komputer boleh dilakukan dengan berkesan.

Makmal komputer adalah satu lagi cara perkongsian peralatan yang wujud di sekolah-sekolah di Malaysia.

Kelas dalam talian
Konsep ruang kelas untuk belajar telah berubah. Terdapat sekolah yang menyediakan kelas dalam talian di mana pelajar boleh memuat turun nota, berbincang di dalam forum dengan rakan sekelas atau dengan guru, menjawab soalan-soalan penilaian dan memuat naik kerja kursus.

Rangkaian komputer  
Bilik darjah digunakan untuk mengajar pelajar-pelajar di dalam kelas dan pelajar dari kelas lain melalui sidang video bagi sekolah yang mempunyai rangkaian komputer.


12. Tahap-tahap Pembangunan Perisian Kursus berpandukan Model Pengajaran Gagne (1981).
Model pengajaran Gagne (1981) banyak di rujuk dalam pembangunan perisian kursus dan ia melibatkan sembilan tahap pengajaran. Tahap-tahap pengajaran ini juga boleh digunakan dalam penilaian suatu perisian kursus.


Mendapatkan perhatian 
Pengajaran mestilah dimulakan dengan suatu yang dapat menarik minat atau perhatian pelajar. Sesetengah perisian kursus menggunakan video atau audio yang digabungkan dengan animasi atau grafik yang menarik.

Memaklumkan objektif kepada pelajar 
Tujuan pengajaran mestilah dijelaskan kepada pelajar agar mereka lebih bersedia menerima apa yang akan diajar.

Mengingat kembali pengetahuan sedia ada 
Pelajar hendaklah digalakkan mengingat kembali pengetahuan sedia ada. Antara cara-cara yang boleh dilakukan ialah dengan meminta pelajar menjawab beberapa soalan ringkas atau dengan menyatakan maklumat penting yang diperlukan.

Menyampaikan maklumat  
Maklumat mestilah disampaikan dengan tepat dan ringkas. Ia hendaklah disampaikan dengan menarik dengan menggunakan grafik yang sesuai, animasi, audio dan video. Untuk membantu pelajar memahami pelajaran, bilangan isi atau fakta di dalam satu skrin yang disampaikan hendaklah dihadkan supaya pelajar dapat memahaminya dengan mudah.

Membantu pembelajaran 
Isi dan fakta hendaklah disokong dengan contoh-contoh yang sesuai bagi membantu pemahaman pelajar. Sering kali kaedah EGRUL (contoh-rumusan) atau RULEG (rumusan-contoh) digunakan.

Memberi latihan
Latihan yang dijalankan hendaklah disesuaikan dengan kandungan pelajaran yang disampaikan. Latihan boleh dilakukan sama ada melalui soalan-soalan yang di bekalkan bersama dengan perisian kursus atau soalan-soalan yang disediakan oleh guru. Pencapaian atau respons pelajar kepada soalan-soalan menentukan sama ada mereka telah memahami kandungan pelajaran yang di sampaikan.
 

Memberi maklum balas
Satu kelebihan penggunaan perisian kursus PPBK ialah ia mampu memberi maklum balas semerta kepada pelajar. Bergantung kepada pencapaian pelajar dalam latihan, mereka diberikan pengukuhan atau pemulihan. 


Bagi perisian kursus yang komprehensif, aktiviti pengukuhan dan pemilihan mungkin disediakan. Walau bagaimanapun, guru juga boleh menjalankan aktiviti-aktiviti ini di dalam kelas jika ia tidak disediakan atau jika guru berpendapat bahawa aktiviti-aktiviti yang disediakan tidak mencukupi atau tidak sesuai.
 

Menilai pencapaian
Di akhir suatu pengajaran, pelajar biasanya diberikan ujian untuk menilai pemahaman mereka terhadap apa yang telah dipelajari.
 

Mengingat kembali
Adalah penting bagi pelajar untuk mengingati kembali apa yang telah dipelajari dan seterusnya menggunakan pengetahuan ini di dalam situasi yang berbeza. Perisian kursus PPBK perlu menyediakan aktiviti-aktiviti tambahan bagi membolehkan ini berlaku




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...